Followers

Tuesday, August 6, 2013

Syiah: Doktor Wanita Ditahan JAIPK




Doktor wanita terlibat Syiah ditahan di Taiping

 Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) menahan dua individu, termasuk seorang doktor wanita, di Kamunting, Taiping hari ini kerana terlibat dengan fahaman serta ajaran Syiah.

Pengarah JAIPK Datuk Mohd Yusop Husin berkata mereka yang ditahan ialah Dr Nur Azah Abdul Halim, 41, dan Mohammad Ridzuan Yusof, 51.

Dr Nur Azah ditahan di Medan Kamunting, Taiping manakala Mohammad Ridzuan ditahan di sebuah premis di Kampung Klian Pauh Baru, Jalan Kamunting Lama, Taiping dalam serbuan yang bermula pukul 11.25 pagi.

"Dalam serbuan itu, JAIPK merampas buku, cakera padat (CD) dan poster," katanya melalui khidmat pesanan ringkas.

Beliau berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 16, Enakmen Jenayah Perak 1992 iaitu mengingkari fatwa mufti kerana memiliki buku dan dokumen berkaitan Syiah.


Komen dari NGO


NGO: Penangkapan pengikut Syiah halang kebebasan beragama

Oleh Hasbullah Awang Chik


August 06, 2013

Penangkapan dua pengikut Syiah pada Isnin oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) yang salah seorang daripada mereka adalah ibu kepada anak berusia tiga tahun, Dr Nur Azah Abdul Halim, 41, dikutuk sekeras-kerasnya oleh badan bukan kerajaan (NGO) AsSajjad Movement.

Setiausaha agungnya, Hussin Sajjad, berkata lapan anggota Jaip menuju ke sebuah klinik homeopati di Taiping, Perak bagi merampas kitab berfahaman Syiah dan seorang lagi ditahan di lokap Pekan Baru, Perak.

Katanya, seorang lagi pengikut Syiah, Mohd Ridhuan Yusuf, 51, ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Ipoh.

“Saksi melaporkan anggota Jaip menyerbu pengikut Syiah di pusat komuniti tetapi selepas mendapati premis berkenaan dikunci, mereka menuju ke rumah Ridhuan dan merampas kitab kepunyaannya.

“Penahanan kedua-dua mereka tidak dapat diterima terutama ketika penghujung Ramadan dan umat Islam sedang membuat persiapan hari raya. Kedua-dua mereka dijangka didakwa mengikut Seksyen 16 Undang-Undang Jenayah Syariah 1992 kerana mengingkari fatwa pengharaman Syiah.

“Insiden ini jelas satu bentuk gangguan pihak berkuasa kepada pegangan agama awam yang mengamalkan Syiah di Malaysia. Sepanjang beberapa bulan lalu malah sepanjang bulan Ramadan, kerajaan media dan puak kanan organisasi Islam giat mensasarkan Syiah bagi menyuburkan kebencian rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hussin berkata, ahli keluarga pengikut berkenaan terkapai-kapai mencari peguam dan mencari yuran guaman apatah lagi menjelang musim perayaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengesan terdapat 250,000 pengikut Syiah di negara ini dengan 10 kumpulan dikenal pasti bergerak aktif.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, berkata jika 10 tahun dahulu mereka cuma terdiri daripada komuniti kecil dan mempunyai tiga markas sahaja, tetapi kini markas mereka hampir di seluruh negeri.

Katanya, Perkembangan teknolgi maklumat antara faktor memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan menyebarkan fahaman apatah lagi orang ramai mudah untuk akses kepada pelbagai bentuk laman sosial dan media sosial," katanya hari ini. - 6 Ogos, 2013.

sumber...tiewnama dan TMI