Followers

Sunday, September 22, 2019

Umno dan Pas Dalam Gaung Pemikiran Orang Kalah



Sebaik sahaja runtuhnya tembok Berlin pada 9 November 1989, Francis Fukuyama telah mengisytiharkan The End of History , merujuk kepada pertembungan di antara sosialisme komunisme dengan demokrasi kapitalis.

Bagi Fukuyama runtuhnya tembok Berlin adalah kejayaan mutlak demokrasi kapitalisme. Jadi dengan itu berakhirlah sejarah.

Bagaimana pun tarikh 9 Mei 2018, bukanlah pengakhir kepada sejarah politik Malaysia, tidak juga boleh dikatakan sebagai permulaan kepada satu sejarah yang baru, meski pun pada tarikh tersebut Umno telah tercabut akar kuasa dalam sistem pemerintahan negara.

Pakatan Harapan memancakkan paksi kuasa serta memperkukuhkan tunjang cengkamannya.
Bermakna sejarah politik baru, merupakan dimensi politik yang berlangsung di atas real politik yang sama sebelum 9 Mei 2018, apa yang bertukar adalah kuasa baru dalam politik pemerintahan.

Pakatan Harapan (PH) telah berjaya menakluk pusat kuasa dengan menyingkirkan UMNO-Barisan Nasional (Umno-BN). Watak politik yang menguasai pentas politik adalah kelompok yang sama, apa yang berbeza adalah baju politik.

Pemikiran politik serta ideologi politik juga adalah sama, atomisme politik masih tetap berlegar sekitar isu-isu agama dan bangsa, jelasnya politik perkauman dan sektorian agama masih tetap mendominasi persekitaran politik Malaysia.

Bagaimana pun, satu fenomena baru yang wujud dalam konteks Malaysia mutakhir ini, adalah begitu menonjolnya apa yang boleh diklaskan sebagai real politik “pemikiran orang kalah.

Dalam konteks pemikiran Stephen Covey dinamakan minda kekurangan. Menyorot novel yang dihasilkan Rohani Deraman, dijudulkan sebagai Jogho Yang Tewas .

Apa pun konsepsi yang digunakan, maka rujukannya adalah terhadap pemikiran orang kalah, boleh juga diistilahkan sebagai minda orang kalah.

Minda orang kalah, merupakan konteks pemikiran yang sentiasa menafikan hakikat bahawa mereka sebenarnya kalah, sebaliknya sentiasa meletakkan dirinya sebagai orang yang menang.

Maka daripada sudut inilah akan timbulnya istilah “kemenangan yang tertangguh.” Sering kali dipopularkan oleh para pemimpin Pas.

Golongan ini akan sentiasa meletakkan diri mereka sebagai pejuang, pembela dan akan sentiasa menafikan apa sahaja tindakan-tindakan atau dasar-dasar konstruktif yang berteraskan faedah bersama, terutamanya apabila dasar atau tindakan perubahan sosial, politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan.Apa pun realitinya golongan ini akan patuh melutut kepada ketua mereka, meski pun wujud salah laku serta penyelewengan moral.

Pemikiran orang kalah akan mengkesampingkan fakta, sebaliknya akan memperbesarkan aspek manipulasi situasi, berdasarkan kepada andaian serta kepercayaan yang dibina atas realiti bayangan atau pun unverified assumptions .

Berdasar unverified assumptions inilah mereka akan membina rantaian isu untuk memperlihat bahawa mereka mengetahui segala-galanya sehingga ada yang mengaku begitu rapat dengan agen CIA.

Beberapa isu yang dicipta dalam konteks prinsip andaian, seumpama Islam terancam, lebih bercorak kepada motif mengecilkan pengaruh positif, sebaliknya memperbesarkan pengaruh negatif, bagi membolehkan matlamat untuk membina keserabutan dalam kalangan masyarakat dapat digerakkan.
Bagi golongan yang terperangkap dengan pemikiran orang kalah, ini dianggap peluang sebagai pejuang.

Islam terancam, hakikatnya penceritaan yang dihidupkan untuk membina sokongan masyarakat Melayu Islam khususnya, terhadap PAS.

PAS pada setiap ketika akan menjadikan Islam sebagai umpan untuk memancing dan menambat masyarakat Melayu Islam terhadap perjuangannya, jadi adalah tidak menghairankan apabila ada dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS mendakwa keluar daripada Pas adalah haram.

Ini sebenarnya konteks pemikiran orang kalah yang sentiasa menekankan kepada ugutan dan ancaman dalam konteks untuk mengekalkan sokongan.

Islam terancam juga merupakan satu metos yang dicipta untuk dijadikan detterant , bagi menghalang masyarakat Melayu Islam menjarakkan diri daripada PAS.

Para pemimpin Pas sering kali mendakwa bahawa perjuangan Pas adalah perjuangan Islam. Perjuangan PAS adalah jihad, kesannya peristiwa Memali menjadi taruhan.

Setelah gagal untuk berhujah secara berfakta dalam usaha memperkukuh ideologi bagi membina keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan para pengikutnya. Maka naratif Islam terancam adalah perangkap yang boleh menjerat masyarakat Melayu Islam untuk terus menyokong PAS.

Hakikatnya Amanat Banggol Peradong itu, merupakan amanat yang lahir daripada pemikiran orang kalah.

Detik 9 Mei 2018, memperlihatkan politik PAS dan UMNO berusaha untuk kembali memperkukuh kedudukan. Ekoran daripada situasi inilah PAS dan UMNO terperangkap dalam konteks pemikiran orang kalah, amat ketara tindakan-tindakan serta pemikiran tidak produktif telah diketengahkan yang memberikan kesan kepada kestabilan sosial.

Kempen boikot barangan bukan Islam (kemudian ditukarkan kepada mengutamakan produk muslim), merupakan unsur yang menjurus kepada usaha membina kelompok terasing (sub-set) daripada kelompok yang besar, iaitu menafikan kekuatan hubungan sinergistik, satu ciri utama dalam konteks pemikiran orang kalah.

Secara analitikalnya, timbul persoalan bagaimana proses dan prosedur yang digunakan untuk menentukan kemutlakan produk muslim, bagaimana kaedahnya bagi menentukan unsur-unsur komposit dalam mendefinisikan produk muslim.

Dalam kedua-dua unsur teras ini, hakikatnya perlu diberikan pembuktian yang boleh ditentusahkan Umdan mempunyai standard kalibrasi.

Hakikatnya ini adalah jelas menggambarkan wujudnya unsur pemikiran orang kalah dalam isu berkait dengan pemboikotan produk non muslim, kerana jelas memperlihatkan wujudnya tingkah laku reaktif yang berteraskan pemikiran prejudis.

Pemikiran orang kalah, umumnya menjurus kepada tingkah laku serta pemikiran bercorak reaktif dan spekulatif.

Kekalahan Umno 9 Mei 2018 dan dalam usaha untuk menghidupkan sisa-sisa nafasnya, maka diputarkan pelbagai isu non-produktif bagi menimbulkan kecelaruan emosi serta pemikiran dalam kalangan masyarakat Melayu.

Naratifnya; hak Melayu tergugat, kedudukan keistimewaan Melayu sudah terhakis, kedaulatan Raja-raja Melayu sedang terancam dan Cina sudah menguasai Malaysia; walhal pada masa yang sama institusi-institusi Melayu dan Islam masih kukuh dan teguh, tidak terusik catatannya dalam Perlembagaan negara serta masih tetap utuh operasinya.

Kitaran isu-isu ini, hakikatnya wujud hasil daripada kemusnahan intelektualiti, menjadikan hilangnya konteks pemikiran dalam skala gambaran luas, wujudnya pembonsaian perspektif.

Realiti inilah yang menjadikan Pas dan Umno gagal untuk memahami isu disebalik kes Najib Razak dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.

Pas dan Umno daripada awal isu ini diperkatakan, menyimpulkan sebagai wujudnya usaha untuk menfitnah Najib Razak dan mereka dengan mudah, tanpa analytical view menganggap IMDB tidak ada pelanggaran integriti dan akauntabiliti, pelan rasionalisasi adalah betul dan tepat.

Hakikatnya pemikiran orang kalah begitu kuat mendominasi pemikiran, tingkah laku dan perspektif pemimpin Pas dan Umno, mengakibatkan hilangnya sifat nasionaliti, sebaliknya membataskan tindak tanduk dalam persekitaran lokaliti kedaerahan.

Pada masa yang sama lebih cenderung kepada penyebaran sentimen provokatif yang menyisihkan, apa yang diistilahkan oleh Stephen Covey sebagai the judgement of smart trust .

oleh:  Dr Kamarudin Musa UPSI