Followers

Showing posts with label sunni. Show all posts
Showing posts with label sunni. Show all posts

Thursday, August 8, 2013

Umno Jangan Guna isu Syiah



Kenyataan bijaksana Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai isu Syiah yang dimomokkan media massa, dimainkan oleh sebahagian ahli politik, diracuni pula oleh kumpulan Tafriqah dan Takfiri dan didiamkan oleh sebahagian besar agamawan menyerlahkan kewibawaan PAS selaku gerakan Islam paling berpengalaman dan reliable di Malaysia.

Ini menunjukkan kematangan PAS dan Abdul Hadi sendiri dalam memahami sepak terajang politik antarabangsa dan sejarah ketamadunan Islam itu sendiri.

Ketika mana UMNO dilihat mengunakan isu Syiah untuk percaturan politik sempit mereka untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat Melayu setelah menyedari masyarakat bukan Melayu telah secara hampir total tidak lagi menyokong mereka dalam PRU 13 baru-baru ini.

Kenyataan yang amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat Muslim antarabangsa yang pelik memerhatikan gelagat Malaysia yang menghina, mengecam dan mengkafirkan pengikut Syiah secara begitu biadab tanpa pembelaan dari sebahagian besar agamawan tanah air. Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia bertindak keterlaluan terhadap masyarkat Syiah.

Arab Saudi yang diketahui mempunyai hubungan diplomatik yang buruk dengan Iran juga tidak pernah bertindak sedemikian terhadap lebih tiga juta pengikut Syiah di negara mereka.

Setelah hampir setiap hari momokan dilakukan media-media massa dan media-media sosial terhadap masyarakat Syiah, kenyataan Abdul Hadi membuktikan bahawa Malaysia masih lagi mempunyai pemimpin Islam yang berwibawa, bersesuaian dengan prinsip “PAS for All”.

Ketika sebahagian pemimpin PAS terutama di peringkat pemuda mula mengikut rentak gerakan neo wahabism Abdul Hadi tampil dengan penuh kematangan sebagai tokoh pemimpin gerakan Islam bertaraf antarabangsa.

Di samping itu, kenyataan pembelaan Abdul Hadi boleh menarik sokongan pengikut Syiah yang dikatakan berjumlah 250-300 ribu kepada PAS. Adalah dipercayai ramai juga pengikut syiah yang menyokong UMNO sebelum ini.

Isu Sunnah Syiah dimainkan kembali ekoran peperangan proksi di Syria yang didalangi oleh Amerika . Mudahnya, Syria perlu dihancurkan untuk menyekat laluan bantuan ketenteraan Iran kepada Hezbullah. Penguasaan regim barat ke atas bumi Syria bukan sahaja melemahkan Hezbullah tetapi akan membunuh Hamas dan Jihad Islami di bumi Palestin. Inilah cita-cita Israel.

Malangnya hari ini seruan jihad di bumi Syria dicanangkan melalui organisasi wahabi dan pro wahabi seluruh dunia yang dibiayai oleh sekutu Amerika di Timur Tengah iaitu Saudi dan Qatar.

Mereka menciptakan semangat jihad palsu di bumi Syria dan mempengaruhi anak-anak muda menyertai gerombolan pengganas untuk menghancurkan keamanan bumi Syria.

Pihak kerajaaan Syria yang mempertahankan tanahair mereka dan Hezbullah yang wajib mempertahankan survival mereka dicop sebagai Syiah yang kononnya gemar menumpahkan darah Ahlus Sunnah. Maka skrip Syiah Sunnah dimainkan kembali.

Di Malaysia sendiri ramai kader-kader wahabi melalui Hizbut Tahrir menggerakkan semangat jihad palsu Syria dengan menggunakan baja kebencian kepada Syiah.

Lihat bagaimana pelbagai organisasi media sosial ditubuhkan seperti Gerakan Anti Syiah Malaysia, Syrian Care dan sebagainya yang digunakan untuk merekrut anak-anak muda melayu yang tidak berdosa menjadi mangsa politik Amerika Zionis di Syria.

Adalah menjadi rahsia umum bahawa telah terdapat beberapa anak muda Malaysia yang berada di sana dan berperang bersama firqah Nusrah yang ekstrim. Sepatutnya Kementrian Dalam Negeri (KDN) memantau keadaan ini bukannya sibuk membilang berapa ramekins pengikut Syiah di Malaysia.

Kepulangan pejuang-pejuang jihad melayu ini yang trigger happy ke Malaysia adalah hadiah terbesar Umno untuk diri sendiri dan rakyat Malaysia. Tahniah. KDN tentu masih ingat “Geng Styer” dan Kumpulan Mujahidin Malaysia KMM.              

UMNO sepatutnya tidak  menggunakan Syiah untuk menghimpunkan sokongan orang-orang melayu.  Isu Syiah bukannya isu ketuanan melayu yang boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh regim pemerintah. Syiah juga bukan seperti Al-Arqam, tetapi Syiah adalah sebahagian dari khazanah Islam yang berusia hampir sama dengan usia agama Islam itu sendiri.

Sarjana-sarjana agung Islam sendiri memahami hakikat ini di mana terdapat perkongsian khazanah ilmu yang sangat kukuh antara dua madrasah Islam paling berpengaruh ini, iaitu madrasah Ahlus Sunnah dan madrasah Syiah.

Contohnya sekiranya Syiah dihapuskan, kitab Sahih Bukhari juga akan kehilangan ratusan hadis kerana terdapat lebih dari 150 orang perawi dalam rantaian sanadnya yang terdiri dari mereka yang berfahaman Syiah. Ini adalah fakta, hanya sahaja kita tidak mahu mengkajinya.        
Isu Syiah yang dimainkan oleh akhbar Sinar Harian yang dikenali sebagai sangat pro Wahabi, dan Utusan Melayu yang menjadi lidah Umno sangat menjengkelkan bagi sebahagian besar umat Islam yang mempunyai kefahaman Islam yang progresif dan sederhana, sangat memalukan Islam di mata bukan Islam.

Umno juga merosakkan imej Islam di peringkat antarabangsa terutamanya dua negara utama umat Islam yang mempunyai majoriti ummat Islam yang bermazhab Syiah iaitu Iran dan Iraq. Tindakan keterlaluan terhadap pengikut Syiah juga akan menjatuhkan maruah Malaysia sebagai negara Islam membangun di mata dunia.

PAS pula sebagai sebuah gerakan Islam yang dinamik tidak sepatutnya berpuas hati dengan kenyataan Abdul Hadi semata-mata. Pas tidak boleh menjadi defensif dan merasa rendah diri apabila ditohmah mempunyai ramai penyokong  Syiah.

Pas sendiri menjadi dinamik akibat mempunyai sikap terbuka terhadap Syiah dan Revolusi Islam Iran pada dekad  80an dahulu. Bukankah konsep kepimpinan ulama dan mursyidul am sedikit sebanyak mempunyai pengaruh Revolusi Islam.

Walaupun PAS agak terikut-ikut dengan Ikhwanul Muslimin ketika peperangan Iran dan Iraq dan Perang Teluk pada awal 90an, PAS hari ini dilhat lebih matang dan tidak terikut dengan rentak Ikhwanul Muslimin dalam isu Perang Syria.

Bahkan ramai juga pemimpin Ikhwan yang sependapat dengan Abdul Hadi. Sayap politik Hamas lebih cenderung kepada pengaruh Qatar sedangkan  sayap ketenteraan Hamas  bulat bersama Hezbullah.

Abdul Hadi membuktikan kebijaksanaannya terlalu jauh kehadapan berbanding sayap pemuda yang mudah terpengaruh dengan topeng jihad Syria yang didalangi Wahabi. Ianya bukanlah mengejutkan kerana PAS sendiri mempunyai kader-kader  Wahabi yang ramai. Di sini barisan pemimpin pertengahan yang berwibawa seperti Khalid Samad, Salehudin Ayub, Husam Musa dan Dr Mujahid Yusof Rawa perlu bekerja keras membongkar kebangkrapan UMNO dalam isu Syiah dan menarik lebih ramai pendokong Syiah ke dalam PAS bukannya sebaliknya.

PAS telah berjaya memecahkan tembok antara bukan Islam dan adalah lebih mulia sekiranya PAS berjaya memecahkan tembok kemazhaban yang sering menjadi mainan musuh. PAS perlu belajar dari kegagalan Taliban dan Ikhwan di Mesir dan mampu menjadi gerakan islam paling dinamik dan terbuka  menjadi contoh kepada seluruh gerakan Islam dunia. Abdul Hadi telah membuka langkah tersebut dan terpulanglah kepada seluruh kepimpinan PAS untuk mencipta sejarah, Insya Allah.

oleh Fazil Murad
 

*Fazil Murad adalah seorang peniaga dan mengikuti perkembangan politik semasa.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Saturday, July 13, 2013

Krisis Syria: Apa Berlaku Di Syria ?






 Apa berlaku di Syria?

Saya pernah sampai ke kota Damas - panggilan manja warga Arab untuk kota Damsyik atau Damascus untuk warga Barat. Ini lama dahulu ketika saya berkelana. Saya datang dari Hong Kong membawa jemputan dari Asia Students Association (ASA) kepada Persatuan Pelajar Syria untuk hadir ke Kongres ASA di Chiengmai Thailand. Justeru saya menjadi tamu Persatuan Pelajar Kebangsaan Syria.

Sebelum sampai ke Damas saya melintasi Amman, Jordan. Saya membawa jemputan yang sama. Saya diberitahu bahawa Persatuan Pelajar Jordan dalam buangan beroperasi di Beirut. Begitu juga dengan GUPS - General Union of Palestine Students. Justeru saya wajib juga dari Syria ke Lubnan. Ketika ini Perang Saudara di Lubnan baru bermula.

Saya tersangkut hampir dua minggu di Damas. Bumi Arab inilah yang menjadi permulaan jejak dan tapak saya berkelana. Saya tersangkut kerana jalan utama dari Damas ke Beirut ditutup kerana perang saudara. Lalu untuk membunuh masa saya melingkari kota Damas.

Pada tahun 1974, saya seperti ramai anak-anak muda di Malaysia tidak ada langsung ada kefahaman tentang Sunni dan Syiah. Ketika saya membesar saya tidak mengetahui tentang wujudkan dua mazhab ini. Yang saya fahami - saya ini penganut Islam, tidak lebih dari itu. Sunni dan Syiah ini tidak pernah wujud dalam fikrah saya.

Saya bertemu dengan mazhab Syiah di Iraq. Ini pada tahun 1975 - lama sebelum Revolusi Iran kerana saya telah menjadi tamu Persatuan Pelajar Iraq. Malah sebelum dunia membaca tentang Ayatollah Khomeini, saya telah melawat Karbala dan Najaf. Ketika saya melawat Najaf, Ayatollah Khomeini masih lagi ‘orang buangan' sebelum dihalau keluar dari Najaf ke Kuwait dan berakhir di Paris.

Dengan pecahnya Revolusi Iran, penganut Islam di Malaysia disedarkan tentang wujudnya satu lagi mazhab Islam yang dipanggil Syiah. Penganut Syiah di Iran bangun melawan Shah Reza Pahlevi. Raja Iran ini telah dinaikkan ke tahta oleh CIA. Justeru, Revolusi Iran melonjakkan kesedaran tentang Syia di kalangan anak-anak muda Islam di seluruh dunia. Mazhab Syiah dilihat membawa garis melawan imperialis.

Hari ini, pada tahun 2013, kita sedang melihat bagaimana Islam dijadikan musuh oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika. Sesudah tamatnya Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin (1989) pernah diharapkan politik dunia akan membawa pencerahan dan keamaman untuk umat manusia. Harapan ini meleset. Kaum pemodal, kuasa militer, peniaga senjata antarabangsa bersama dengan politikus kanan memailih Islam sebagai musuh baru.

Senjata Sunni-Syiah

Di zaman Perang Dingin dahulu yang dijadikan musuh ialah negara yang menggunakan sistem ekonomi Sosialis, kaum Sosialis dan kaum Komunis. Mereka bukan hanya ditohmah dan difitnah malah mereka dibantai dan dikorbankan. Kali ini yang menjadi musuh ialah Islam. Ini yang sedang kita saksikan.

Awas, kaum pemodal antarabangsa dengan cekap menggunakan perbezaan mazhab - Sunni dan Syiah - untuk membantai umat Islam. Perbezaan Sunni/Syiah ini sedang dijadikan senjata ulung untuk membantai warga Syria.

Saya akui di sini bahawa manusia yang bernama Bashar al-Assad itu mungkin bukan sosok terbaik untuk dijadikan contoh pendemokrasian di Syria atau untuk bumi Arab/Islam. Di belakang gerakan anti-Bashar ini sebenarnya ada agenda yang lebih besar yang dirancang kaum imperialis Anglo-Amerika. Perkara inilah yang ingin saya terangkan agar ianya dapat membawa pencerahan untuk kita semua. Ini bukan bermakna saya lebih bijak dari pembaca. Apa yang saya paparkan ini hanya satu analisa dari kajian, pembacaan dan pengalaman saya.

Justeru, sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa apa yang berlaku di Syria itu bukan pertempuran Sunni dan Syiah. Apa yang sedang berlaku ialah pembantaian warga Syria - Sunni, Syiah, Kristian, Baath atau Majusi. Peperangan dan pembunuhan di Syria ini sebahagian dari agenda Anglo-Amerika untuk menakluk bumi Arab. Kenapa perlu ditakluk bumi Arab? Jawabnya: minyak.

Kita harus faham bahawa yang kata-kata lunak, janji-janji manis dari Clinton, Bush atau Obama terhadap Warga Islam hanyalah kata-kata. Kuasa imperial Anglo-Amerika memiliki agenda yang telah lama dirancang. Contohnya: serangan ke atas Iraq telah lama dirancang - jauh sebelum ledakan WTC di New York tahun 2001.

Pendemokrasian yang diajukan oleh kuasa imperial Amerika itu bunyinya amat lunak. Lalu saya meminta semua pembaca bertenang dan berfikir sajenak. Kenapa demokrasi hanya perlu diwujudkan di Libya, Mesir, Iraq dan Syria. Kenapa demokrasi tidak diajukan kepada Arab Saudi.

Dari fakta pembacaan, negara Saudi yang kaya raya dengan duit minyak ini tidak langsung memiliki ciri-ciri demokrasi jauh sekali menghormati hak asasi manusia. Malah kita sering terbaca berita tentang bagaimana warga asing yang bekerja di Saudi dijadikan hamba abdi sama seperti di zaman Rasullulah.

Demokratik sungguhkah Qatar?


Sebuah lagi negara Arab yang begitu kuat menyokong dan memberi dana dan senjata kepada gerombolan pengganas untuk menyerang Syria ialah Qatar. Atas nama Islam, atas nama Sunni , senjata telah dihantar untuk membunuh Syiah. Qatar memberi duit dan senjata kerana ingin membangunkan Syria untuk menjadi sebuah darul yang lebih demokratik. Mari kita bertanya: bila ada pilihan raya di Qatar? Demokratik sungguhkah negara yang bernama Qatar ini?

Telah saya katakan tadi bahawa semua ini berlatarkan keperluan kaum pemodal antarabangsa untuk menakluk bahan bakar petroleum. Iraq dahulu bebas dan merdeka. Iraq TIDAK membenarkan syarikat minyak asing masuk membuat cari gali. Kini Iraq telah dibuka untuk Shell, Esso, Exxon termasuk Petronas. Yang masih berdegil melarang syarikat luar dari mencari gali minyak hanya Iran.

Untuk menundukkan atau menyerang Iran, Syria perlu dijatuhkan dahulu. Ini kerana Syria dan Iran memiliki hubungan yang intim semenjak zaman Presiden Hafeez dan zaman Khomeini. Hubungan ini diikat pula dengan perjanjian bantu membantu dari segi ketenteraan.

Apabila kita membaca pilitik Iran atau Syria atau Timur Tengah maka kita wajib memahami juga peranan negara Zionis Isreal. Israel telah dipacakkan di tengah bumi Arab oleh kuasa imperial Anglo-Amerika sesudah Perang Dunia keDua. Zionis Isreal bergerak sebagai pangkalan tentera Amerika. Israel menjadi polis untuk Amerika.

Sahihlah bahawa bahan bakar minyak petroleum ialah kunci kepada semua ini. Ekonomi kapitalis dunia hari ini dijana oleh bahan bakar petroleum. Tanpa petrol dunia yang kita kenali hari ini akan berubah wajah.

Kalau kita beli minyak dari stesen Petronas kita menggunakan duit ringgit. Kalau beli minyak di Pakistan wajib menggunakan Rupiah. Tetapi jika Malaysia atau Pakistan mahu membeli minyak di pasaran dunia, negara ini wajib menggunakan dolar.

Jual beli minyak dalam pasaran dunia hari ini wajib menggunakan dolar. Inilah hasil perjanjian yang telah diikat oleh Presiden Nixon dengan Raja Faizal - pada tahun 1972 - ketika dolar tidak lagi bersandarkan emas. Saudi sebagai pengeluar minyak terbesar dalam dunia mewajibkan minyak dibeli dengan dolar. Perjanjian ini memastikan Saudi dapat senjata dari Amerika. Amerika juga akan memastikan rejim Saudi selamat dari diganggu gugat oleh Israel atau musuh dalaman.

'Kong kalikong' Amerika

Maka munculkan apa yang dipanggil sistem PetroDollar. Dolar Amerika menjadi kukuh. Ini kerana banyak negara dalam dunia hari ini TIDAK memiliki minyak. Tetapi, negara-negara ini memerlukan minyak. Maka negara ini wajib mengeksport barangan kepada Amerika untuk mendapatkan dolar. Dengan adanya dolar baru minyak dapat dibeli.

Di sinilah muncul 'kong kalikong' yang paling besar. Amerika terus mencetak dolar untuk membeli barangan import. Hakikatnya ekonomi Anmerika hari ini adalah ekonomi silap mata. Maka kerana itu apabila Saddam mahu menjual minyak tanpa menggunakan dolar - Saddan Hussein dibunuh. Gadaffi juga menerima nasib yang sama apabila dia mahu menukar dolar dengan mata wang lain.

'Kong kalikong' Amerika ini bukan TIDAK disedari. Ramai yang tahu tetapi terpaksa sujud kepada Amerika kerana kuasa bala tentera Amerika berselirat dalam dunia hari ini. Semua negara kini tertaluk dibawah kuasa Anglo-Amerika. Dulu ada Empayar Rom, kini kita dijajah oleh Empayar Amerika.

Saudi memiliki simpanan minyak terbanyak dalam perut buminya. Negara kedua ialah Iran. Justeru Iran wajib ditundukkan. Jika Iran menjual minyaknya tanpa menggunakan dolar pasti ekonomi Amerika terjejas. Kerana inilah dibuka kesah Sunni dan Syiah. Kisah ini bertujuan untuk menutup kesah bangkai dolar yang semakin mencemaskan dunia kapitalis.

Ketika saya di Beirut pada tahun 1975, saya telah melihat kematian dan pembunuhan dalam perang saudara. Kali ini saya hanya berkeupayaan untuk menulis. Tapi saya tahu apa rupanya perang saudara yang sedang berlaku di Syria.

Saya akhiri dengan satu pertanyaan: kenapa kita tidak dapat memahami bagaimana kaum pemodal, tauke penjual senjata dan politikus kanan yang kaya raya terus mengadu domba kita. Di Lubnan, Khristian dengan Islam. Di Rwanda, Tutsi dengan Hutu. Di Syria, Sunni dengan Syiah. Dan di Malaysia Melayu dengan Cina.



Oleh :