Followers

Friday, December 10, 2010

MCA Kacau Konvensyen BN

MCA kacau semangat konvensyen



Sepatutnya Konvensyen Barisan Nasional (BN) Ahad lalu berakhir dengan memberikan gambaran bahawa suatu persefahaman dan kesepakatan telah tercapai untuk perpaduan bagi mempertahankan Putrajaya, tetapi gambaran itu hanya wujud pada ucapan bersemangat tinggi Datuk Seri Najib.

Selepas sahaja konvensyen itu, sebuah parti terbesar dalam BN yang juga kawan lama kepada UMNO telah menampakkan ketidakyakinan kepada jaminan diberikan Najib bahawa “Walau apa pun anutan kepercayaan kita, taraf sosioekonomi dan di mana sekalipun berada, kita tetap teguh berpadu di bawah payung 1 Malaysia”.

Suatu kenyataan Presiden MCA Dr Chua Soi Lek telah mengacau dan mengelirukan semua gambaran jelas, indah dan gagah yang telah dibangunkan Najib semasa berucap merasmikan konvensyen itu.

Apabila konvensyen itu tamat, Soi Lek mengisytiharkan tidak lagi mahu amalan memberikan gambaran bahawa UMNO berada pada suatu taraf kepimpinan lebih tinggi dari parti-parti lain diteruskan.

Ini jelas dari kenyataannya bahawa sebarang keputusan berhubung dengan dasar tidak seharusnya diumumkan di Persidangan Agung UMNO atau pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang tidak berada pada taraf Kabinet (Star 6 Disember 2010).

Tidak salah juga jika sesiapa membuat konklusi bahawa Presiden MCA itu tidak senang Presiden UMNO yang merasmikan konvensyen BN kerana ia juga menggambarkan status lebih tinggi.

Oleh kerana semua perkara ini telah diamalkan sekian lama, maka penentangan terhadapnya secara terbuka, sekali gus menunjukkan Soi Lek tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami ucapan Najib, sebaliknya mahu menunjukkan keegoan MCA untuk tetap dengan pendirian baru bagi memulihkan sokongan masyarakat Cina dengan meminjam formula parti pembangkang, iaitu memperjuangkan persamaan hak.

Apabila tuntutan ini datang daripada anggota komponen BN sendiri, tentulah anggapan umum bahawa BN selama ini menafikan hak kaum kaum lain selari dengan fahaman masyarakat Cina selepas pilihan raya 2008. MCA tidak lagi yakin untuk tegak atas pendirian bebasnya dengan mempertahankan prinsip-prinsip yang selama ini membolehkannya bekerjasama dengan UMNO dan bersama menjadi tulang belakang kepada BN.

Apa yang dinyatakannya memang menggambarkan semangat baru orang Cina selepas kemenangan besar pembangkang yang menghakis teruk imej MCA, tetapi masa dipilih untuk mengulangi kenyataan bersifat sensitif kepada rakan komponen BN lain adalah tidak sesuai dan tidak bijak.

Ketika prasangka antara sesama sendiri mahu dikikis, Presiden MCA itu berasa perlu untuk menyatakan “tidak seharusnya ada abang besar atau abang kecil dalam gabungan. Kita bekerja ke arah matlamat dan tujuan sama. Kita adalah sama. “Walaupun tidak dirujukkan kepada UMNO, tetapi fahaman orang Cina, UMNO lah Abang Besar.

Kenyataan ini adalah penolakan keras kepada kepimpinan UMNO dalam Barisan Nasional dan UMNO tidak seharusnya dilihat selamanya sebagai parti yang lebih penting dari parti-parti lain dalam komponen BN. Orang UMNO tidak wajar terus menjadi Pengerusi BN. Terlalu bodoh untuk sesiapapun tidak membuat konklusi seperti ini.

Persepsi umum bahawa UMNO berada pada status yang lebih tinggi dari parti-parti lain komponen BN telah terbentuk oleh proses sejarah politik dan sosial negara ini sejak sebelum merdeka yang tidak mungkin dihapuskan dalam masa singkat, sebaliknya akan terus dipertahankan oleh majoriti rakyat kerana ia telah menjadi asas kepada kemerdekaan negara.

Tuntutan kepada persamaan hak telah pun berlaku sejak 1948, tetapi apabila Perlembagaan Persekutuan diterima rakyat terbanyak dan Perlembagaan Rakyat yang dituntut gabungan parti-parti kiri Melayu (PUTERA) dan bukan Melayu (AMCJA) serta Parti Komunis Malaya ditolak, maka Perlembagaan Persekutuan menjadi asas muktamad negara kerana tanpanya kemerdekaan tidak mungkin dicapai.

Golongan pelampau kiri itu mahukan kemerdekaan diserahkan kepada Malayan, tetapi Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengingatkan: “Apabila kita berjuang menentang Malayan Union, pihak lain tidak menyertainya kerana mereka anggap ini hanya masalah orang Melayu dan mereka juga menunjukkan kesetiaan kepada negara asal mereka” (Muka 30 Political Awakening).

Soi Lek sebagai pemimpin parti yang bersama mengukir sejarah kemerdekaan nampaknya lebih cenderung menghayati dan mewarisi semangat parti kiri. Dia terlupa bahawa Tan Cheng Lok Presiden Pertama MCA telah dicederakan oleh PKM kerana penyelewengan sikapnya untuk bersama dengan UMNO.

Kenyataan Soi Lek itu benar-benar bertentangan dengan sifat-sifat yang mahu dikikis oleh Najib dalam ucapannya; iaitu khayal, lupa diri, jumud dan angkuh.

Soi lek hanya memikirkan tentang perlunya untuk menawan perasaan orang Cina, tetapi langsung tidak mempedulikan perasaan orang Melayu yang telah banyak tersinggung dengan sikap parti-parti komponen BN, terutamanya MCA dan Gerakan hendak memakai baju DAP.

Telah berkali-kali Najib menyeru agar masalah sensitif dirungkai bersama tanpa bising di luar dan tidak secara terbuka dan ini telah dipersetujui bersama, tetapi Soi Lek tidak menghormati persetujuan itu, sebaliknya berasa perlu untuk mencemarkannya. Terbaru ialah dalam keadaan keharmonian hendak mula berkembang.

Banyak lagi isu boleh ditimbulkan MCA bagi mengembalikan keyakinan orang Cina, selain dari soal yang boleh membangkitkan perasaan marah dalam kalangan parti-parti komponen lain.

Kenapa tidak dikemukakan kemajuan ekonomi Malaysia sejak Najib menjadi Perdana Menteri untuk mengurangkan kebimbangan masyarakat Cina kerana pastinya kemajuan itu akan meluaskan lagi peluang ekonomi kepada mereka seperti telah terbukti sejak kemerdekaan negara.

Bila MCA menimbulkan soal persamaan hak di negara ini, maka keyakinan rakyat terhadap wujudnya ketidakadilan dalam perkongsian ekonomi negara semakin kuat kerana MCA adalah parti pemerintah.

Tetapi apa yang berlaku dalam DAP sendiri membuktikan dasar persamaan hak dalam kepimpinan tidak mungkin dicapai, sebaliknya lebih bersifat retorik indah. Lihat sahaja apa yang berlaku dalam DAP Perak yang majoriti ahlinya Cina. Orang India dipinggirkan dalam pemilihan kepimpinan peringkat negeri parti itu di Perak baru baru ini.

Sayang Soi Lek tidak memahami ungkapan Najib bahawa “Kita telah memilih jalan yang wajar dengan mengaplikasikan kaedah integrasi di mana perbezaan unik digabungkan dalam sebuah keluarga besar, saling mengukuh dan menyokong bukannya untuk memusnahkan identiti mana mana bangsa”.

Soi Lek lebih memahami dasar dan formula DAP untuk masa depan negara. Maka itu beliau dalam keadaan sedar atau tidak akan terus menimbulkan prasangka buruk orang Cina terhadap UMNO. Matlamat konvensyen BN telah dikacau dan diselewengkan dari dalam.

Sukar untuk Najib mencabut duri dalam daging.