Followers

Thursday, February 20, 2020

Kisah Penyusupan ke Dalam Parti BERSATU




Bukan rahsia besar ada bekas warlord Umno terbabit secara langsung atau sebaliknya dalam pemilihan parti Bersatu yang sedang berlangsung sekarang. Cuma bilangannya yang tidak dapat dipastikan. Namun hakikatnya mereka sedang bergerak aktif .

Saya difahmamkan ada antara mereka yang tidak bertanding secara langsung (mungkin atas faktor usia lanjut) sudah menyusun barisan untuk merebut jawatan pada peringkat cawangan mahupun bahagian. Maknanya bekas warlord Umno meletakkan calon pilihannya untuk cuba menguasai cawangan dan bahagian Bersatu.

Calon yang direstui warlord, seperti warlord itu sendiri, sebelum PRU14 kerap mempersenda pengasas Bersatu Dr Mahathir Mohamad, mengkritik keras Pakatan Harapan pimpinannya dan menyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam erti kata lain mereka adalah Umno totok ketika BN berkuasa dan aktif memperjuangkan Umno sehingga detik PRU14. Sebaik sahaja BN/Umno tumbang, seperti kilat semua posting di platform media sosial mereka yang melaungkan kebaikan Umno dipadam.

Untuk memendekkan cerita mereka terus berpaling tadah. Akaun media sosial mereka dipenuhi catatan pro-PH dan gambar mereka bersama pemimpin PH khususnya Bersatu. Saya pernah tengok gambar orang yang kuat Umno bersama bekas menteri pelajaran Dr Maszlee Malek beberapa minggu PH menang pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Lantas mereka menjadi ahli Bersatu dan kini direstui bekas warlod Umno yang juga sudah jadi ahli Bersatu untuk cuba mendapat jawatan di peringkat cawangan dan bahagian .

Tidak ada salahnya mereka berubah angin dengan menyertai Bersatu. Namun mereka datang dengan membawa budaya Umno. Tidak dinafikan ada budaya baik dalam Umno, ada budaya tidak baik.

Yang membimbangkan jika mereka ini datang berbekalkan budaya buruk parti lama mereka. Tidak perlu dihuraikan, ini boleh mendatangkan mudarat kepada Bersatu – sesuatu yang ibu pejabat Bersatu sendiri akui.

Persoalannya bagaimana golongan ini diterima sebagai ahli Bersatu, malah boleh bertanding. Perlu diingat sekali lagi mereka pernah bergerak aktif menyerang Bersatu dan PH dan hanya masuk Bersatu selepas PH menang PRU14 .

Saringan longgar

Imbas kembali perbualan saya beberapa ketika dahulu dengan seorang ahli majlis tertinggi Bersatu. Ketika itu beberapa ahli parlimen Umno keluar parti untuk menyertai Bersatu. Ura-ura ketika itu ramai lagi YB Umno yang akan menyusul. Rata-rata rakyat Malaysia khusus yang mengundi PH tidak setuju Bersatu menerima golongan itu.

Namun kata ahli majlis tertinggi Bersatu itu, partinya mahu menjadi parti Melayu besar yang memperjuangan kepentingan orang Melayu. Lantas Bersatu mesti membuka pintunya kepada semua orang Melayu tanpa memilih bulu.

Itu kata beliau. Tapi kata beliau lagi, Bersatu akan terlebih dahulu meneliti dan menyaring atau “vet” setiap orang Umno yang mahu menyertai Bersatu sebelum menerima mereka. Sebenarnya ahli majlis tertinggi berkenaan sekadar mengulangi apa yang telah diumum Mahathir sendiri.

Bedasarkan itu semua, persoalannya sekarang ialah adakah golongan warlord dan proksi mereka sudah disaring?

Sumber dalaman Bersatu memberitahu saya proses “vetting” yang dijalankan lebih terhadap ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri dan nama nama terkenal Umno yang mahu menyertai Bersatu.
Dalam erti kata lain proses berkenaan tidak dilaksanakan ke atas khalayak termasuk ahli biasa Umno.

“Bersatu mengalu-alukan ahli baru. Oleh itu proses saringan atau vetting dijalankan agak loose ke atas orang yang mahu menyertai parti kecuali ke atas golongan YB dan mereka yang ada nama besar”, kata beliau.

Sumber berkenaan mengaku ada benarnya dakwaan percaturan atau penyusunan dan apa yang dipanggil “papan” wujud pada pemilihan peringkat cawangan dan bahagian.

Jika di teliti katanya pemilihan Bersatu “ tidak bezanya dengan pemilihan Umno”dan menyulitkan keadaan ialah “kekalutan” pentadbiran keahlian yang menyaksikan ramai ahli dipindah antara cawangan dan bahagian tanpa pengetahuan mereka .

Baru-baru ini jawatankuasa pemilihan Bersatu mengisytiharkan mesyuarat cawangan dalam bahagian Kuala Terengganu dan Teluk Intan batal dan tidak sah. Ini berikutan protes ahli.

Kata pengerusi jawatankuasa pemilihan Bersatu Syed Hamid Albar, cawangan berkenaan mesti mengadakan mesyuarat masing masing sebelum 29 Mac.

Bersatu mahu ahlinya menggunakan saluran dalaman atau proper channel jika ada aduan berhubung proses pemilihan dan bukannya membuat aduan luaran seperti laporan polis dan sebagainya.

Namun kata sumber ibu pejabat Bersatu, tidak memeranjatkan malah boleh dijangka beberapa aduan dibuat kepada ROS atau pendaftar pertubuhan – apabila pemilihan parti selesai kelak.

Berbalik kepada soal bekas warlord Umno dan barisan atau ‘papan’ susunan mereka. Tentunya terpulang kepada ahli Bersatu samada mahu menerima atau menolak mereka.

oleh: Mohsin Abdullah