Followers

Friday, April 6, 2018

Mahathir Kini Lebih Popular Berbanding Najib



Majoriti responden yang terlibat dalam kaji selidik terkini Institut Darul Ehsan (IDE) memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Berdasarkan dapatan badan pemikir berpangkalan di Selangor itu 61 peratus daripada 4,920 responden memilih pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berbanding 39 peratus yang mahu Datuk Seri Najib Razak dikekalkan sebagai perdana menteri.

"Secara keseluruhan orang ramai masih melihat era Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tempoh keemasan negara ini," kata Ketua Eksekutif IDE Prof Datuk Dr Redzuan Othman hari ini.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan dapatan Kaji Selidik Malaysia 2018 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Kaji selidik itu berlangung dari 23 hingga 26 Mac lalu.

Dari segi pecahan kaum, kata Redzuan, etnik Cina memberikan sokongan terbesar buat Dr Mahathir iaitu 72 peratus, diikuti India (61 peratus) dan Melayu (57 peratus).

Kata Redzuan di sebalik kritikan terhadap cara pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri sebelum ini, kesannya lebih rendah berbanding populariti dirinya.

Menurut bekas kakitangan kanan Universiti Malaya itu beliau berpeluang menemu bual Dr Mahathir secara peribadi dan dimaklumkan, akan ada peralihan sokongan besar daripada pengundi Melayu untuk HARAPAN.

"Saya juga berbincang dengan Lim Kit Siang (pemimpin veteran DAP) dan beliau sangat yakin akan berlaku tsunami Melayu selepas parlimen dibubarkan," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan ketara pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke-12 pada 2008 hanya berlaku kurang dari seminggu sebelum hari mengundi.

[Baca berita penuh]