Followers

Tuesday, December 29, 2015

Marsha Sudah Peluk Islam, Nikah Ahli Perniagaan Khamis Ini


Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam. FOTO: Dari Instagram Marsha 

Selamat pengantin baru

Penyanyi Marsha Milan Londoh yang bakal berkahwin dengan ahli perniagaan iaitu Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada Khamis ini mengesahkan sudah memeluk Islam beberapa minggu lalu.

Marsha, 30, berkata, proses lafaz syahadah itu berlangsung dengan tenang dan lancar sambil disaksikan keluarga terdekat.

Namun lokasi pengislaman dan tarikh sebenar majlis itu dirahsiakan atas permintaan keluarga. Dia juga masih mengekalkan nama asalnya.

"Ya saya sudah memeluk agama Islam. Segalanya berjalan lancar seperti apa yang dirancang. Apa yang saya harapkan penghijrahan saya ini tidak disensasikan kerana ia terlalu peribadi buat saya.

"Apa yang saya mohon di sini jangan dihebohkan perkara ini kerana semuanya sudah selesai demi menghormati kedua belah pihak," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada Selasa.

Terdahulu Marsha dilaporkan bakal berkahwin dengan ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang selepas kad jemputan resepsi majlis persandingannya itu tersebar.

Dalam kenyataan medianya, Marsha memberitahu dia telah bertunang dengan Mohamed Shaiful Nizam pada 14 Disember lalu di Sabah dalam satu majlis sederhana.

Manakala kedua-dua pihak pula sepakat untuk mengadakan majlis pernikahan pada Khamis ini di Pulau Pinang iaitu lokasi tempat tinggal keluarga pihak lelaki.

Marsha berkata, selama ini dia berdiam diri mengenai perkahwinannya kerana banyak perkara yang hendak diselesaikan.

"Saya memilih untuk lebih berdiam diri dari berbicara tentang perancangan perkahwinan saya kepada pihak media kerana ada banyak hal yang kami perlu uruskan sebelum ini.

"Setelah mencapai kata sepakat diantara keluarga dan beberapa perkara sudah disahkan barulah kami bersedia memberi jawapan yang pasti kepada umum.

"Saya sangat gembira sekali dengan penyatuan ini. Apa yang saya harapkan, majlis yang bakal berlangsung nanti berjalan lancar dan menjadi kenangan terindah buat saya dan keluarga kami," katanya.

Mengenai percintaannya dengan Mohamed Shaiful Nizam pula Marsha berkata, dia mengenali ahli perniagaan itu sejak 10 tahun lalu namun bibit percintaan mula berputik sejak 2013.

Kata Marsha, sifat pemuda itu yang jujur dan ikhlas serta hormat ahli keluarga berjaya menambat hatinya.

Sementara itu majlis pernikahan pasangan berkenaan akan diadakan secara tertutup tanpa liputan media.

Namun pihak pengurusan Marsha akan megedarkan kenyataan media bagi tujuan hebahan kepada peminat.

Marsha bakal mengenakan pakaian ciptaan Rizalman Ibrahim.

Majlis resepsi kedua-dua pasangan berkenaan akan diadakan pada 8 Januari 2016 di Hotel Majestic dekat sini.

sumber...Mstar Online