Apa berlaku di Syria?
Saya pernah sampai ke kota Damas - panggilan manja warga Arab untuk kota Damsyik atau Damascus untuk warga Barat. Ini lama dahulu ketika saya berkelana. Saya datang dari Hong Kong membawa jemputan dari Asia Students Association (ASA) kepada Persatuan Pelajar Syria untuk hadir ke Kongres ASA di Chiengmai Thailand. Justeru saya menjadi tamu Persatuan Pelajar Kebangsaan Syria.
Sebelum sampai ke Damas saya melintasi Amman, Jordan. Saya membawa jemputan yang sama. Saya diberitahu bahawa Persatuan Pelajar Jordan dalam buangan beroperasi di Beirut. Begitu juga dengan GUPS - General Union of Palestine Students. Justeru saya wajib juga dari Syria ke Lubnan. Ketika ini Perang Saudara di Lubnan baru bermula.
Saya tersangkut hampir dua minggu di Damas. Bumi Arab inilah yang menjadi permulaan jejak dan tapak saya berkelana. Saya tersangkut kerana jalan utama dari Damas ke Beirut ditutup kerana perang saudara. Lalu untuk membunuh masa saya melingkari kota Damas.
Pada tahun 1974, saya seperti ramai anak-anak muda di Malaysia tidak ada langsung ada kefahaman tentang Sunni dan Syiah. Ketika saya membesar saya tidak mengetahui tentang wujudkan dua mazhab ini. Yang saya fahami - saya ini penganut Islam, tidak lebih dari itu. Sunni dan Syiah ini tidak pernah wujud dalam fikrah saya.
Saya bertemu dengan mazhab Syiah di Iraq. Ini pada tahun 1975 - lama sebelum Revolusi Iran kerana saya telah menjadi tamu Persatuan Pelajar Iraq. Malah sebelum dunia membaca tentang Ayatollah Khomeini, saya telah melawat Karbala dan Najaf. Ketika saya melawat Najaf, Ayatollah Khomeini masih lagi ‘orang buangan' sebelum dihalau keluar dari Najaf ke Kuwait dan berakhir di Paris.
Dengan pecahnya Revolusi Iran, penganut Islam di Malaysia disedarkan tentang wujudnya satu lagi mazhab Islam yang dipanggil Syiah. Penganut Syiah di Iran bangun melawan Shah Reza Pahlevi. Raja Iran ini telah dinaikkan ke tahta oleh CIA. Justeru, Revolusi Iran melonjakkan kesedaran tentang Syia di kalangan anak-anak muda Islam di seluruh dunia. Mazhab Syiah dilihat membawa garis melawan imperialis.
Hari ini, pada tahun 2013, kita sedang melihat bagaimana Islam dijadikan musuh oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika. Sesudah tamatnya Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin (1989) pernah diharapkan politik dunia akan membawa pencerahan dan keamaman untuk umat manusia. Harapan ini meleset. Kaum pemodal, kuasa militer, peniaga senjata antarabangsa bersama dengan politikus kanan memailih Islam sebagai musuh baru.
Senjata Sunni-Syiah
Di zaman Perang Dingin dahulu yang dijadikan musuh ialah negara yang menggunakan sistem ekonomi Sosialis, kaum Sosialis dan kaum Komunis. Mereka bukan hanya ditohmah dan difitnah malah mereka dibantai dan dikorbankan. Kali ini yang menjadi musuh ialah Islam. Ini yang sedang kita saksikan.
Awas, kaum pemodal antarabangsa dengan cekap menggunakan perbezaan mazhab - Sunni dan Syiah - untuk membantai umat Islam. Perbezaan Sunni/Syiah ini sedang dijadikan senjata ulung untuk membantai warga Syria.
Saya akui di sini bahawa manusia yang bernama Bashar al-Assad itu mungkin bukan sosok terbaik untuk dijadikan contoh pendemokrasian di Syria atau untuk bumi Arab/Islam. Di belakang gerakan anti-Bashar ini sebenarnya ada agenda yang lebih besar yang dirancang kaum imperialis Anglo-Amerika. Perkara inilah yang ingin saya terangkan agar ianya dapat membawa pencerahan untuk kita semua. Ini bukan bermakna saya lebih bijak dari pembaca. Apa yang saya paparkan ini hanya satu analisa dari kajian, pembacaan dan pengalaman saya.
Justeru, sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa apa yang berlaku di Syria itu bukan pertempuran Sunni dan Syiah. Apa yang sedang berlaku ialah pembantaian warga Syria - Sunni, Syiah, Kristian, Baath atau Majusi. Peperangan dan pembunuhan di Syria ini sebahagian dari agenda Anglo-Amerika untuk menakluk bumi Arab. Kenapa perlu ditakluk bumi Arab? Jawabnya: minyak.
Kita harus faham bahawa yang kata-kata lunak, janji-janji manis dari Clinton, Bush atau Obama terhadap Warga Islam hanyalah kata-kata. Kuasa imperial Anglo-Amerika memiliki agenda yang telah lama dirancang. Contohnya: serangan ke atas Iraq telah lama dirancang - jauh sebelum ledakan WTC di New York tahun 2001.
Pendemokrasian yang diajukan oleh kuasa imperial Amerika itu bunyinya amat lunak. Lalu saya meminta semua pembaca bertenang dan berfikir sajenak. Kenapa demokrasi hanya perlu diwujudkan di Libya, Mesir, Iraq dan Syria. Kenapa demokrasi tidak diajukan kepada Arab Saudi.
Dari fakta pembacaan, negara Saudi yang kaya raya dengan duit minyak ini tidak langsung memiliki ciri-ciri demokrasi jauh sekali menghormati hak asasi manusia. Malah kita sering terbaca berita tentang bagaimana warga asing yang bekerja di Saudi dijadikan hamba abdi sama seperti di zaman Rasullulah.
Demokratik sungguhkah Qatar?
Sebuah lagi negara Arab yang begitu kuat menyokong dan memberi dana dan senjata kepada gerombolan pengganas untuk menyerang Syria ialah Qatar. Atas nama Islam, atas nama Sunni , senjata telah dihantar untuk membunuh Syiah. Qatar memberi duit dan senjata kerana ingin membangunkan Syria untuk menjadi sebuah darul yang lebih demokratik. Mari kita bertanya: bila ada pilihan raya di Qatar? Demokratik sungguhkah negara yang bernama Qatar ini?
Telah saya katakan tadi bahawa semua ini berlatarkan keperluan kaum pemodal antarabangsa untuk menakluk bahan bakar petroleum. Iraq dahulu bebas dan merdeka. Iraq TIDAK membenarkan syarikat minyak asing masuk membuat cari gali. Kini Iraq telah dibuka untuk Shell, Esso, Exxon termasuk Petronas. Yang masih berdegil melarang syarikat luar dari mencari gali minyak hanya Iran.
Untuk menundukkan atau menyerang Iran, Syria perlu dijatuhkan dahulu. Ini kerana Syria dan Iran memiliki hubungan yang intim semenjak zaman Presiden Hafeez dan zaman Khomeini. Hubungan ini diikat pula dengan perjanjian bantu membantu dari segi ketenteraan.
Apabila kita membaca pilitik Iran atau Syria atau Timur Tengah maka kita wajib memahami juga peranan negara Zionis Isreal. Israel telah dipacakkan di tengah bumi Arab oleh kuasa imperial Anglo-Amerika sesudah Perang Dunia keDua. Zionis Isreal bergerak sebagai pangkalan tentera Amerika. Israel menjadi polis untuk Amerika.
Sahihlah bahawa bahan bakar minyak petroleum ialah kunci kepada semua ini. Ekonomi kapitalis dunia hari ini dijana oleh bahan bakar petroleum. Tanpa petrol dunia yang kita kenali hari ini akan berubah wajah.
Kalau kita beli minyak dari stesen Petronas kita menggunakan duit ringgit. Kalau beli minyak di Pakistan wajib menggunakan Rupiah. Tetapi jika Malaysia atau Pakistan mahu membeli minyak di pasaran dunia, negara ini wajib menggunakan dolar.
Jual beli minyak dalam pasaran dunia hari ini wajib menggunakan dolar. Inilah hasil perjanjian yang telah diikat oleh Presiden Nixon dengan Raja Faizal - pada tahun 1972 - ketika dolar tidak lagi bersandarkan emas. Saudi sebagai pengeluar minyak terbesar dalam dunia mewajibkan minyak dibeli dengan dolar. Perjanjian ini memastikan Saudi dapat senjata dari Amerika. Amerika juga akan memastikan rejim Saudi selamat dari diganggu gugat oleh Israel atau musuh dalaman.
'Kong kalikong' Amerika
Maka munculkan apa yang dipanggil sistem PetroDollar. Dolar Amerika menjadi kukuh. Ini kerana banyak negara dalam dunia hari ini TIDAK memiliki minyak. Tetapi, negara-negara ini memerlukan minyak. Maka negara ini wajib mengeksport barangan kepada Amerika untuk mendapatkan dolar. Dengan adanya dolar baru minyak dapat dibeli.
Di sinilah muncul 'kong kalikong' yang paling besar. Amerika terus mencetak dolar untuk membeli barangan import. Hakikatnya ekonomi Anmerika hari ini adalah ekonomi silap mata. Maka kerana itu apabila Saddam mahu menjual minyak tanpa menggunakan dolar - Saddan Hussein dibunuh. Gadaffi juga menerima nasib yang sama apabila dia mahu menukar dolar dengan mata wang lain.
'Kong kalikong' Amerika ini bukan TIDAK disedari. Ramai yang tahu tetapi terpaksa sujud kepada Amerika kerana kuasa bala tentera Amerika berselirat dalam dunia hari ini. Semua negara kini tertaluk dibawah kuasa Anglo-Amerika. Dulu ada Empayar Rom, kini kita dijajah oleh Empayar Amerika.
Saudi memiliki simpanan minyak terbanyak dalam perut buminya. Negara kedua ialah Iran. Justeru Iran wajib ditundukkan. Jika Iran menjual minyaknya tanpa menggunakan dolar pasti ekonomi Amerika terjejas. Kerana inilah dibuka kesah Sunni dan Syiah. Kisah ini bertujuan untuk menutup kesah bangkai dolar yang semakin mencemaskan dunia kapitalis.
Ketika saya di Beirut pada tahun 1975, saya telah melihat kematian dan pembunuhan dalam perang saudara. Kali ini saya hanya berkeupayaan untuk menulis. Tapi saya tahu apa rupanya perang saudara yang sedang berlaku di Syria.
Saya akhiri dengan satu pertanyaan: kenapa kita tidak dapat memahami bagaimana kaum pemodal, tauke penjual senjata dan politikus kanan yang kaya raya terus mengadu domba kita. Di Lubnan, Khristian dengan Islam. Di Rwanda, Tutsi dengan Hutu. Di Syria, Sunni dengan Syiah. Dan di Malaysia Melayu dengan Cina.
Oleh :