Pakatan Nasional hanya Spekulasi - Annuar
Cakap-cakap mengenai penubuhan pakatan baharu politik yang digelar
‘Pakatan Nasional’ adalah spekulasi dan bersifat pra-matang, kata
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau
menegaskan pembentukan kerajaan lain selain Pakatan Harapan (PH)
disifatkan tidak berasas atau tiada keperluan melainkan PH gagal sebagai
satu gabungan.
“Selagi mana PH kekal sebagai satu gabungan
yang berjaya membentuk kerajaan berikutan mandat yang diberikan rakyat
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), selama itulah teori Pakatan
Nasional hanya satu teka-teki dan polemik politik,” katanya dalam satu
kenyataan, malam tadi.
Beliau mengulas desar-desus kononnya
bakal wujud kerjasama baharu politik dinamakan Pakatan Nasional
membabitkan parti pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama UMNO dan PAS.
Annuar turut melahirkan rasa hairan bagaimana spekulasi ini muncul.
“Besar
kemungkinan polemik ini berpunca daripada beberapa perbincangan
tertutup dalam kalangan UMNO khususnya menjelang mesyuarat Majlis Kerja
Tertinggi esok (hari ini),” katanya.
Namun beliau mengakui,
perbincangan mengenai penubuhan pakatan baharu itu pernah diadakan
tetapi sebagai satu persiapan untuk menghadapi kebarangkalian PH gagal
sebagai satu gabungan.
Katanya, perbincangan itu juga mengambil tempat
dengan andaian Dr Mahathir sudah berpatah arang dengan pemimpin dalam PH.
Bagaimanapun,
beliau berpendapat, UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional boleh
membuat ketetapan untuk mewujudkan pakatan baharu politik dengan BERSATU
jika keadaan benar-benar memerlukan.
“UMNO dan PAS sudah
beberapa kali berbincang perkara ini. Bagi kita Muafakat Nasional itu
amat penting dan sangat diharapkan oleh rakyat.
“Walaupun
Ahli Parlimen PAS sudah menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir
mengekalkan tugasnya sehingga tamat penggal, UMNO belum memuktamadkan
pendiriannya sehingga wujud keadaan memerlukan UMNO/Barisan Nasional
(BN) membuat keputusan,” katanya.
Dalam hal ini, Annuar
menjelaskan yang pendirian UMNO ialah tidak akan menyokong atau
bekerjasama dengan mana-mana parti jika ada DAP dalam kerjasama itu
serta keputusan itu dibuat secara ‘En Bloc’.
“Sekiranya
tiada DAP, baharulah UMNO akan mengkaji, itu pun mestilah cermat,
berhati-hati dan tertakluk kepada syarat dan terma tertentu. Tiada ‘cek
kosong’ dari UMNO,” katanya.
Beliau berkata, jika gabungan
baharu itu sesuai dengan aspirasi BN dan Muafakat Nasional, maka sebuah
kerajaan baharu dapat ditubuhkan tanpa menerusi pintu belakang, tetapi
‘pintu depan rumah baharu’.
“Perkara inilah yang sememangnya boleh dan sedang dibincangkan,” katanya.
sumber...
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman