Followers

Tuesday, September 17, 2013

Kantoi : Kekasih Gelap Rupa Rupanya Seorang Janda..


 Inai dijari masih merah

Melaka: Bimbang rahsia bersama kekasih gelapnya terbongkar, seorang lelaki nekad terjun dari tingkat tiga sebuah hotel bajet dan melarikan diri dalam keadaan separuh bogel bagi mengelak dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Ujong Pasir di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, lelaki berusia 33 tahun yang baru melangsungkan perkahwinan dan masih mempunyai inai di jari itu, lari meninggalkan kekasih gelapnya, seorang janda berusia 34 tahun dalam bilik hotel disewa mereka.

Lelaki itu bagaimanapun menyerah diri di pejabat penguat kuasa JAIM tidak lama selepas kejadian.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM Rahimin Bani berkata, sepasukan penguat kuasa JAIM terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum pintu hotel dihuni pasangan itu dibuka, tetapi mereka dikejutkan dengan bunyi benda jatuh.

“Pegawai dan anggota JAIM terus masuk untuk memeriksa dan mendapati ada seorang wanita ketika itu menutup badannya dengan selimut.

“Pemeriksaan mendapati tingkap terbuka dan lelaki yang bersama wanita terbabit terjun melarikan diri dengan hanya memakai seluar pendek labuh,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, wanita itu mengakui lelaki terbabit bersamanya beberapa jam sebelum bilik diperiksa dan turut ditemui dalam bilik itu pakaian serta dompet lelaki terbabit.

Katanya, wanita itu yang berstatus ibu tunggal ditahan untuk siasatan selepas mendapati dia berkurung bersama lelaki bukan mahram.

“Soal siasat dilakukan mendapati lelaki terbabit melarikan diri bimbang diketahui isterinya jika ditangkap bersama wanita berkenaan yang sudah lama dikenalinya.

“Dia baru berkahwin enam bulan lalu dan inai di jari masih ada,” katanya.

Menurutnya, dalam satu lagi pemeriksaan di hotel sama, seorang lelaki berusia 21 tahun menjadikan selimut yang diikat pada bingkai tingkap sebagai tali untuk turun dari bilik hotel yang disewa bersama pasangannya.

Operasi bermula jam 9.30 malam hingga jam 6 pagi itu dilakukan 16 pegawai dan anggota penguat kuasa JAIM dengan memeriksa 10 hotel bajet serta rumah urut di kawasan sekitar bandar.

Sebanyak 10 pasangan berusia antara 16 dan 34 tahun termasuk pasangan warga Bangladesh dan Indonesia serta pasangan yang menyewa hotel semata-mata untuk melepaskan gian syabu ditahan Menurutnya, pasangan yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan mahram.

sumber...mymetro