Followers

Tuesday, December 7, 2010

Ketuanan Melayu:S/U PKR Beri Amaran

Ketuanan Melayu: SU Agung PKR beri amaran, label Umno-Perkasa bacul

December 07, 2010
Saifuddin berkata polemik Ketuanan Melayu adalah “benteng terakhir Umno dan Perkasa”. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 7 Dis — Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melabelkan pendirian Umno dan Perkasa dalam polemik “Ketuanan Melayu” sebagai tindakan “bacul” kerana mengheret institusi Raja-raja Melayu dengan mentaklikkan ungkapan itu sebagai “Ketuanan Sultan”. Sehubungan itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga berkata, beliau memberi amaran supaya Umno dan Perkasa jangan lagi cuba memfitnah parti itu dan Pakatan Rakyat dalam polemik terbaru berkaitan dengan “Ketuanan Melayu”.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu dua hari selepas Penasihat Undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun menyarankan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diguna pakai dalam isu berhubung kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai “ketuanan Melayu” semasa Kongres Nasional PKR hujung bulan lalu.
Awal minggu lalu Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan “Ketuanan Melayu” diketepikan bagi memajukan orang Melayu.
Dr Wan Azizah menyaran agar konsep Ketuanan Melayu ditolak.



Beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga membuat laporan polis meminta dikenakan tindakan tegas ke atas Dr Wan Azizah.
Malah tegas Saifuddin, beliau juga menganggap kedua-dua Umno dan Perkasa itu tidak mampu berdepan dengan persoalan penting membicarakan kaedah terbaik membela orang Melayu terbanyak seperti yang ditimbulkan PKR, lalu cuba menggunakan institusi Raja-raja Melayu.
“Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina institusi Raja-raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan Raja-raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira kaum, agama dan pegangan politik,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan yang dilihat respons kepada pendirian Perkasa minggu lalu.
Minggu lalu Saifuddin berkata akan mengeluarkan kenyataan rasmi kemudian.
Kata Saifuddin, beliau kesal kerana Umno dan Perkasa tidak mahu berdepan dengan gagasan yang dibawa oleh PKR dalam Kongres Nasional Ketujuh baru-baru ini.
Saifuddin mempertahankan bahawa gagasan yang disampaikan oleh Dr Wan Azizah, menyentuh mengenai mekanisme terbaik untuk membela orang Melayu.
“Persoalan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Wan Azizah adalah mudah iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita?” katanya.
Bagaimanapun kaedah sedia ada dibawa Umno iaitu mengabui mata rakyat mengenai hak mereka melalui Umno untuk terus berkuasa tidak kira prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib orang Melayu.
“Konsep Ketuanan Melayu yang dilaungkan secara terbuka dan dibisikkan secara senyap ini oleh Biro Tatanegara dan agensi-agensi lain, menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa.
“Apabila orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan akan tertindas,” kata Saifuddin lagi.
Malah Ahli Parlimen Machang ini menambah, tindakan Umno dan Perkasa itu bukanlah perkara baru.
“Rekod mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-raja Melayu di mata rakyat sudah diketahui umum. Krisis-krisis Perlembagaan yang melemahkan institusi Raja-raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh Umno.
“Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis Perlembagaan yang disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan mengaibkan Raja-raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik mereka,” katanya.
Oleh itu kata Saifuddin, “ada beza yang besar di antara cakap-cakap seorang dua rakyat jelata yang dituduh mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu, dengan satu gerakan tersusun yang dilaksanakan secara besar-besaran oleh sebuah parti politik yang mengaku mempertahankan Ketuanan Melayu.”
Perkasa menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik”.
Menurut Saifuddin, Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009 secara jelas mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan institusi raja berpelembagaan. Katanya, pendirian itu digariskan dalam Fasal 1 Perkara a(i) iaitu Pakatan Rakyat akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar  dengan Perkara 153 manakakala Fasal 1 Perkara a(ii) pula mengatakan Pakatan Rakyat akan mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan.
“Makanya, PKR ingin membawa kembali polemik Ketuanan Melayu ini kepada perkara dasar yang diulas oleh Datuk Seri Wan Azizah iaitu wacana kaedah terbaik untuk melahirkan anak bangsa Melayu yang beriman, boleh berdikari, berprinsip dan berdaya juang supaya mereka kekal bermaruah dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan arus globalisasi mutakhir,” katanya.
Kata Saifuddin, persoalan yang dibawa oleh PKR adalah persoalan jati diri dan kaedah terbaik membina jati diri tersebut.
Oleh itu tegas beliau, kaedah “Ketuanan Melayu” yang dibawa oleh Umno dan Perkasa bukan sahaja terbukti gagal membina jati diri orang Melayu, malah menyebabkan kebajikan rakyat terbanyak terabai.
“Sehingga kini, selepas tiga dekad Ketuanan Melayu, 75 peratus dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu.
“Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40 peratus paling miskin di Malaysia seperti yang dihuraikan Perdana Menteri sendiri dalam Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.
Malah kata Saifuddin, selepas tiga dekad “Ketuanan Melayu”, rakyat terbanyak juga yang dibebankan dengan pemotongan subsidi sedangkan subsidi korporat sebanyak RM19 bilion setahun dalam bentuk  subsidi gas kepada penjana bebas tidak disentuh.
Katanya, Umno dan Perkasa tidak melahirkan sedikit keluhan pun apabila bantuan kepada rakyat termiskin, yang rata-ratanya orang Melayu ditarik setiap enam bulan untuk menampung perbelanjaan boros kerajaan membayar perunding antarabangsa sedangkan tidak ada satu mekanisme pun diperkenalkan untuk menyalurkan kembali rasionalisasi subsidi kepada golongan termiskin ini.
“Justeru, PKR yakin bahawa polemik Ketuanan Melayu ini adalah benteng terakhir Umno dan Perkasa yang kian rapuh dan ditolak rakyat.
“Demi melahirkan Malaysia yang majmuk, mengamalkan toleransi dan berdaya saing, PKR akan konsisten membawa gagasan Ketuanan Rakyat melalui bangsa yang bermaruah —kerana kami yakin gagasan ini tidak dapat dijawab oleh Umno dan Perkasa,” katanya.