Followers

Sunday, December 21, 2014

Pandangan Kritis DAP Terhadap Hudud PAS di Kelantan


PAS tak harus abai tadbir urus baik semata-mata kerana hudud, kata DAP

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PAS tidak sepatutnya lupa dengan perjuangan pengurusan kerajaan yang baik hanya kerana mahu meneruskan agenda hudud parti.

PAS diingatkan untuk kembali kepada perjuangan tatakelola dan tadbir urus kerajaan yang baik seperti ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan tidak meninggalkan perjuangan yang disepakati Pakatan Rakyat (PR) itu semata-mata kerana mahu meneruskan agenda hudud mereka bersama musuh sejati, Umno, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Melalui kenyataannya hari ini, ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, 80% pengundi bukan Islam yang mengundi dalam PRU13 mengharapkan PAS menentang Umno akan rasa dikhianati oleh parti Islam tersebut kerana mereka mengundi untuk menentang rasuah serta menggantikan Barisan Nasional (BN), bukannya melaksanakan hudud.

"PAS tidak seharusnya meninggalkan tadbir urus kerajaan yang baik semata-mata mempercayai Umno akan membantu mereka melaksanakan hudud kepada Muslim di Kelantan kerana ia bakal melenyapkan asas Perlembagaan Persekutuan dan menggagalkan usaha Pakatan Rakyat (PR) menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dan BN," kata Lim.

Lim berkata, Umno tidak akan mengalami sebarang kerugian kecuali untuk kembali memenangi undi bukan Islam yang hilang kerana PAS pada 2013.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, hudud juga bukannya pemenang pilihan raya bagi PAS untuk pengundi komuniti Melayu, kerana jika jika undang-undang Islam itu begitu penting, PAS sudah pasti akan memenangi setiap pilihan raya sejak 50 tahun lalu dan tidak perlu menunggu 50 tahun sehingga Pilihan Raya 2008 untuk memenangi Kedah dan Perak melalui penyertaan bersama PKR dan DAP dalam PR.

Pengundi bukan Islam katanya, tidak akan tertipu dengan tindakan PAS kerana mereka sedar pelaksanaan hukum hudud di Kelantan akan memberikan kesan kepada mereka kerana ia adalah langkah awal pembentukan hudud kepada semua, termasuk komuniti bukan Islam.

"Setiap pengundi bukan Islam sedar Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diubah dan perubahan asas Malaysia daripada pentadbiran sivil sedia ada ketika pelaksanaan hudud di dalam 'satu negara, dua sistem jenayah', adalah langkah awal menjadikan pelaksaan hudud kepada semua, termasuk bukan Muslim," katanya.

Lim turut mempersoalkan tindakan PAS yang membuka ruang untuk diperangkap Umno dengan menyediakan inisiatif terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Mampukah PAS bergantung kepada Umno? PAS membenarkan parti itu diperangkap Umno.
"Daripada mencabar Umno yang merupakan kerajaan pusat untuk melaksanakan hudud di Kelantan, PAS sebaliknya menyediakan inisiatif itu," katanya.

"PAS dan Umno sedar, sejak pilihan raya 2004, sokongan bukan Muslim terhadap PAS menurun sehingga kurang 5%. Sama ada dengan atau tanpa bantuan Umno di Parlimen, mustahil PAS akan memenangi pengundi bukan Islam jika meneruskan pelaksaan hudud di Parlimen."


sumber... TMI