Followers

Monday, September 9, 2013

Kuza Pulak Bertudung !




FIGURA ini mengakui dia tidak cemburu melihat wanita lain yang tampil dengan pelbagai fesyen rambut.

KINI ramai artis wanita yang mula menyarung hijab selepas mendapat hidayah. Terbaharu, pelakon drama, Tengku Sariza Tengku Muzani atau Kuza tampil manis dengan hijab ketika ditemui pada majlis Mesra Raya Aidilfitri Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.Kali terakhir, penampilan kakak kepada pelakon Kuna itu menerusi drama seram popular, Waris dia belum mengenakan hijab.Justeru, adakah Kuza bakal bersara dari dunia lakonan?

Ikuti sedutan temu bual Kuza bersama Kosmo!.Kosmo!:

Sejak bila Kuza mengenakan hijab?

KUZA: Sebenarnya sudah lama saya memasang niat untuk berhijab. Alhamdulillah, saya mula berhijab pada bulan Ramadan lalu. Lagipun, umur saya sudah memasuki 40 tahun. Lebih elok saya mendekatkan diri kepada Allah.

Bagaimanakah reaksi rakan-rakan mengenai perubahan Kuza ini?

Saya tidak mahu ada yang beranggapan saya berhijab kerana fesyen dan trend. Niat saya adalah untuk melaksanakan tuntutan Allah. Pada mulanya, saya menyampaikan niat untuk berhijab kepada keluarga. Alhamdulillah, keluarga menyokong niat saya.

Apakah perasaan Kuza selepas mengenakan hijab?

Alhamdulillah, sampai saat ini Allah mempermudahkan urusan dan saya tenang menjalani kehidupan dalam imej baharu ini. Saya sangat selesa selepas memakai tudung.
 
Ada perasan cemburu apabila melihat penampilan wanita yang tidak berhijab?
Syukur, saya tiada rasa cemburu melihat penampilan orang lain dengan pelbagai fesyen rambut.
Adakah selepas berhijab Kuza akan meneruskan karier lakonan?

Ya, saya akan terus berlakon, namun saya meletakkan syarat agar aurat saya sentiasa terpelihara.

Bagaimana pula dengan watak yang akan dipilih Kuza selepas ini?

Saya tidak kisah watak yang ditawarkan, asalkan aurat saya sentiasa terjaga dan watak tersebut juga bersesuaian dengan umur saya.

Ada sebarang tawaran berlakon selepas Kuza mengenakan hijab?

Memang ada tawaran yang datang tetapi saya beritahu mengenai penampilan terbaharu saya ini. Selepas itu, mereka kata akan hubungi kembali.

Adakah Kuza terkilan dengan perkara itu?

Saya tidak terkilan dan tiada masalah jika tidak mendapat tawaran tersebut. Allah yang mengurniaklan rezeki buat saya. Kalau saya berada dalam kesusahan, kepada Dia jugalah tempat untuk saya mengadu.