Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Sunday, February 9, 2020
'Untuk Apa Nak Buat Pakatan Nasional?' - Anwar
KETUA Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pejabat Penerangan PKR Negeri Sembilan di Taman Kemuning Senawang, petang tadi. - Foto Mohd Amin Jalil
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan tujuan sebenar UMNO yang didakwa mahu menubuhkan pakatan nasional yang merangkumi gabungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Anwar yang juga Presiden PKR, berkata walaupun tidak menghalang mana-mana pihak menubuhkan apa juga pakatan, tujuan pakatan itu wajar dipersoalkan.
“Saya tiada halangan untuk orang buat pakatan, tapi masalahnya ialah untuk apa dan ada dakwaan ia ditaja oleh beberapa orang dengan tujuan untuk selamatkan orang Melayu.
“Mereka (UMNO) sudah 62 tahun memerintah. Mereka pun (pemimpin UMNO) sedang menghadapi kes-kes serius di mahkamah berkaitan soal rasuah.
“Sepatutnya dia hadapi yang itu dululah (kes mahkamah). Jangan anggap kalau nampak baik, hal ini (rasuah) ditutup dan diselesaikan begitu sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Reformis ‘98 dan perasmian pejabat Penerangan PKR Negeri Sembilan di Taman Kemuning Senawang di sini, petang tadi.
Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, serta kepemimpinan PH negeri.
Anwar turut menafikan ada dalam kalangan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR bakal menyertai pakatan berkenaan.
Beliau berkata, dakwaan beberapa pemimpin PH akan bersama dalam pakatan itu adalah tidak benar dan disifatkan sebagai propaganda pembangkang.
“Ada dakwaan enam dari AMANAH dan 15 daripada PKR, kita dah semak ia tidak benar dan perkiraan itu meleset.
“Malah, mereka (pembangkang) juga ada kaitkan dengan BERSATU dan (Pengerusi PH) Tun Dr Mahathir Mohamad, sedangkan perkara ini tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat PH,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menyatakan PH adalah pakatan yang memperjuangkan semua kaum di negara.
“Agenda kita jelas dan yakin kerjasama ini akan membela nasib Melayu, Cina, India, Kadazan dan seluruhnya,” katanya.
oleh: Mohd Amin Jalil
Label:
anwar ibrahim,
kleptokrat,
Pas,
Tun M,
umno