Raja Putra Kamarudin menubuhkan 'Gerakan Perbaiki' Malaysia
Penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) hari ini mengumumkan bahawa "kuasa ketiganya" - dikenali sebagai Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) - tidak akan mencuri undi dari Pakatan, tetapi sebaliknya bermatlamat untuk "memperbaiki" apa yang rosak di Malaysia.
"Apakah MCLM ini? Nah, jawapan saya ialah KISS: Keep it simple, stupid. Kami adalah sekumpulan tukang-baiki. Dan anda mengatakan ada beberapa perkara yang rosak di Malaysia, seperti parlimen. Kami akan memperbaikinya," katanya semasa siaran langsung webcast dari London malam ini.
Beliau bercakap di satu forum yang kelihatan berlangsung di sebuah hotel di London, anjuran MCLM untuk menjelaskan mengenai gerakan itu dan misinya.
Menurut RPK (kanan), MCLM merupakan satu kumpulan yang dikumpul olehnya dan orang lain yang berpusat di Malaysia, seperti peguam yang juga penulis blog, Harris Ibrahim.
RPK mengetuai gerakan itu, dengan Yolanda Augustines (bawah) sebagai setiausaha manakala Farouk A Peru mengetuai inisiatif maklumatnya. Haris dan yang lainnya menganggotai jawatan MCLM.
Menurut MCLM, ia akan memulakan satu kempen untuk mendidik rakyat
Malaysia mengenai kebebasan awam mereka, yang juga akan merangkumi penerbitan sebuah akhbar rasmi yang akan diedarkan kepada masyarakat.
RPK menjelaskan bahawa MCLM tidak akan 'mencuri undi' sepertimana yang dibimbangi oleh sesetengah parti politik, tetapi sebaliknya ia akan membantu parti-parti politik untuk mengetengahkan calon-calon terbaik dengan mencadangkan mereka yang mampu berkhidmat dan mendidik masyarakat.
"Mereka mengeluh yang mereka tidak dapat mencari calon yang tepat. Nah, kita memberi mereka calon yang tepat," katanya.
Dengan cara ini, beliau percaya ia akan "memperbaiki" situasi di Malaysia di mana calon-calon yang berkhidmat di Parlimen, menurutnya, kini berkualiti rendah.
"Tujuan kami bukanlah untuk memenangi pilihan raya. Tujuan kami adalah membawa pembaharuan kepada sistem politik," tegasnya.
-Malaysiakini