Followers

Wednesday, December 3, 2014

Pendedahan Audit Kes RM2.6 juta Pembantu Khalid Ibrahim Untuk Tatapan Umum


Laporan audit dedah pembayaran 8 pembantu Khalid tidak ikut proses betul

Panel penyiasat Perbendaharaan Negeri mendedahkan pembayaran pampasan kepada lapan bekas pembantu bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mengikut terma dan syarat sepatutnya.

Kerajaan Selangor hari ini mendedahkan pembayaran pampasan RM2.6 juta kepada lapan pembantu bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilakukan tidak mengikut terma dan syarat perkhidmatan surat tawaran pelantikan.

Laporan setebal 11 muka surat yang diedarkan hari ini dibuat lima panel penyiasat Perbendaharaan Negeri, diketuai Ketua Bendahari Azal Adzhar.

"Bayaran pampasan ini tidak dinyatakan di dalam terma dan syarat perkhidmatan pada Surat Tawaran Pelantikan lapan kakitangan/pegawai MBI tersebut," kata laporan yang diedarkan hari ini.

Laporan itu juga mendedahkan kelulusan yang dibuat bagi bayaran pampasan sebanyak 30% daripada gaji terakhir didarabkan dengan jumlah bulan sepanjang berkhidmat dan skim pemberhentian secara sukarela (VSS) yang diambil oleh 8 pembantu Khalid itu juga dilaksanakan tidak mengikut proses yang betul.

Khalid juga dikatakan tidak mendapatkan persetujuan ahli lembaga pengarah sebelum meluluskan pembayaran tersebut.

"Kelulusan pembayaran ini tidak dikemukakan kembali pada Lembaga Pengarah MBI (Menteri Besar Incorparated) untuk tujuan pertimbangan dan kelulusan," kata laporan itu.

Sementara itu, laporan juga mengatakan semua ahli lembaga pengarah MBI tidak pernah memberi persetujuan secara bagi melaksanakan pembayaran pada 22 September 2014 tersebut.

"Ahli lembaga pengarah MBI tidak termasuk pengerusi MBI (Khalid) pada bila-bila masa selepas 25 Ogos 2014, tidak pernah memberi persetujuan secara muktamad bagi pelaksanaan yang sudah dibuat kepada 8 kakitangan yang terlibat seperti diputuskan oleh pengerusi MBI pada 22 September 2014," kata laporan itu.

Daripada laporan itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin menerima bayaran tertinggi RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan.

Bagaimanapun, laporan tersebut mendedahkan pembayaran kepada bekas setiausaha politik Khalid itu tidak mengikut perkiraan yang telus kerana tempoh Faekah berkhidmat dengan MBI hanya selama 12 bulan dan bukannya 51 bulan.

"Semakan mendapati CEO MBI Faekah Husin mula berkhidmat pada 1 September 2013.

"Sebelum itu beliau adalah setiausaha politik kepada Datuk Menteri Besar Selangor mulai Julai 2010 dan gaji beliau dibayar kerajaan negeri Selangor di bawah VOTB01 – Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjumlah RM5,190 (gaji pokok). Justeru, jumlah bulan berkhidmat dengan MBI adalah selama 12 bulan 23 hari dan bukannya 51 bulan," kata laporan itu.

Jumlah pampasan yang sepatutnya diterima Faekah sepanjang berkhidmat dengan MBI sepatutnya RM136,800 jika 30% daripada gaji pokok RM38,000 didarabkan dengan 12 bulan.

Seorang lagi pembantu Khalid, Mustapha Mohd Talib juga menerima jumlah pampasan yang tidak mengikut perkiraan tepat kerana jumlah bulan beliau berkhidmat dengan MBI adalah 53 bulan 23 hari dan bukannya 78 bulan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Hannah Yeoh tidak menolak laporan audit dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), namun menegaskan laporan tersebut sudah lengkap.

"Laporan yang diberikan kepada umum hari ini sudah komprehensif," kata Hannah pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Kesemua pembayaran dibuat menerusi Surat Arahan Pembayaran kepada Affin Bank Berhad pada 22 September 2014.

Bayaran itu didakwa dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Khalid sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan menteri besar Selangor berkuatkuasa 23 September lepas, yang dilihat sebagai tidak munasabah.

PKR memecat Khalid pada Ogos lalu selepas gagal hadir pendengaran jawatankuasa disiplin tentang perjanjian penstrukturan semula air di Selangor, penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam dan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

PKR mahu Khalid berundur dan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.

Kemelut itu berakhir apabila Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, dilantik Sultan Selangor sebagai menteri besar yang baharu pada September lalu.


sumber...TMI