KOMPLEKS di Ulsan, Korea Selatan. - Foto AFP
SEOUL: Kilang pengeluaran kenderaan paling produktif di dunia lengang selepas Hyundai menghentikan operasi di kompleks Ulsan, Korea Selatan disebabkan kekurangan komponen dari China ekoran penularan coronavirus yang melumpuhkan pengeluaran industri.
Lima rangkaian kilang di kompleks berkenaan mampu menghasilkan 1.4 juta kenderaan setahun, selain menjadi lokasi import dan eksport kereta di seluruh dunia.
Namun, rantaian bekalan penting yang saling berkaitan di seluruh dunia itu terjejas selepas penularan coronavirus di China yang menyaksikan banyak kilang di beberapa kawasan yang terbabit dengan wabak maut itu ditutup.
Lantaran itu, Hyundai juga syarikat sekutu Kia yang menjadi pengeluar automotif kelima terbesar dunia, kehabisan komponen pengangkut kabel yang menghubungkan komponen elektronik kompleks kenderaan.
Ia menghentikan pengeluaran di kilangnya di seluruh Korea Selatan, yang mana 25,000 pekerja terpaksa bercuti dan menerima sebahagian gaji.
“Ini adalah sesuatu yang memalukan kerana saya tidak dapat bekerja dan perlu menerima hakikat gaji dipotong,” kata kakitangan pengeluaran di Ulsan yang dikenali sebagai Park.
“Ini perasaan yang sangat tidak menyenangkan.”
Penutupan kilang pengeluaran akan menjadi contoh pertama disebabkan fenomena wabak yang menular di seluruh dunia, kata penganalisis.
Penganalisis menjangkakan penutupan selama lima hari kilang milik Hyundai akan membabitkan kerugian sekurang-kurangnya 600 bilion won (RM2.07 bilion).
Hyundai bukan satu-satunya syarikat korporat terjejas kerana Kia juga akan menggantung operasi tiga kilang sehari pada Isnin, manakala unit pengeluar kereta dari Perancis, Renault sedang mempertimbang untuk menghentikan operasi kilangnya di Busan minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Fiat Chrysler, Mike Manley memberitahu FT bahawa firmanya itu terpaksa menghentikan operasi di satu daripada kilangnya di Eropah.
Penganalisis memberi amaran bahawa masalah itu akan bertambah rumit jika Beijing melanjutkan cuti Tahun Baru Cina lebih panjang susulan coronavirus, dengan data rasmi menunjukkan wabak itu menjejaskan lebih 31,000 orang dan membunuh 636 nyawa.
“Masalah utama adalah kita tidak tahu bagaimana wabak ini akan berakhir,” kata profesor ekonomi di Inha University Korea, Cheong In-kyo.
“Syarikat Korea Selatan bergantung sepenuhnya kepada bahagian dan komponen dari China. masalahnya, jika satu bahagian tiada, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.”
sumber...AFP