Followers

Tuesday, July 21, 2015

Tun M Tibai Kes Guling Najib Lagi ...



Usaha Gulingkan Najib 'Diketahui Semua Orang' - Tun M

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika ini lantang menentang pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau selama ini secara terbuka berkempen supaya Najib berundur.

Tiada konspirasi, saya terang-terang mahu Najib undur, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas cakap-cakap yang wujud konspirasi untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, mengatakan tidak pernah ada cubaan secara rahsia untuk menjatuhkan beliau.

Menulis di dalam blognya chedet.cc, bekas perdana menteri yang ketika ini lantang menentang pentadbiran Najib itu berkata, beliau selama ini secara terbuka berkempen supaya Najib berundur.

"Adakah wujud konspirasi? Adakah seseorang atau sesuatu kumpulan yang sedang berkonspirasi atau bergerak dalam diam-diam cuba menggulingkan Najib?

"Sebelum ini mungkin ada, tetapi selain mereka yang secara senyap-senyap meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Najib, tiada siapa merancang menjatuhkan beliau.

"Bukanlah hendak kata mereka mengalu-alukan beliau meletak jawatan atau mengosongkan kerusinya. Tetapi, tidak ada rancangan dan tindakan aktif yang dibuat secara rahsia," katanya.

Dr Mahathir berkata, tidak ada konspirasi dalam pengisytiharan terbukanya meminta Najib meletak jawatan.

Dalam gaya biasa bahasanya yang pedas, beliau berkata, jika dijalankan penyiasatan, tidak perlu khidmat detektif atau ejen khas pun, semua orang tahu wujud gesaan supaya Najib disingkirkan.

"Jadi, sekali lagi, di mana konspirasinya! Semuanya terang-terangan. Tidak perlu berkonspirasi. Kempen supaya beliau berhenti menjadi perdana menteri diadakan secara terbuka," katanya.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu juga membidas penyokong Najib yang menegaskan tiada siapa berhak menuntut seorang presiden Umno yang dipilih untuk berundur, dengan sinis menyatakan mereka mempunyai "memori yang singkat" kerana sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga dipilih, diminta melepas jawatan.

"Singkat sangatkah memori mereka? Tidakkah mereka ingat, Abdullah yang juga dipilih, diminta oleh Najib untuk berundur. Dan dia menurut. Dan saya pun, juga perdana menteri yang dipilih, berundur pada 2003," katanya.

Abdullah mengambil alih dari Dr Mahathir apabila beliau bersara pada tahun 2003, tetapi prestasi teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2008 meningkatkan gesaan terhadapnya supaya meletak jawatan.

Dr Mahathir memulakan kritikannya terhadap Abdullah sejak 2005 dan malah keluar daripada Umno sebagai protes terhadap kepimpinan Abdullah pada Mei 2008, dua bulan selepas pilihan raya umum.

Abdullah akhirnya mengosongkan kerusinya dan timbalannya, Najib, mengambil alih pada April 2009.

Dr Mahathir kemudiannya memohon semula menjadi ahli Umno pada 2009, selepas Najib menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir menegaskan, di mana-mana di seluruh dunia, presiden dan perdana menteri yang dipilih akan berundur apabila diminta atau dipaksa berbuat demikian.

Katanya, di sesetengah negara, sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi, menteri dan perdana menteri akan turut meletak jawatan.

"Oleh itu, jangan jadi bodoh dan kata memandangkan Najib dipilih, tiada siapa berhak meminta beliau berundur.

"Abdullah memenangi lebih banyak kerusi pada 2008 dibandingkan Najib pada 2013. Jika Abdullah sedia meletak jawatan, Najib selepas prestasi beliau yang buruk pada pilihan raya umum, sepatutnya tidak perlu pun menawarkan diri menjadi perdana menteri.

"Beliau patut meletak jawatan sebagai presiden Umno dan ketua BN dan biarkan orang lain menjadi ketua dan menjadi perdana menteri," katanya.

sumber...TMI