Followers

Tuesday, September 10, 2013

Imam Nawawi Lebih REAL Dari Fathul Bari UMngok




Imam Nawawi dan Fathul Bhari pada sisi rakyat

IMAM Nawawi atau nama penuhnya Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu al-Nawawi (631 -676H) ialah anak kelahiran Damsyik, Syam (Syria). Menghafaz Quran sejak dari kecil,  beliau dilapor mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam berbagai jurusan ilmu  agama. Antara buku karangan ulama terkenal Mazhab Shafie ini adalah Syarah Sahih  Muslim dan Riyadus Salihin.

Sepanjang hayatnya, Imam Nawawi telah menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada  agama Islam dan umatnya. Ketegasannya dalam menyampaikan kebenaran Islam tiada tolok  banding pada zamannya. Sebagai ulama yang memimpin umat, beliau memfatwakan kebenaran  tanpa rasa takut walaupun akibatnya merugikan kedudukan dan mengancam nyawanya.

Terdapat satu kisah masyhur berhubung Imam Nawawi yang menjelaskan lagi kemuliaan  peribadi ulama terkemuka ini. Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah  mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu  digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan  perang melawan musuh.

Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun  baginda belum merasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya.

Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau.  Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong  fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu.

"Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba  tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah  kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang  hamba, tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita  milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai.

"Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka  tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk  membenarkan kamu mengambil harta rakyat."

Kesimpulannya, Imam Nawawi berfatwa tidak membenar Al-Zahir mengambil harta rakyat  selama kekayaannya sendiri masih dapat digunakan.

Sultan Al-Malik Al-Zahir begitu murka apabila mendengar fatwa itu sehingga sesetengah  riwayat melaporkan, para ulama yang hadir mengangkat jubah masing-masing kerana  takutkan percikan darah terkena hujung jubah mereka jika Sultan memancung kepala Imam  Nawawi.
Namun Sultan mengeluarkan perintah supaya Imam Nawawi segera keluar dari Damsyik.  Akur dengan perintah itu, beliau membawa diri ke Nawa. Para ulama Syam berusaha  menjemput Imam Nawawi kembali ke Damsyik namun beliau enggan selagi Al-Zahir memegang  tampuk pemerintahan.

Begitulah keberanian jiwa seorang ulama yang tidak mahu mengejar pangkat dan  kedudukan kerana tidak rela mengorbankan kebenaran Islam.

Kisah di atas turut menjelaskan tentang kewajipan kerajaan yang sedang berhadapan  dengan krisis dan setakat mana kepentingan rakyat perlu dikorbankan semasa negara  mengalami krisis. Pemerintah yang adil, amanah dan bertanggung jawab sudah pasti  mengutamakan rakyat dan tidak mengorbankan kepentingan rakyat.

Dalam menghadapi kemelesetan ekonomi sebagai contoh, kerajaan perlulah mencari kaedah  terbaik bagi mengelak rakyat menghadapi kepayahan hidup dan tidak mencari jalan  pintas dengan membebankan rakyat. Apatah lagi jika kemelesetan ekonomi itu berpunca  daripada amalan berbelanja kerajaan (yang boros), rasuah, penyelewengan dan kegagalan  mengurus tadbir negara dengan baik.

Sehubungan itu saranan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya  kerajaan menanggung sendiri beban kewangan yang meningkat dan bukan melepaskannya ke  bahu rakyat perlu diberi perhatian serius.

Mengulas langkah kerajaan BN menaikkan harga runcit Ron95 dan diesel, Ku Li menggesa  agar gejala rasuah yang menjadi masalah terbesar dalam pentadbiran negara diatasi  segera kerana ia menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.

"Amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang  yang banyak. Akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripadanya,"  tegas beliau.

Bagi Ku Li, kerajaan telah membiarkan rakyat bawahan membayar kos tambahan akibat  daripada kos projek yang terlalu mahal (akibat rasuah).

"Kerajaan sepatutnya menanggung sendiri beban kewangan yang meningkat, bukan  melepaskannya ke bahu rakyat," tegas bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menyarankan supaya semua pemimpin kerajaan termasuk  menteri dan bekas menteri mengisytiharkan harta masing-masing sebagai salah satu  langkah membanteras amalan rasuah.

"Ini termasuk juga isytihar duit (wang simpanan). Saya sendiri akan isytihar  (walaupun sudah lama tidak jadi menteri)," lapor Sinar Harian, 7 September lalu.

Lain pula kisahnya dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno  (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu rakyat menerima kenaikan harga barangan  (akibat kenaikan harga minyak) sebagai takdir dan ketetapan daripada Allah SWT.

Mengulas pandangan Fathul Bari itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim  Tuan Man berkata, Islam menitikberatkan konsep adil kepada semua pihak - peniaga dan  pembeli.

Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, tidak wajar mengajak rakyat menerima kenaikan harga  barangan sebagai takdir sedangkan pada masa yang sama ada pemimpin negara, ahli  korporat dan syarikat kroni terus-menerus mengambil kesempatan untuk hidup bermewah.

"Memang hakikat naik turun, ajal maut semua ketentuan Allah tetapi bukan bermakna  pemerintah boleh sesuka hati meletakkan kesalahan kepada takdir.

"Demikian juga kalau kita tengok kerajaan memotong subsidi untuk rakyat tetapi dalam  waktu sama golongan korporat dan bangsawan dilihat hidup melampau-lampau mewah,"  katanya dipetik TV Selangor.

Kenyataan Fathul Bari itu juga, tegas beliau berbahaya kerana boleh memberi gambaran  bahawa peniaga boleh bebas menaikkan harga barangan dan pengguna harus menerimanya  sebagai takdir.

Kesimpulannya, negara perlukan pemerintah yang adil dan ulama yang amanah dengan  ilmunya untuk terus kekal makmur dan harmoni. Tanpa dua syarat itu, hasrat mewujudkan  sebuah negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT tidak akan tercapai.

Oleh Ahmad Tajdid