Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Wednesday, December 17, 2014
GILA: Taliban Serang Sekolah,132 Kanak Kanak Terkorban
Ahli keluarga dan pasukan penyelamat bersama sebahagian mayat pelajar yang terbunuh dalam serangan Taliban di sebuah sekolah di Peshawar, Pakistan pada Selasa. Foto AFP
Serangan Taliban di Sekolah Pakistan: 141 Disahkan Terkorban, 132 Daripadanya Pelajar Sekolah
PESHAWAR (Pakistan): Pihak berkuasa tentera Pakistan mengesahkan 141 orang, termasuk 132 pelajar sebuah sekolah awam tentera telah terbunuh dalam serangan kumpulan bersenjata puak Taliban di sini pada Selasa.
Kira-kira 500 pelajar dan guru berada di Sekolah Awam Tentera di Jalan Warsak ketika kejadian itu berlaku.
Tentera Pakistan berkata, kesemua tujuh anggota puak Taliban yang melakukan serangan tersebut turut terkorban.Ada di antara mereka yang meletupkan diri sendiri di hadapan pelajar-pelajar sekolah tersebut yang sedang mengikuti kelas sains sosial ketika itu.
Sekurang-kurangnya seorang tentera Pakistan dilaporkan terbunuh dalam insiden tembak-menembak sehingga merosakkan bangunan sekolah berkenaan.
Seorang jurucakap Taliban berkata, kumpulan militan itu diarahkan untuk menembak pelajar yang lebih dewasa, sambil menambah bahawa serangan itu sebagai balas dendam terhadap serangan tentera secara besar-besaran ke atas kubu mereka di kawasan itu baru-baru ini.
Perdana Menteri Pakistan, Nawaf Sharif secara peribadi telah mengendalikan operasi menyelamat ketenteraan di Peshawar berhubung serangan di sekolah itu.
Kerajaan wilayah mengisytiharkan hari berkabung selama tiga hari berikutan tragedi berkenaan.
Taliban mendakwa mereka bertanggungjawab terhadap serangan itu tetapi berkata ia tidak menyasarkan para pelajar.
"Pengebom berani mati kami memasuki sekolah, dan mereka diarahkan untuk tidak mencederakan kanak-kanak, tetapi menyasarkan anggota tentera," kata jurucakap Taliban, Muhammad Umar Khorasani kepada Reuters.
Bagaimanapun pihak tentera berkata, seorang daripada penyerang itu telah memasuki sebuah kelas yang mengandungi 60 orang murid lalu meletupkan dirinya sendiri - mengorbankan sebahagian besar pelajar-pelajar berkenaan.
Manakala dalam satu kelas yang lain pula seorang guru wanita yang sedang mengajar telah disimbah dengan petrol lalu dibakar oleh penyerang-penyerang ini di hadapan murid-muridnya.
Serangan terbaru ini adalah yang terburuk di Pakistan dan melibatkan jumlah korban kanak-kanak yang terbesar dalam sejarah negara itu yang sentiasa bergolak dengan pertelingkahan etnik dan perbezaan mazhab.
Pada 22 September tahun lalu, puak militan telah melakukan serangan ke atas sebuah gereja di sini mengorbankan 80 orang. Ia disifatkan sebagai serangan terburuk ke atas masyarakat Kristian di Pakistan.
Manakala pada 10 Januari tahun lalu, 120 orang terbunuh apabila tempat berkumpul etnik Hazara yang berfahaman Syiah diserang oleh puak Taliban di bandar Quetta, Pakistan.
sumber...Mstar