Kenyataan bijaksana Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai isu
Syiah yang dimomokkan media massa, dimainkan oleh sebahagian ahli
politik, diracuni pula oleh kumpulan Tafriqah dan Takfiri dan didiamkan
oleh sebahagian besar agamawan menyerlahkan kewibawaan PAS selaku
gerakan Islam paling berpengalaman dan
reliable di Malaysia.
Ini menunjukkan kematangan PAS dan Abdul Hadi sendiri dalam memahami
sepak terajang politik antarabangsa dan sejarah ketamadunan Islam itu
sendiri.
Ketika mana UMNO dilihat mengunakan isu Syiah untuk percaturan politik
sempit mereka untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat Melayu setelah
menyedari masyarakat bukan Melayu telah secara hampir total tidak lagi
menyokong mereka dalam PRU 13 baru-baru ini.
Kenyataan yang amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat Muslim
antarabangsa yang pelik memerhatikan gelagat Malaysia yang menghina,
mengecam dan mengkafirkan pengikut Syiah secara begitu biadab tanpa
pembelaan dari sebahagian besar agamawan tanah air. Malaysia merupakan
satu-satunya negara di dunia bertindak keterlaluan terhadap masyarkat
Syiah.
Arab Saudi yang diketahui mempunyai hubungan diplomatik yang buruk
dengan Iran juga tidak pernah bertindak sedemikian terhadap lebih tiga
juta pengikut Syiah di negara mereka.
Setelah hampir setiap hari momokan dilakukan media-media massa dan
media-media sosial terhadap masyarakat Syiah, kenyataan Abdul Hadi
membuktikan bahawa Malaysia masih lagi mempunyai pemimpin Islam yang
berwibawa, bersesuaian dengan prinsip “
PAS for All”.
Ketika sebahagian pemimpin PAS terutama di peringkat pemuda mula mengikut rentak gerakan
neo wahabism Abdul Hadi tampil dengan penuh kematangan sebagai tokoh pemimpin gerakan Islam bertaraf antarabangsa.
Di samping itu, kenyataan pembelaan Abdul Hadi boleh menarik sokongan
pengikut Syiah yang dikatakan berjumlah 250-300 ribu kepada PAS. Adalah
dipercayai ramai juga pengikut syiah yang menyokong UMNO sebelum ini.
Isu Sunnah Syiah dimainkan kembali ekoran peperangan proksi di Syria
yang didalangi oleh Amerika . Mudahnya, Syria perlu dihancurkan untuk
menyekat laluan bantuan ketenteraan Iran kepada Hezbullah. Penguasaan
regim barat ke atas bumi Syria bukan sahaja melemahkan Hezbullah tetapi
akan membunuh Hamas dan Jihad Islami di bumi Palestin. Inilah cita-cita
Israel.
Malangnya hari ini seruan jihad di bumi Syria dicanangkan melalui
organisasi wahabi dan pro wahabi seluruh dunia yang dibiayai oleh sekutu
Amerika di Timur Tengah iaitu Saudi dan Qatar.
Mereka menciptakan semangat jihad palsu di bumi Syria dan mempengaruhi
anak-anak muda menyertai gerombolan pengganas untuk menghancurkan
keamanan bumi Syria.
Pihak kerajaaan Syria yang mempertahankan tanahair mereka dan Hezbullah yang wajib mempertahankan
survival mereka dicop sebagai Syiah yang kononnya gemar menumpahkan darah Ahlus Sunnah. Maka skrip Syiah Sunnah dimainkan kembali.
Di Malaysia sendiri ramai kader-kader wahabi melalui
Hizbut Tahrir menggerakkan semangat jihad palsu Syria dengan menggunakan baja kebencian kepada Syiah.
Lihat bagaimana pelbagai organisasi media sosial ditubuhkan seperti
Gerakan Anti Syiah Malaysia, Syrian Care dan sebagainya yang digunakan
untuk
merekrut anak-anak muda melayu yang tidak berdosa menjadi mangsa
politik Amerika Zionis di Syria.
Adalah menjadi rahsia umum bahawa telah terdapat beberapa anak muda
Malaysia yang berada di sana dan berperang bersama firqah Nusrah yang
ekstrim. Sepatutnya Kementrian Dalam Negeri (KDN) memantau keadaan ini
bukannya sibuk membilang berapa ramekins pengikut Syiah di Malaysia.
Kepulangan pejuang-pejuang jihad melayu ini yang
trigger happy
ke Malaysia adalah hadiah terbesar Umno untuk diri sendiri dan rakyat
Malaysia. Tahniah.
KDN tentu masih ingat “Geng Styer” dan Kumpulan
Mujahidin Malaysia KMM.
UMNO sepatutnya tidak menggunakan Syiah untuk menghimpunkan sokongan
orang-orang melayu. Isu Syiah bukannya isu ketuanan melayu yang boleh
digunakan sewenang-wenangnya oleh regim pemerintah. Syiah juga bukan
seperti Al-Arqam, tetapi Syiah adalah sebahagian dari khazanah Islam
yang berusia hampir sama dengan usia agama Islam itu sendiri.
Sarjana-sarjana agung Islam sendiri memahami hakikat ini di mana
terdapat perkongsian khazanah ilmu yang sangat kukuh antara dua madrasah
Islam paling berpengaruh ini, iaitu madrasah Ahlus Sunnah dan madrasah
Syiah.
Contohnya sekiranya Syiah dihapuskan, kitab
Sahih Bukhari juga
akan kehilangan ratusan hadis kerana terdapat lebih dari
150 orang
perawi dalam rantaian sanadnya yang terdiri dari mereka yang berfahaman
Syiah. Ini adalah fakta, hanya sahaja kita tidak mahu mengkajinya.
Isu Syiah yang dimainkan oleh akhbar Sinar Harian yang dikenali sebagai
sangat pro Wahabi, dan Utusan Melayu yang menjadi lidah Umno sangat
menjengkelkan bagi sebahagian besar umat Islam yang mempunyai kefahaman
Islam yang progresif dan sederhana, sangat memalukan Islam di mata bukan
Islam.
Umno juga merosakkan imej Islam di peringkat antarabangsa terutamanya
dua negara utama umat Islam yang mempunyai majoriti ummat Islam yang
bermazhab Syiah iaitu Iran dan Iraq. Tindakan keterlaluan terhadap
pengikut Syiah juga akan menjatuhkan maruah Malaysia sebagai negara
Islam membangun di mata dunia.
PAS pula sebagai sebuah gerakan Islam yang dinamik tidak sepatutnya
berpuas hati dengan kenyataan Abdul Hadi semata-mata. Pas tidak boleh
menjadi defensif dan merasa rendah diri apabila ditohmah mempunyai ramai
penyokong Syiah.
Pas sendiri menjadi dinamik akibat mempunyai sikap terbuka terhadap
Syiah dan Revolusi Islam Iran pada dekad 80an dahulu. Bukankah konsep
kepimpinan ulama dan mursyidul am sedikit sebanyak mempunyai pengaruh
Revolusi Islam.
Walaupun PAS agak terikut-ikut dengan Ikhwanul Muslimin ketika
peperangan Iran dan Iraq dan Perang Teluk pada awal 90an, PAS hari ini
dilhat lebih matang dan tidak terikut dengan rentak Ikhwanul Muslimin
dalam isu Perang Syria.
Bahkan ramai juga pemimpin Ikhwan yang sependapat dengan Abdul Hadi.
Sayap politik Hamas lebih cenderung kepada pengaruh Qatar sedangkan
sayap ketenteraan Hamas bulat bersama Hezbullah.
Abdul Hadi membuktikan kebijaksanaannya terlalu jauh kehadapan
berbanding sayap pemuda yang mudah terpengaruh dengan topeng jihad Syria
yang didalangi Wahabi. Ianya bukanlah mengejutkan kerana PAS sendiri
mempunyai kader-kader Wahabi yang ramai. Di sini barisan pemimpin
pertengahan yang berwibawa seperti Khalid Samad, Salehudin Ayub, Husam
Musa dan Dr Mujahid Yusof Rawa perlu bekerja keras membongkar
kebangkrapan UMNO dalam isu Syiah dan menarik lebih ramai pendokong
Syiah ke dalam PAS bukannya sebaliknya.
PAS telah berjaya memecahkan tembok antara bukan Islam dan adalah lebih
mulia sekiranya PAS berjaya memecahkan tembok kemazhaban yang sering
menjadi mainan musuh. PAS perlu belajar dari kegagalan Taliban dan
Ikhwan di Mesir dan mampu menjadi gerakan islam paling dinamik dan
terbuka menjadi contoh kepada seluruh gerakan Islam dunia. Abdul Hadi
telah membuka langkah tersebut dan terpulanglah kepada seluruh
kepimpinan PAS untuk mencipta sejarah, Insya Allah.
oleh Fazil Murad
*Fazil Murad adalah seorang peniaga dan mengikuti perkembangan politik semasa.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.