Followers

Monday, November 5, 2018

Pelik Apabila Musa Tak Didakwa Lebih Awal, kata Gopal


Ketua pendakwaan dalam kes Tan Sri Musa Aman memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mereka mempunyai kes yang kukuh terhadap bekas ketua menteri Sabah itu.

Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Musa sebelum ini memang sudah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun jelas Gopal kes berkenaan tidak diteruskan atas sebab tertentu.

"Disebabkan alasan yang sangat aneh kes (siasatan SPRM terhadap Musa) diarahkan ditutup," katanya.

Gopal mengepalai pasukan pendakwaan yang bertindak bagi pihak Peguam Negara dalam kes melibatkan Musa.

Bekas pemimpin Umno Sabah itu berdepan 35 tuduhan membabitkan rasuah berkaitan kontrak pembalakan bernilai RM263 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Musa di Hong Kong dan Singapura melalui proksinya antara 2004 dan 2008.

Puji SPRM, Thomas

Abang kepada anggota parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi semua tuduhan berkenaan.

Daripada 35 pertuduhan itu, nama salah seorang kenalan Musa, Chia Tien Foh disebutkan 16 kali.
Hakim kemudian membenarkan Musa dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta.

Kata Gopal pihaknya juga akan membawa dua atau tiga orang saksi dari negara luar untuk memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.


Gopal yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan memberitahu urusan untuk mendapatkan bantuan perundangan bagi membawa saksi terbabit akan dilakukan oleh kerajaan.

Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini Gopal memberitahu beliau berasa hairan kerana dua peguam negara terdahulu Tan Sri Abdul Gani Patail tidak mengarahkan Musa didakwa di mahkamah.

Katanya pujian wajar diberikan kepada Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan penyiasat
SPRM, terutama ketua pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Sukri Abdull, timbalannya Datuk Seri Azam Baki dan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib dan Kamal Bahrin Omar.

Tidak ketinggalan, Gopal menamakan Pengarah Siasatan Pengubahan Wang Haram SPRM, Zamri Zainal Abidin serta seorang lagi pegawai agensi itu yang dinamakannya hanya sebagai Hasbullah.
"SPRM dan Thomas berusaha dengan gigih untuk meneruskan kes ini," katanya.

Untuk rekod Musa dan Abdul Ghani ialah dua tokoh kanan negara yang berasal dari Sabah dan mereka didakwa mempunyai hubungan kekeluargaan.

Panel Penilai Operasi SPRM pernah meminta agensi antirasuah berkenaan mengkaji semula kes melibatkan Musa dan Chia.

oleh:  Hafiz Yatim dan Faisal Asyraf