Followers

Monday, September 5, 2011

Adakah Benar imigresen buat duit dalam perdagangan manusia

'Imigresen dikaitkan dengan penyeludupan manusia'

Kabel diplomatik sulit Amerika Syarikat bermula tahun 2008 menimbulkan dakwaan yang serius berhubung aktiviti penyeludupan manusia oleh kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia yang bekerja di sempadan Malaysia-Thai.

Kabel, bertarikh 10 Sept, 2008 itu, menggariskan laporan oleh Keith Luse, seorang kakitangan profesional Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat, berhubung siasatannya mengenai dakwaan pelarian Burma diseludup masuk di sempadan dengan bantuan pegawai imigresen Malaysia.

Menurut kabel itu, Luse, yang berada di negara ini pada 25 hingga 31 Ogos, telah bertemu dengan pelbagai NGO, aktivis, pelarian dan perwakilan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Mereka secara umum mengakui kakitangan imigresen peringkat bawahan terbabit dalam penyeludupan pelarian Burma.

Aktivis dan badan-badan bukan kerajaan itu juga memberitahu Luse bahawa penyeludup manusia yang berurusan dengan pihak berkuasa imigresen Malaysia, terdiri daripada rakyat Thailand, Malaysia dan Burma, kata kabel itu.

Berdasarkan sumber, aktiviti pemerdagangan manusia di sempadan Thai-Malaysia seperti yang digariskan oleh Luse, berlaku sekitar jam 1 pagi hingga 3 pagi. Pegawai imigresen dilaporkan mengangkut pelarian Burma dari Pusat Tahanan Imigresen (IDC) menggunakan kenderaan rasmi.

Pelarian berkenaan kemudiannya didakwa diserahkan kepada penyeludup yang beroperasi dari kawasan Thailand di sempadan berkenaan.

"Pegawai Imigresen menerima antara RM400 hingga RM700 bagi setiap pelarian. Saiz kumpulan pelarian yang dijual kepada pedagang manusia itu pula, puratanya antara 45 hingga 100 orang, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak," kata kabel yang dimuat-naikan di portal Wikileaks.

Menurut laporan Luse, penyeludup berkenaan akan memberi pelarian itu peluang untuk menghubungi seseorang di Malaysia bagi membayar wang tebusan sebanyak RM1,500 hingga RM1 900 bagi setiap orang.

"Mereka yang mampu menjelaskan wang tebusan kemudiannya diseludup masuk semula ke Malaysia dan dibebaskan.

NONE"Mereka yang tidak mampu membayar dijual kepada industri perikanan Thai, kilang-kilang atau ladang-ladang jika pelarian itu seorang lelaki.

“Pedagang manusia ini didakwa menjual wanita ke rumah pelacuran, hotel dan tempat perhambaan. Sesetengah sumber menyatakan bahawa para pedagang manusia memaksa sesetengah kanak-kanak bekerja sebagai pengemis kanak-kanak di Bangkok dan di tempat-tempat lain," kata kabel, yang bagaimanapun menegaskan bahawa dakwaan terakhir itu dibuat tanpa bukti.

sumber...malaysiaKini

Sunday, September 4, 2011

Kelab Putera perlu tanggungjawab kematian jurukamera


Kelab Putera perlu tanggungjawab kematian jurukamera, kata saudara

SUBANG, 4 Sept — Keluarga terdekat Noramfaizul Mohd Nor mahu penganjur misi kemanusiaan ke Somalia, Kelab Putera 1 Malaysia memikul tanggungjawab atas kematian jurukamera Bernama TV itu kelmarin.

Kelab itu diketuai oleh ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez yang juga Ketua Putera parti itu.

“Mereka (Kelab Putera 1 Malaysia) adalah pihak yang menganjurkan (misi)kemanusiaan). Mereka tidak boleh lepas tangan,” kata pak cik Noramfaizul, Abu Bakar Md Yasin kepada The Malaysian Insider di Pangkalan TUDM di sini hari ini.

“Mereka seharusnya telah melakukan risikan awal. Ia negara asing,” kata bekas kakitangan awam Kementerian Pertahanan ini.

Seorang lagi bapa saudara pak cik Noramfaizul, Md Tahir Md Yasin berkata kematian itu sepatutnya boleh dielakkan.

“Mereka seharusnya memakai baju kalis peluru. Ia bukan negara stabil,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bekas guru berusia 69 tahun ini berkata, Bernama juga seharusnya bertanggungjawab atas kematian Noramfaizul, selain Kelab Putera 1 Malaysia.

Mary Francis, pakar psikologi yang merupakan salah seorang peserta misi kemanusiaan memberi pandangan yang seiring dengan kenyataan Tahir dengan berkata: “Mereka tiada jaket kalis peluru. Ini penting di negara yang berkonflik.”

Katanya, peserta pasukan ada memakai jaket kalis peluru ketika jenazah Noramfaizul dibawa pulang.

“Bagaimanapun ia sudah terlewat... dia mungkin selamat jika ada mengenakan jaket,” katanya.

Suri rumah berusia 54 tahun ini yang menitiskan air mata berkata, pasukan misi kemanusiaan seharusnya telah diberikan latihan secukupnya.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata, wakil media misi sewajarnya telah diberikan latihan dan disediakan aspek keselamatan yang baik.

“Menyediakan jaket, kereta kalis peluru... seharusnya mereka disediakan tahap keselamatan tentera yang lebih baik,” katanya.

“Mereka seharusnya telah diberikan latihan zon perang. Peserta kali pertama (pula) tidak seharusnya dihantar,” kata beliau.

sumber...TMI



Friday, September 2, 2011

Umno palsukan sejarah demi propaganda politik

oleh Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mempersoal usaha sistematik kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) selama berdekad-dekad bagi ‘memalsukan’ sejarah dengan menukarnya sebagai propaganda mereka.

“Kami mengkritik usaha sistematik berdekad-dekad lamanya untuk ‘memalsukan’ sejarah Malaysia agar hanya sumbangan Umno dan sekutu mereka diiktiraf manakala sumbangan dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan lain dipadam.

“Apa sudah jadi kepada tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?” kata satu kenyataan media bersama Sekretariat Pakatan iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad, Dr Dzulkefly Ahmad dan Liew Chin Tong, hari ini.

Pakatan Rakyat juga mempersoal jasa pejuang seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang menerajui aktivisme politik Melayu kelihatan ‘hambar’ dalam sejarah.

“Kita juga ada Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA),” kata kenyataan itu yang mendapati, ia tidak ditonjolkan.

Mengikut kenyataan itu, Pakatan Rakyat membidas tindakan Umno yang seolah-olah menonjolkan perjuangan kemerdekaan usaha Perikatan semata-mata dengan menulis sejarah versi Umno.

“Jika kita baca sejarah Dr Burhanuddin, Boestamam dan Pak Sako, kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, anti-kolonialisme dan ketakutan institusi dan penindasan tetapi mereka ditangkap kerajaan Perikatan (nama lama BN) setelah difitnah antara lain, menjadi tali barut komunis.

“Buku sejarah bukan sahaja kehilangan satu, dua bab tetapi satu sejarah dipadamkan daripada rekod rasmi negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Umno mempunyai kepentingan politik untuk mengekalkan versi mereka untuk dijadikan asas bagi menutup tipu helah mereka yang menindas pihak lawan.

sumber...Keadilandaily


Kantoi asap ganja


Ibu hembus asap ganja ke dalam mulut anak

GILBERT, Amerika Syarikat (AS)

– Seorang ibu berusia 21 tahun, Jessica Callaway menghembuskan asap ganja ke dalam mulut seorang anak perempuan yang berusia 10 bulan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Dia kemudian ditangkap selepas seorang rakannya merakamkan kejadian tersebut menerusi telefon bimbit sebelum membuat aduan kepada polis di sini.

Menurut Jessica, dia melakukan perbuatan itu kerana anaknya tidak berhenti-henti menangis.

Ibu muda itu juga didapati memukul anaknya itu.

Dia mengaku kepada polis bahawa perbuatan tersebut pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.

Jessica kemudian dibebaskan dengan ikat jamin AS$2,700 (RM8.074).

Namun, dia dikenakan dengan tiga dakwaan mendera kanak-kanak.

sumber...Agensi

Thursday, September 1, 2011

Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Utusan UMNO...Utusex



Baru-baru ini Berita Harian cuba mengapi-apikan isu agama yang kononnya masjid-masjid di Pulau Pinang disekat dan dinafikan hak untuk menggunakan pembesar suara pada waktu subuh. Berita tersebut disertakan juga wawancara dengan Naib Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. Mengikut Ahmad Zahid, "Perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam".

Tambahnya, "Larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu adalah arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri". Dengan perkiraan politik ala-UMNO, tambahnya sekali lagi, "Larangan tersebut akan menjadi ikutan kepada negeri lain yang diperintah oleh Pakatan Rakyat".

Selepas berita tersebut disiarkan, seperti biasalah, isu ini berjaya dipolitikkan dan mengajak pihak-pihak berkepentingan untuk mengulas dan mengkritik dilema Islam di bawah pemerintahan DAP. Malangnya, rupa-rupanya "larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih". Lebih-lebih lagi, larangan tersebut sudah wujud di negeri Perlis yang di bawah pemerintahan UMNO.

Maka dengan jelas sekali, kegagalan Ahmad Zahid (gambar kiri) dalam memahami isu sebenar. Tanpa menyiasat dengan lebih mendalam dia melaungkan bahawa, "sebagai sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, amalan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara harus dihormati" Kenyataan ini akhirnya bukan sahaja tidak releven bahkan mendedahkan hipokritnya kepada semua rakyat.

Cara yang sama digunakan MCA, Gerakan...

Beberapa hari selepas isu tersebut, timbul pula satu isu yang berkaitan dengan perayaan hari bulan ketujuh iaitu Bulan Hantu Lapar. Akhbar berbahasa Cina memaparkan kesukaran ahli jawatankuasa perayaan di beberapa kawasan di Pulau Pinang mendapat permit polis. Ini diikuti pula dengan orang-orang politik dari parti MCA, Gerakan dan DAP memulakan permainan politik. Cara dan modelnya adalah serupa.

Sebenarnya pencemaran bunyi yang berkaitan dengan adat dan agama amat ketara di Malaysia. Saya berpendapat bahawa semua pencemaran-pencemaran bunyi yang dapat dielakkan patut dikawal. Ini termasuk bunyi persembahan semasa perayaan Bulan Hantu Lapar, bunyi bacaan sutra yang terlalu kuat sehingga mengganggu ketenteraman jiran semasa upacara pengebumian kaum Cina, musik tarian singa dan naga semasa perayaan Tahun Baru Cina, permainan mercun api dan sebagainya.

Kita semua ingin hidup dengan aman dan damai. Bunyi yang terlalu kuat yang disebarkan terlalu awal atau larut malam akan mendera telinga kita. Disebabkan itu, perasaan kita mungkin terusik dan jikalau tidak dapat tidur atau kualiti tidur kita tidak baik, prestasi pelajaran atau kerja mungkin terjejas. Bayi-bayi yang kecil lebih terdedah lagi dengan ancaman bunyi kuat yang akan menakut-nakutkan mereka.

Berita Harian bukannya media yang selalu sengaja membangkit-bangkitkan isu sensitif yang berkaitan dengan agama dan kaum. Utusan Malaysia sebenarnya lebih "pandai" dalam hal ini. Harap selepas isu tersebut Berita Harian tidak terikut-ikut dengan kewartawanan Utusan Malaysia.

Dari Utusan Melayu ke Utusan Malaysia

Saya memulakan tabiat membaca bahan bacaan Bahasa Melayu/ Malaysia semasa masih belajar di sekolah menengah. Saya melanggan Dewan Siswa semasa tingkatan dua dan mengikuti semua isu Dewan Masyarakat di perpustakaan semasa tingkatan empat untuk menyediakan diri dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia di SPM. Sebagai generasi Malaysia yang mengikuti pendidikan di bawah dasar kebangsaan, saya dan kebanyakan kawan saya dapat membaca surat khabar Bahasa Malaysia dengan tiada sebarang kesukaran.

Semasa melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, saya sering membaca Utusan Malaysia. Secara kabur dalam ingatan pada masa itu masih menggunakan nama "Utusan Melayu". Utusan Malaysia pada suatu ketika adalah media yang masih dihormati ramai. Kualiti Utusan Melayu atau Utusan Malaysia mulai menyusut pada akhir tahun 1990-an. Utusan Melayu yang pada suatu waktu mempunyai pendirian tersendiri yang menyuarakan ketidakpuasan masyarakat Melayu sudah menjadi media UMNO.

Bermula dari saat gerakan reformasi, ianya hanya menjadi saluran penyampaian maklumat untuk parti pemerintah. Dan ianya dijalankan dengan berat sebelah tanpa mempertimbangkan rasional pembaca. Pada zaman teknologi ini, pembaca tidak menerima maklumat yang disalurkan oleh media arus perdana dengan membuta tuli. Pembaca-pembaca yang berpendidikan mampu menilai mesej yang ingin disampaikan dengan rujukan kepada media baru di Internet.

Entah bila nama Utusan Melayu sudah bertukar kepada Utusan Malaysia. Walaupun demikian, Utusan Malaysia ini bukan sahaja kurang Malaysia malah lebih Melayu daripada Utusan Melayu yang wujud pada suatu ketika dahulu. Penukaran nama tidak diikuti dengan perubahan pemikiran yang lebih Malaysia.

Kualiti Utusan Malaysia merosot dengan lebih serius lagi selepas Pakatan Rakyat berjaya memerintah di beberapa buah negeri selepas pilihan raya pada tahun 2008. Pada hari ini, Utusan Malaysia sepatutnya ditukar nama menjadi Utusan UMNO. Segala berita yang disiarkan pada masa kini amat memihak kepada UMNO tanpa pertimbangan kerasionalannya.

Berita sensasi yang disukai oleh Utusan Malaysia ialah isu-isu perkauman dan agama yang dianggap kegagalan yang disebabkan oleh persaingan UMNO dengan Pakatan Rakyat. Di sebaliknya, kegagalan yang disebabkan oleh UMNO dibiarkan atau hanya sengaja menutup sebelah mata. Kegagalan Utusan Malaysia dapat dibuktikan dengan kekecewaan yang ditunjukkan oleh (bekas) wartawannya sendiri Hata Wahari (gambar kanan, kanan).

Mimpi hari kemerdekaan saya...

Struktur media Malaysia yang dibelah bahagi mengikut pembaca kaum tertentu menjadi masalah. Akhbar Cina menyuarakan permintaan masyarakat Cina, Tamil Nesan untuk masyarakat India, manakala Berita Harian menyuarakan keperluan masyarakat Melayu (Utusan Malaysia sudah merosot menjadi wadah untuk UMNO). Selama ini, kita sering menggunakan nama agama dan kaum untuk menyekat sesama sendiri.

Memang tinggalan sejarah yang menyebabkan struktur media sedemikian wujud. Tetapi banyak perubahan telah berubah sejak merdeka dan selepas Mei 13. Sesuatu isu bukan hanya dapat difahami daripada perspektif satu-satu kaum sahaja. Misalannya isu berkaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ianya bukan hanya memanfaatkan elit-elit UMNO tetapi juga taukeh-taukeh Cina dan peniaga India yang rapat dengan UMNO. Isu DEB lebih kompleks daripada yang pernah kita fikirkan. Ia bukan hanya melibatkan kepentingan satu kaum.

Ramai daripada kita sudah bosan dan muak dengan Malaysia yang selalu diputarbelitkan oleh isu perkauman dalam media arus perdana. Kita memerlukan media yang menyuarakan kepentingan semua dan bukannya hanya memihak kepada satu kaum.

Harap pada suatu hari nanti media yang menampung suara semua rakyat dapat wujud. Perspektif berita adalah berdasarkan pertimbangan keadilan dan kesaksaman hak seseorang individu dan komuniti yang dinilai tanpa mengira kaum. Bagi isu nasional, kepentingan negara lebih diambil kira daripada hanya mementingkan hak sesuatu kaum.

Ini mimpi saya buat Hari Kemerdekaan.

*Tan Lee Ooi ialah kolumnis MerdekaReview.