Followers

Wednesday, February 12, 2020

Kelantan Disaran Anjur Perarakan Mercedes Berhias




Rasa tidak puas hati orang ramai terhadap cara kerajaan negeri menguruskan acara perarakan kereta berhias sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 baru-baru ini mendapat perhatian Pemuda Amanah negeri itu.

Ketuanya, Hazmi Hassan, berkata ada cara untuk kerajaan Kelantan 'menebus' semula rasa tidak senang penduduk negeri terbabit dengan mengadakan perarakan khas.

Secara sinis, Hazmi berkata, kerajaan negeri boleh saja mengadakan perarakan kereta Mercedes Benz berhias dengan membariskan kenderaan rasmi yang digunakan menteri besar, timbalan menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri.

"Saya membaca laporan media mengenai permohonan maaf oleh exco pelancongan Kelantan berhubung salah faham yang berlaku pada penganjuran perarakan kereta berhias sempena pelancaraan Tahun Melawat Kelantan 2020 baru-baru ini.

"Beliau juga menyatakan satu acara khas bagi perarakan kereta berhias itu boleh diadakan sekiranya menjadi kehendak rakyat.

"Jadi saya mencadangan supaya acara itu dibuat dan ditambah baik dengan perarakan kereta Mercedes Benz berhias," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Hazmi, memandangkan kereta rasmi itu masih lagi baru, kerajaan negeri boleh membuka peluang kepada rakyat Kelantan untuk lihat dengan lebih dekat kenderaan tersebut.

Kos pun tak besar
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kerajaan Kelantan memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung 'kekeliruan' yang berlaku kepada orang ramai yang menghadiri pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020, pada Jumaat lalu.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Md Anizam Ab Rahman, berkata perarakan 10 kereta berhias yang mewakili setiap daerah itu diadakan sempena majlis pelancaran pada malam itu sahaja dan bukannya penganjuran besar-besaran untuk pertunjukan kereta berhias.

Ia selepas isu pertunjukan kereta berhias menjadi rungutan rakyat Kelantan di media sosial dengan pelbagai reaksi dalam kalangan pengunjung yang tidak berpuas hati.


Ramai antara mereka menyifatkan ia cuma membuang masa apabila tiada perarakan kereta berhias di beberapa lokasi jalan yang ditutup seperti yang tular dalam media sosial sebelum itu.

Sementara itu Hazmi berkata, cadangannya itu sebenarnya relevan dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah yang mempertahankan pembelian Mercedes Benz itu atas alasan agar pemimpin Islam 'kelihatan hebat'.

"Jadi saya berharap kerajaan negeri dapat merealisasikan pertunjukkan itu, dan rakyat pasti akan menggunakan kesempatan yang ada untuk melihat dengan lebih dekat kenderaan pemimpin Kelantan.

"Kos juga tidak besar kerana cuma guna kereta rasmi barisan exco negeri yang sudah pun dibeli. Cuma mungkin perlu ditambah dengan perhiasan tertentu.

"Ia juga dapat mengubati kekecewaan ribuan pengunjung yang hadir pada malam pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 itu," katanya.

0leh:  N Faizal Ghazali