Followers

Friday, December 19, 2014

Fadilah Mansor Tidak Lapor Cerai Ke Mahkamah Kerana Sangka Kekal Menjanda

 Fadilah dan Mat London berbual selepas status perceraian mereka disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis. Foto KAMARUL ARIFFIN.

Biarpun telah bercerai selama dua tahun dengan penerbit dan pengarah Mat London namun dramatis Fadilah Mansor mempunyai alasan tersendiri tidak melaporkan kejadian tersebut di mahkamah syariah untuk mendapatkan pengesahan.

Fadilah, 56, berkata, dia tidak segera berbuat demikian kerana tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan penyanyi 60-an, Datuk A Rahman Hassan selepas berkenalan sejak setahun lalu.

"Saya tidak segera membawa kes berkenaan ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan kerana tidak menyangka akan bertemu jodoh sekali lagi kerana saya yakin akan hidup menjanda sehingga akhir hayat.

"Tetapi kuasa Allah mempertemukan saya dengan Datuk A Rahman Hassan dan sebab itulah baru kini saya mahu mendapatkan pengesahan supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari," katanya kepada mStar Online.

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis mengesahkan lafaz cerai yang dibuat Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim terhadap Fadilah pada 28 September 2012 selepas berpuas hati dengan keterangan diberikan mereka kepada mahkamah.

 Pasangan itu berkahwin di Narathiwat, Thailand pada 18 Oktober 1989 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alia Farhani, 23, dan Faeesal Aswad, 20.

Terdahulu Hakim Syarie, Ab Malek Awang turut mengesahkan pernikahan pasangan itu di luar negara sah mengikut hukum syarak.

Fadilah bakal bernikah dengan A Rahman Hassan pada 25 Disember ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam pada itu, Fadilah menjelaskan bakal suaminya itu mengetahui tentang perkara tersebut dan sentiasa memberikan sokongan dan doa supaya segala-galanya selesai dengan baik.

Malah kata Fadilah, dia tidak pernah menyorokkan sebarang cerita tentang kisah silamnya termasuk kisah rumah tangga dan perceraiannya dengan Mat London.

"Dia (A Rahman) tahu tentang segala-galanya dan sentiasa memberi semangat kepada saya dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, Fadilah turut memberitahu persiapan perkahwinannya dengan A Rahman berjalan lancar dan berharap majlis itu nanti akan berlangsung seperti dirancang.

"Alhamdulillah semuanya hampir siap dan doakan majlis itu nanti berjalan lancar," katanya ringkas.


sumber...Mstar
Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI