Followers

Friday, November 9, 2018

Kesan Pembunuhan Khashoggi Pada Dunia



Awal oktober 2018 dunia digemparkan dengan kehilangan wartawan veteran asal Saudi,kehilangan beliau yang didakwa setelah mengunjungi kedutaan Arab Saudi di Turki sangat trajis kerana sehingga kehari ini jenazah beliau belum ditemui.Ada pelbagai dakwaan termasuk beliau telah dibunuh dengan kejam dan bahagian jasad beliau dilupuskan menggunakan sejenis asid.

Jamal Khashoggi berusia 59 tahun. Maknanya beliau pada lewat tahun-tahun 70-an dan awal 80-an adalah dari kalangan generasi yang turut berada di tengah-tengah gelombang kebangkitan anak-anak muda Islam pada zaman itu.

Suatu era yang diwarnai oleh Revolusi Islam di Iran dan gerakan Mujahidin di Afghanistan. Juga berlaku kebangkitan pengaruh fahaman Salafi dan Wahabi sebagai reaksi kepada kesedaran Syiah.

Gelombang kebangkitan Islam berlaku juga di hampir kesemua negara Islam termasuk Arab Saudi, Turki, Yaman dan Palestin. Tetapi ia muncul dalam pelbagai bentuk.
Oleh kerana ia melibatkan Timur Tengah, maka pastinya Amerika Syarikat mengambil perhatian terhadap kebangkitan ini.

Sebabnya ialah di Timur Tengah terdapat dua kepentingan Amerika iaitu Israel dan kawasan telaga minyak di Teluk Parsi. Negara-negara sekutu Amerika di situ ialah Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar dan Bahrain.

Ancaman besar kepada telaga minyak mereka ini ialah Iran yang baru mengalami revolusi, menjatuhkan kerajaan pro-Amerika.

Dalam pada itu, musuh utama Amerika masih lagi Soviet Union yang telah meluaskan pengaruhnya apabila kerajaan di Afghanistan digulingkan oleh kumpulan komunis. Ekoran itu kumpulan-kumpulan Islam melancarkan jihad.

Gerakan Mujahidin ini mendapat sokongan dan bantuan dari Amerika dan kebanyakan negara Islam di seluruh dunia khususnya Saudi dan Pakistan.
Khasshogi yang bekerja sebagai wartawan pelbagai akhbar turut membuat liputan dan komentar mengenai Afghanistan. Malah beliau menjadi koresponden di situ.

Gelombang kebangkitan Islam berpusar daripada dua konflik ini, iaitu di Iran dan Afghanistan. Hampir semua negara Islam di dunia terlibat dengan gelombang ini.

Saudi, Kuwait dan Qatar turut membantu peningkatan kesedaran ini dengan menyebarkan juga pemikiran Ikhwanul Muslimin melalui badan-badan seperti Liga Muslim Sedunia dan WAMY.

Dalam keadaan itu, pengaruh Salafi dan Wahabi bukan saja mendapat ruang di Saudi tetapi juga melebar ke seluruh dunia Sunni.

Selain daripada Teheran dan Riyadh, satu lagi pusat bagi menggalakkan gelombang ini ialah Libya pimpinan Muammar Gaddafi yang fahaman Islamnya diwarnai oleh pemikiran kiri. Libya dan Iran menjadi seteru Amerika dalam senario ini.

Di Palestin, muncul pula Hamas. Sementara itu Turki, yang merupakan sekutu Amerika, anggota
NATO serta mengiktiraf Israel menghadapi cabaran Parti Milli Salamat (MSP) pimpinan Necmettin Erbakan. Protege beliau ialah Reccep Tayyip Erdogan.

Sementara Khassoggi turut menjadi kawan Erdogan. Pada tahun 2017, kira-kira 50 tahun kemudian, Khassoggi menjadi kolumnis The Washington Post dan mengutarakan pandangan progresif, dengan mendukung demokrasi, kebebasan akhbar dan seperti Erdogan, turut menyokong Arab Spring.

Dalam pada itu, beliau mengkritik Saudi khususnya berkaitan hak asasi manusia. Beliau juga mengkritik perang di Yaman.

Berbanding 50 tahun dahulu, keadaan sudah berubah. Kebangkitan gerakan Islam sudah berpecah. Ada yang menjadi progresif, ada yang konservatif, terdapat juga regresif, malah muncul juga fahaman ektremis dan teroris.

Pengaruh Iran semakin besar dengan berperanan di Iraq, Lubnan, Syria dan Yaman.

Sementara Afghanistan menjadi negara gagal, daripada Mujahidin ke Taliban dan akhirnya tertegak kerajaan dukungan Amerika di Kabul.

Dari Afghanistan muncul Al-Qaeda yang dianggap sebagai musuh utama Amerika selepas peristiwa 9/11. Namun Washington dan sekutu-sekutunya seperti Turki, Saudi, Qatar berada di pihak untuk menjatuhkan kerajaan Syria.

Tetapi di pihak penentang rejim Bashar Assad, terdapat di dalamnya ialah Al-Qaeda.
Perang di Syria itu dahsyat. Tetapi ia gagal menjatuhkan kerajaan Damsyek yang mendapat bantuan Moscow dan Teheran.

Sebaliknya dari kumpulan Al-Qaeda, muncul Daesh yang kekejamannya tidak dapat diterima oleh semua pihak. Akhirnya tumpuan terpaksa diberikan untuk tumpaskan Daesh.

Tetapi lebih dahsyat lagi ialah Perang Yaman. Saudi dengan sokongan Amerika turut terlibat untuk menundukkan kumpulan Houthi yang dibantu Iran. Di Yaman, muncul juga Al-Qaeda dan Daesh yang turut menentang Houthi.

Khassoggi menulis di akhbar Amerika mengkritik perang Yaman. Beliau muncul sebagai golongan progresif yang mendukung demokrasi dan Arab Spring, maknanya sealiran dengan Erdogan.

Arab Spring hanya berjaya di Tunisia. Ia musnahkan Libya yang menjadi negara gagal. Kegagalannya juga kerana muncul terorisme termasuk Daesh.

Kejayaan di Mesir hanya sementara. Sekutu Erdogan iaitu Presiden Mohamed Morsi telah digulingkan. Arab Spring juga kena hijack di Yaman dan Syria. Kebangkitan di Bahrain ditumpaskan begitu saja.

Malah Erdogan sendiri hampir digulingkan. Siapakah kekuatan yang hendak jatuhkan Erdogan? Tentulah Amerika.

Israel mencapai matlamatnya. Libya sudah hancur. Syria sudah lemah. Mesir kembali pada pihak tentera. Kini sasarannya adalah Iran.

Dalam pada itu, Amerika sudah pindahkan kedutaannya ke Baitulmakdis. Sekarang usahanya adalah untuk pengiktirafan dari negara-negara sekutu Amerika.

Kini Saudi pula sedang berubah. Ia mahu maju seperti Dubai dan UAE. Tetapi ia tidak mahu Arab Spring atau demokrasi. Ekonomi bergantung pada minyak sudah berada di penghujung.

Memberi ruang pada fahaman Wahabi sebagai reaksi kepada Revolusi Iran dahulu dirasakan satu kesilapan. Tetapi Iran tetap dilihat sebagai ancaman utama.

Presiden Donald Trump meningkatkan permusuhannya terhadap Iran sementara ia merapatkan hubungannya dengan Israel dan Saudi.

Sementara Israel pula berusaha berbaik dengan sekutu-sekutu Amerika di Teluk Parsi khususnya Bahrain dan UAE.

Namun begitu, sekutu-sekutu Amerika di Teluk ini tidak bersatu. Saudi pula bertelagah dengan Qatar. Maka Turki memihak dan membantu Qatar. Kuwait cuba menjadi orang tengah.

Dalam suasana politik kompleks inilah Khassoggi dibunuh di pejabat konsulat Saudi di Istanbul, Turki.

Erdogan memberi tekanan kepada Amerika dan Eropah. Perang Yaman menarik perhatian mereka. Saudi bertindak melakukan damage control.

Adalah dijangkakan sedang berlaku perubahan yang akan memberi kesan besar kepada dunia. Tidak pasti sama ada ia menuju kebaikan atau menjadikan keadaan bertambah buruk.

oleh: Zin Mahmud
Foto: Time Megazine