Followers

Saturday, December 6, 2014

Rumah Sembelih Warga Myanmar Ditemui di Pulau Pinang



Polis Pulau Pinang menemui rumah di Kampung Pisang, Machang Bubuk yang dipercayai digunakan untuk menyembelih warga Myanmar. – Gambar The Malaysian Insider, 5 Disember, 2014

Polis Pulau Pinang menahan dua lagi suspek awal pagi ini di Bukit Mertajam yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan kejam baru-baru ini dan menemui rumah yang dijadikan tempat menyembelih mangsa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, hasil tangkapan dua individu berusia lingkungan 30 ke 40 tahun itu menyaksikan jumlah keseluruhan mereka yang ditahan adalah 17 orang dan kesemuanya warga Myanmar.

Beliau juga berkata, pihak polis menyerbu sebuah rumah sewa di Kampung Pisang, Machang Bubuk, Bukit Mertajam dalam Ops Kelar yang dilancarkan dua minggu lalu untuk menyiasat kes pembunuhan tersebut.

"Salah sebuah rumah digunakan sebagai tempat penyembelihan. Mereka mengerat anggota badan sebelum membuangnya di beberapa lokasi.

"Suspek tinggal berdekatan rumah sewa tidak jauh dari rumah tersebut," katanya semasa melawat rumah tersebut.

Rahim berkata, polis menemui tiga parang dalam rumah yang dikatakan menjadi tempat penyembelihan yang disyaki digunakan untuk memotong anggota badan, sebuah kereta dan motorsikal.

Dengan tangkapan dan penemuan tersebut, Rahim berkata 18 kes pembunuhan warga asing di Pulau Pinang berjaya diselesaikan.

Kes tersebut termasuk penemuan kepala dalam sebuah beg di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam pada 24 November dan sepasang tangan serta kepala yang ditemui berhampiran balai polis Machang Bubuk pada Isnin lepas.

"Meninggalkan anggota badan berhampiran balai polis seolah cuba mencabar kredibiliti kami.

"Tapi orang ramai jangan bimbang. Kami akan pastikan mereka tidak mengancam penduduk tempatan. Kami juga memberi amaran kepada warga asing supaya tidak membuat tindakan melulu," kata Rahim.

Rahim berkata motif pembunuhan adalah dendam dan hutang.

Daripada siasatan yang dijalankan, kebanyakan mereka yang terlibat adalah buruk dan pekerja kontraktor di tapak binaan, serta mengenali satu sama lain.

"Kami percaya dengan tangkapan setakat ini, kami akan selesaikan semua kes pembunuhan melibatkan warga asing dalam masa terdekat," katanya.


sumber...TMI