Followers

Monday, December 15, 2014

Rang Undang-Undang Hudud Kelantan ‘Bermasalah’, kata Anwar


Kerajaan pimpinan PAS di Kelantan mahu meminda enakmen tentang hudud di Dewan Undangan Negeri pada 29 disember ini.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan kerajaan pimpinan PAS di Kelantan mahu meminda enakmen tentang hudud di Dewan Undangan Negeri bermasalah, kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam di negeri itu.

"Akan ada banyak masalah kerana anda perlu meminda undang-undang persekutuan. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakannya (hudud)," kata Anwar ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

"Katakan mereka buat juga. Siapa yang akan membuat tangkapan? Siapakah yang akan membawa mereka (suspek) ke penjara? Ia bukan dalam kuasa (kerajaan negeri) mereka. Oleh itu, terdapat banyak masalah."

Kerajaan Kelantan telah menetapkan 29 Disember untuk memanggil satu sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk membentangkan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata semalam ia adalah sebahagian daripada prosedur kerajaan negeri untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk membolehkan Kelantan menguatkuasakan hudud.

Walau bagaimanapun, DAP telah berulang kali menuntut PAS menangguhkan rancangannya di Kelantan, menyatakan undang-undang jenayah Islam yang kontroversi bukan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama Pakatan Rakyat.

Anwar berkata hari ini mereka masih tidak tahu pindaan enakmen yang hendak dibuat tetapi PAS katanya telah berjanji untuk memberikan maklumat itu.

"Dalam kata sepakat yang kami capai pada tahun 2010, kita bersetuju apa-apa langkah-langkah baru perlu dibincangkan dalam PR. Tetapi kita juga bersetuju apa-apa langkah yang telah diambil sebelum ini (sebelum kewujudan PR) termasuk yang diambil oleh Kelantan perlu dihormati.

"Jadi, saya tidak tahu tentang peruntukan ini apakah sama dengan apa yang telah diluluskan sebelum ini yang juga memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan."

Anwar berkata Pakatan Rakyat akan mengkaji rang undang-undang ini sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan sudah menubuhkan satu jawatankuasa teknikal mengenainya yang mengumpulkan semua kumpulan pakar mengenai undang-undang itu termasuk para peguam sivil.

Kerajaan pusat juga telah menubuhkan jawatankuasa yang sama di peringkat pusat dengan diketaui oleh Ketua Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara.

Sehingga kini, tujuh mesyuarat telah diadakan iaitu lima di peringkat negeri dan dua di peringkat pusat.


sumber...TMI