Followers

Friday, August 9, 2013

Selamat Hari Raya dan Najib Berpenampilan HIJAU Pulak..



Terlebih dahulu diucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh penjenguk blog ini walau di mana juga mereka berada dan mudah-mudahkan sambutan hari lebaran tahun ini memberi lebih makna dan keinsafan kepada kita.

Walaupun ramai yang menyambut Hari Raya tahun ini dengan perasaan yang bercampur-campur, mungkin bimbang terhadap rumah yang ditinggalkan dan kemungkinan dipecah masuk, meningkatnya kejadian penembak upahan di sana-sini, kakitangan kerajaan yang hanya mendapat BR1M RM500, harga ayam dan daging yang semakin mahal, barang-barang keperluan harian yang juga meningkat, bekalan diesel masih kekurangan di beberapa tempat dan pelbagai masalah lainnya, tetapi sambutlah hari kemenangan ini dengan seadanya mengikut kemampuan masing-masing.

Kepelbagaian rasa ini seharusnya menginsafkan kita bahawa kehidupan ini memang penuh dengan cabaran dan dugaan serta mudah-mudahan ia memberi ruang yang lebih terbuka untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, Tuhan pencipta alam ini.

Tetapi apabila melihat Perdana Menteri, Najib Razak memberi ucapan secara langsung di tv dengan baju Melayu berwarna hijau, juga bersamping hijau sempena sambutan Hari Raya ini, perasaan sedikit terusik sambil terkenangkan penampilannya yang sebelum-sebelum ini. Sementara ramai yang sejuk mata dengannya penampilannya, ramai yang lain pula bersikap sinis.
Sempena Hari Raya tahun ini, Najib telah memilih warna hijau iaitu warna Islam untuk tampil di tv dan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia. Mujurlah sampingnya juga hijau, kalau berwarna putih, sudah macam warna PAS jadinya.

Walaupun dengan mengenakan baju Melayu yang agak ketat, Najib nampaknya cuba menggunakan sambutan Hari Raya ini untuk mengambil hati umat Islam negara ini dengan penampilannya yang turut bercirikan warna-warna Keislaman.

Ia sama seperti yang Najib lakukan di sambutan Tahun Baru Cina tahun lalu di mana beliau tampil dengan pakaian kebudayaan kaum Cina berwarna merah, warna rasmi masyarakat Cina ketika menyambut perayaan itu. Bahkan dalam sebuah iklan tv yang beliau muncul, Najib turut memukul gendang sebagai tanda bersama-sama meraikan perayaan tersebut.

Di sambitan perayaan Deepavali dan Thaipusam pula, Najib tampil dengan gaya pakaian masyarakat itu iaitu berbaju warna putih.
Melihat gaya Najib tampil di pelbagai perayaan kaum dan agama di negara ini, beliau sering mengadaptasikan dirinya menjadi sebahagian daripada kelompok yang sedang menyambut perayaan itu dan ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelumnya.

Najib nampaknya terus menjadikan pelbagai sambutan perayaan di negara ini untuk menarik perhatian dan sokongan mereka yang sedang menyambut perayaan itu, sambil merelakan dirinya menjadi seperti "sesumpah" yang sering berubah warna dan penampilan mengikut tempat di mana ia berada.

Walaupun berbaju hijau, ada juga yang kecewa kerana hasrat untuk melihat Najib tampil dalam iklan tv sambil memukul beduk atau membakar lemang tidak kesampaian meskipun kemenangan BN dalam pilihanraya lalu secara majoritinya disumbangkan oleh pengundi Melayu terutama di luar bandar, kampung-kampung dan desa pedalaman.

Sampai ke sudah menunggu, meskipun iklan Hari Raya daripada syarikat-syarikat besar lain sudah muncul, iklan Najib seperti yang diharap-harapkan itu nampaknya tidak menjadi kenyataan pada tahun ini. Mungkin lain tahun agaknya.

Apa pun sekali lagi diucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. - shahbudindotcom.blogspot.com, 8 Ogos, 2013.

oleh Shahbudin Husin