Followers

Monday, December 15, 2014

Inilah Pandangan Terkini Ahli DAP Terhadap PAS


Di saat DAP cipta sejarah, ahli bimbang kongsi masa depan dengan PAS

Ketika DAP mengambil langkah untuk jadi lebih inklusif, dengan memberi lebih banyak ruang kepada wanita dan menjadi lebih mesra-Melayu, ahli akar umbinya bimbang perkembangan parti itu akan terhalang bukan oleh musuhnya Umno, tetapi sekutunya PAS.

Ahli DAP mengecam pemimpin dan ahli tertentu dalam PAS menyokong presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dituduh sebagai penghalang penyatuan Pakatan Rakyat (PR), pada konvensyen nasional semalam.

Parti itu melakar sejarah dengan peraturan baharu iaitu 30% kerusi yang dilantik dalan jawatankuasa pusatnya, badan pembuat keputusan tertinggi parti, perlu diberikan kepada wanita.

Tetapi, lebih seorang pemimpin akar umbi mengadu mengenai Hadi dan mendesak pemimpin kanan mereka melakukan sesuatu mengenainya.

Mencipta sejarah

Kuota wanita mewujudkan kesedaran politik dan moral.

“Dengan peraturan ini kita memberitahu semua wanita di negara ini jika anda mahu jadi ahli politik, DAP adalah parti untuk anda,” kata Teo Nie Ching, timbalan setiausaha publisiti DAP yang juga salah seorang daripada 3 wanita dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada masa ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata wanita termasuk dalam blok mengundi yang kritikal dan hampir 70% lepasan universiti adalah wanita.

“Barisan Nasional memperolehi kekuatannya daripada wanita dan mereka memainkan peranan penting dalam masyarakat. Sudah tiba masanya DAP membenarkan mereka memainkan peranan untuk parti ini,” katanya.

Konvensyen itu juga menyaksikan DAP mengambil lebih usaha untuk menyingkirkan imej Cina-cauvinis.

Berbanding konvensyen lalu, kali ini menyaksikan kira-kira 70% speaker menggunakan Bahasa Melayu dalam bahas mereka. Kebanyakan speaker berkenaan bukan Melayu.

Malah, speaker yang merungut mengenai PAS dan menyerang UMNO turut menggunakan Bahasa Melayu.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke menyebut mengenai perkara itu dalam ucapan penggulungannya apabila berkata beberapa ahli veteran mengadu kepadanya mereka tidak dapat memahami 90% daripada perbahasan.

Hanya kira-kira 2 daripada 20 speaker bercakap dalam bahasa Mandarin. Mereka yang tidak menggunakan bahasa Melayu bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Kami menggalakkan speaker berbahas dalam bahasa kebangsaan kerana kami tidak mahu DAP jadi parti Cina saja.

“Kami juga mahu membuktikan kepada Umno, memasuki sekolah vernakular tidak menjejaskan kebolehkan untuk menggunakan bahasa kebangsaan,” kata Loke.

Beca, bukan basikal

Tetapi langkah inklusif ini terjejas dengan kekecewaan kemaraan PR ditempangkan oleh Hadi dan puaknya dalam PAS.

“Ahli kami menyalahkan kami, berkata DAP membantu PAS menipu pengundi,” kata perwakilan Melaka Chin Choong Seong.

Serangan daripada penyokong DAP bermula sejurus selepas pemimpin tertentu dalam PAS cuba membawa rang undang-undang di Dewan Rakyat untuk menguatkuasakan Kanun Undang-undang Jenayah Syariah Kelantan.

Disusuli krisis menteri besar Selangor, di mana Hadi tidak seiring dengan keputusan pakatan itu untuk menggantikan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kemarahan dan pengkhianatan di kalangan akar umbi, kata ahli CEC DAP, disebabkan masih ada rasa tidak percaya terhadap PAS dan agenda negara Islamnya.

Pada pilihan raya umum 1999, ramai pemimpin tertinggi DAP diundi keluar – 'hukuman; daripada penyokong kerana bekerjasama dengan PAS dalam pakatan yang dipanggil Barisan Alternatif (BA).

Dua tahun kemudian, DAP meninggalkan BA selepas ia tidak boleh menggabungkan prinsip sekularnya dengan agenda negara Islam PAS.

“Jadi apabila PAS mula patah balik semula kepada hudud selepas Pilihan Raya Umum ke-13, penyokong kami marah kami,” kata pemimpin CEC yang minta namanya dirahsiakan.

Kekecewaan terhadap PAS sangat tinggi kerana wujud hakikat dalam DAP, masa depannya terikat dengan PR yang termasuk PAS dalam gabungan itu.

“PR adalah beca. Ia perlu tiga roda untuk gerak ke depan,” kata pemimpin Belia Sosialis DAP Damien Yeoh dalam ucapannya.

“Ada yang kata kita boleh bergerak dengan 2 roda,” kata Yeoh, merujuk kepada hujah PR mampu bertahan dengan hanya PKR dan DAP.

“Tetapi dengan 2 roda anda mungkin boleh jatuh. Saya percaya 3 roda lebih baik,” katanya.

Realisasi itu berdasarkan kepada fakta tanpa PAS, PR tidak akan dapat manfaat di kalangan Melayu.

Dan tanpa sokongan lebih ramai Melayu, DAP tidak boleh dakwa ia benar-benar parti inklusif.

Tetapi pemimpin DAP Selangor melihat perbahasan mengenai PAS secara berbeza.

“Dalam hubungan kita dengan PAS, ada 5% yang tidak tidak bersetuju dengannya. Tetapi kita asyik bercakap mengenainya, walaupun apabila 95% yang lain kita sehaluan.”

Kesepakatan itu termasuk segalanya seperti polisi penjagaan kesihatan, keselamatan, demokrasi, memerangi rasuah, ekonomi dan mengakhiri pemerintahan Umno.

Beliau berkata semua kemarahan terhadap PAS mengaburi hakikat parti Islam itu mungkin gagal melaksanakan agenda negara Islamnya walaupun ia berjaya memegang kuasa persekutuan bersama PR.

“Mereka mungkin tidak mendapat sokongan yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan untuk melaksanakan hudud atau negara Islam.

“Saya fikir rasa tidak selesa PAS mahu hudud ini tidak sebesar rasa sakit membiarkan Umno terus terlepas dengan rasuah apabila ia masih memegang kuasa,” katanya.

sumber...
OLEH SHERIDAN MAHAVERA TMI