KUALA LUMPUR 23 Julai: Saksi memberitahu, beliau turut dibelasah dan dikejar sekumpulan polis gara-gara cuba menghentikan keganasan anggota terbabit dari terus memukul abang kandungnya pada Himpunan Bersih 28 April lalu.
Hanafi Ahmad Zainuddin, 34, merupakan adik kepada saksi pertama pendengaran awam sidang keempat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini, Hanif Ahmad Zainuddin, 36.
“Ketika kami sedang duduk dalam kumpulan, tiba-tiba datang sekumpulan polis ke arah kami dan kemudian menarik abang saya,” kata Hanafi.
“Kumpulan polis dalam lingkungan 10 hingga 15 orang itu terus menerus membelasah abang saya sampai dia tak berdaya,” katanya lagi.
Menurut Hanafi, apabila dia melaungkan ‘berhenti pukul abang saya’, polis tersebut bertindak menyerangnya pula.
“Tiga hingga empat anggota kemudian menyerang saya, tumbuk muka dan hentak belakang saya. Nasib baik saya berjaya larikan diri,” jelas beliau.
Hanafi kemudian menuju ke arah Pasar Seni dan menyembunyikan diri sebelum pulang menaiki LRT.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33193