Followers

Wednesday, November 5, 2014

TNI Paksa Jet Komersial Arab Saudi Mendarat


 SEJUMLAH 13 orang penumpang termasuk enam anak kapal dari sebuah pesawat milik penerbangan Arab Saudi diarahkan mendarat oleh dua jet tentera Sukhoi SU-27/30MKI Flankers milik Indonesia selepas didapati melalui ruang udara negara itu tanpa keizinan pihak berkuasa

KUPANG, Indonesia – Sebuah pesawat komersial jenis Gulf Stream HZ-103 milik Penerbangan Arab Saudi dipaksa mendarat di Lapangan Terbang Bandara El Tari di sini, dalam wilayah Nusa Tenggara Timur selepas dipintas dua jet Sukhoi SU-27 Flankers milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) kelmarin.

Pesawat Arab Saudi itu yang membawa 13 orang termasuk enam anak kapal diarahkan mendarat selepas ia dikesan memasuki ruang udara Kupang tanpa kebenaran pihak berkuasa Indonesia.

Seorang pegawai tentera Indonesia, Andi Wijaya memberitahu portal berita Kompas.com, bahawa pesawat itu dan semua penumpang serta kru ditahan untuk seketika sebelum dibebaskan.

“Pesawat itu dipaksa melakukan pendaratan oleh dua jet pejuang Sukhoi SU-27 yang berlepas dari Makassar,” kata Andi dalam satu kenyataan.

Menurut Andi lagi, jet tersebut diarahkan mendarat kerana menceroboh ruang udara Indonesia semasa dalam penerba­ngan menuju ke Australia.

Terdahulu, pesawat tersebut dilaporkan telah berada di Singapura selama dua hari sebelum berlepas ke Australia.

Jet Gulf Stream itu dibenarkan meneruskan penerbangan ke Australia selepas pihak Arab Saudi membayar denda berjumlah 60 juta rupiah (RM16,488) dan melengkapkan dokumen keizinan melalui ruang udara Indonesia.

sumber...Agensi


Tuesday, November 4, 2014

Siap Badan: PAS Akan Saman Ku Nan



PAS sahkan akan saman Tengku Adnan

PAS memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Setiausaha Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilapor mendakwa PAS sebagai sebuah parti yang membawa ajaran sesat.

Keputusan tersebut disahkan oleh Pengerusi Biro Undang-undang PAS Hanipa Maidin yang juga anggota parlimen Sepang hari ini.

Beliau berkata satu surat tuntutan akan dihantar kepada Tengku Adnan minggu ini atau minggu depan, menuntut menteri Wilayah persekutuan itu memohon maaf atas kenyataan yang dibuat.

"Kami akan memberi masa selama 48 jam kepada beliau untuk menarik balik (kenyataan itu) dan memeohon maaf. Saya lihat ucapannya secara terperinci dan beliau sememangnya telah melemparkan tuduhan terhadap kamu," katanya.

Tengku Adnan dilapor membuat dakwaan itu ketika menyampaikan ucapan penutup Multaqa Kebangsaan, Biro Agama Umno di ibu negara, kelmarin dan mendakwa Umno merupakan parti Melayu yang dapat memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.




sumber...malaysiakini
[Baca berita asal]

Ribut Tibai Alor Setar Lagi !!


POKOK TUMBANG... Pegawai Bomba Kanan 1 Ramlan Mohd Aris melihat akar perdu sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian angin ribut dan hujan lebat di sini, petang Isnin.
Dalam kejadian pukul 4.56 petang itu sebuah kereta jenis Honda CRV milik Chin Kuen Han, 32, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, cermin hadapan dan belakang. Bagaimana pun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Berikutan kejadian itu pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengambil tindakan pantas memotong dan membersihkan kawasan bagi mengeluarkan kereta yang ditimpa dahan pokok itu. -foto BERNAMA

Ribut landa Alor Setar, pokok hempap kereta

Kejadian ribut yang melanda Kedah terutama di daerah Kota Setar sejak beberapa hari lepas, berterusan hari ini mengakibatkan beberapa pokok di sekitar bandar raya ini tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat.

Dalam kejadian kira-kira 4.55 petang, sebuah kereta yang diletakkan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Sultan Badlishah di sini dihempap pokok sebesar pemeluk ketika hujan lebat dalam tempoh kira-kira 15 minit.

Angin kuat mengakibatkan pokok jenis cemara itu tumbang.

Kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana pemilik kenderaan itu, Chin Kuen Han, 32, tidak berada di dalam kereta Honda CRV itu kerana masih berada di pejabat yang terletak berdekatan tempat kejadian.

Chin berkata beliau menyedari kejadian itu selepas dihubungi rakannya yang melihat kejadian itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya beliau terperanjat apabila mendapati kereta yang dibelinya empat tahun lalu remuk di bahagian cermin depan, bumbung dan cermin belakang yang menyebabkan kerugian lebih RM5,000.

"Pukul 4 (petang) lebih ada kawan call saya dia kata kereta kena pokok runtuh so saya datang tengok lepas hujan apa rosak. Nampak bumbung, cermin depan dan belakang pecah. Nasib baik saya di pejabat ketika kejadian," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan 1 Balai Bomba Jalan Raja Ramlan Mohd Aris berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira 4.56 petang.

"Setibanya di sana, sebuah kereta dihempap pokok besar, namun pemiliknya tiada. Usaha mengeluarkan kereta tersebut dilakukan dan Majlis Bandaraya Alor Setar turut memotong dahan pokok yang tumbang," katanya.

sumber...Mstar OL

Monday, November 3, 2014

Wacana "Kejatuhan PAS Kedah": Kemana Wakil PAS Menghilang ?



 MSO menjawab tohmahan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat

Wakil PAS Kedah tidak hadir pada wacana diskusi buku ‘Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah’

Penulis buku politik popular Mohd Sayuti Omar yang turut dikenali sebagai MSO berkata, kenyataan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat bahawa beliau (Mohd Sayuti) diupah individu tertentu untuk menulis buku ‘Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah’, merupakan satu kenyataan berniat jahat dan prejudis terhadap beliau.

Dihubungi FMT sebentar tadi, Mohd Sayuti berkata Mohd Azam perlu faham etika kewartawanan dan profesionalisma sebagai penulis.

“Saya minta Mohd Azam memberitahu, bila dan di mana saya pernah memaklumkan bahawa saya diupah untuk menulis buku ‘Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah’?

“Setiap kali saya tulis buku, orang tuduh saya diupah oleh orang itu dan orang ini.

Contohnya jika saya tulis buku mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), orang tuduh saya diupah oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri).
“Jika saya tulis buku mengkritik Datuk Seri Najib pula, orang tuduh saya diupah oleh Datuk Seri Anwar.
I’m not that stupid’ (Saya bukan begitu bodoh) untuk maklum pada orang ramai yang saya diupah untuk tulis buku itu.

“Saya nak tanya, jika ada pun seseorang individu diupah untuk menulis, logikkah penulis itu mengaku bahawa beliau diupah?

“Dalam etika ‘journalism’ (kewartawanan), seorang wartawan, editor atau penulis tidak akan dedah sumber informasi beliau.

Kenyataan Mohd Azam mempunyai syak wasangka yang amat buruk terhadap saya dan satu kenyataan yang tidak bermoral.
Baca keseluruhan 15 bab dalam buku saya. Jangan ambil bab-bab tertentu sahaja dan membuat tuduhan liar,” kata Mohd Sayuti dalam nada kecewa.

Mohd Sayuti juga berkata pada minggu lepas, beliau diundang untuk satu wacana diskusi buku tulisan beliau di Pandan, Selangor.

“Saya diberitahu oleh penganjur bahawa mereka juga menjemput Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak iaitu Muhammad Sanusi Md Nor yang juga kini merupakan Ketua Penerangan PAS Kedah.

“Penganjur juga menjemput Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad.

“Saya kata pada penganjur, tiada masalah untuk saya hadir dan seperti dijanjikan saya hadir pada wacana diskusi itu.

Malangnya Muhammad Sanusi dan Musoddak yang tidak hadir.

Kalau saya menulis buku itu dengan berniat jahat, boleh sahaja saya mengelak daripada menghadiri wacana diskusi itu.
Sebaliknya saya bertanggungjawab berhadapan dengan wakil PAS Kedah,” jelas Mohd Sayuti lagi.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Mohd Azam dipetik berkata, penulis buku ‘Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah’ perlu mendedahkan nama individu yang mengupahnya untuk menulis buku tersebut.

“Sebelum ini penulis pernah memaklumkan, beliau seperti diupah individu tertentu untuk menulis buku tersebut,” katanya kepada akhbar tersebut.

Amaran perilaku pemimpin PAS telah pun dibuat oleh perwakilan dalam muktamar pada tahun lalu

PRU13: 'Barah' dalaman punca kejatuhan PAS Kedah

 Perwakilan PAS Kedah mahu jawatankuasa post mortem PAS bagi pilihan raya umum ke-13 mendedahkan punca kekalahan PAS khususnya di negeri itu supaya ia tidak diulangi pada masa akan datang.


"Biarlah didedah jawatankuasa postmortem dibuat dengan kadar segera," katanya membahaskan ucapan dasar presiden.

Mengakui perit dan dukacita dengan kejatuhan kerajaan negeri yang ditadbir parti itu pada pilihan raya lalu, Nasir Zakaria bagaimanapun mengakui masalah "faktor dalaman" menyumbang kepada kejatuhan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Beliau yang juga bekas ahli parlimen Padang Terap, bagaimanapun tidak menjelaskan secara spesifik "masalah dalaman" umpama "barah" yang berlaku di negeri itu.

"Masalah yang dihadapi oleh anak, tidak mampu diselesaikan atau ditanggung oleh anak, maka ia dileraikan oleh mak bapa. Ayah kena ambil tindakan dengan pantas, adil dengan masalah yang berlaku.




Adakah Selangor selepas Kedah?

"Kita tidak mahu masalah umpama barah (merebak). Mungkin (selepas ini) menyerang parlimen, negeri (lain) yang kita kuasai," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan jawatankuasa pemandu yang dibentuk diaktifkan segara sekaligus memantau dan memberi nasihat profesional kepada negeri yang ditadbir oleh PAS.


sumber...FMT/malaysiakini 

Sunday, November 2, 2014

Gambar ISIS Bunuh 300 Pengikut Sunnah di Iraq


Orang ramai memerhati berpuluh-puluh mayat yang bergelimpangan dipercayai pengikut Sunnah yang ditembak mati oleh kumpulan militan IS di sebatang jalan di bandar Hit, 140 kilometer ke barat Baghdad, pada 29 Oktober lalu

Kumpulan militan Negara Islam (IS) dilapor membunuh lebih 300 penduduk Iraq sepanjang minggu ini, sebagai membalas dendam terhadap tindakan puak kabilah di barat ibu negara ini membantu tentera pakatan menentang IS.

Menurut saksi, dua kubur besar turut ditemui di berasingan di wilayah Anbar mengandungi kira-kira 300 mayat pengikut Sunnah Muslim Albu Nimr dengan kesemua mangsa dipercayai berusia antara 18 dan 55 tahun.

Kesan tembakan jarak dekat turut ditemui ada mayat-mayat tersebut.

Selain itu, lebih 70 mayat lelaki daripada kumpulan yang sama ditinggalkan dekat pekan Hit yang merupakan kawasan majoriti penduduk Sunnah di wilayah tersebut.

Kebanyakan mangsa merupakan anggota polis atau pejuang anti-IS yang digelar sebagai Sahwa (kebangkitan).

Satu lagi kubur besar ditemukan dekat bandar Ramadi di wilayah yang sama, mengandungi 150 mayat pengikut tersebut.

“Militan IS mengarahkan pengikut kumpulan itu meninggalkan kampung mereka dan berpindah ke Hit, terletak kira-kira 130 kilometer di barat Baghdad dan memberi jaminan mereka tidak akan diapa-apakan.

“Tetapi militan IS bertindak kejam apabila menahan dan menembak mati kesemua mangsa tersebut,” kata saksi berkenaan yang enggan dikenali.

Dalam perkembangan di Syria, militan IS mendakwa menawan sebuah lapangan minyak di wilayah tengah Homs, selepas bertempur dengan tentera kerajaan, serta berjaya merampas lima kereta kebal, dua kenderaan berperisai, mesingan dan peluru.

Di pekan strategik Kobani pula, kumpulan pertama puak Kurdis Iraq tiba untuk membantu kumpulan bersenjata puak Kurdis Syria menentang kemaraan militan IS yang tidak terjejas, walaupun diserang tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat.

sumber...REUTERS/AFP

p/s... menurut sumber berita lain jumlahnya 85 orang dibunuh.
Orang ramai memerhati berpuluh-puluh mayat yang bergelimpangan dipercayai pengikut Sunnah yang ditembak mati oleh kumpulan militan IS di sebatang jalan di bandar Hit, 140 kilometer ke barat Baghdad, pada 29 Oktober lalu, - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kumpulan-militan-is-bunuh-300-pengikut-sunnah-1.19269#sthash.LfWx4bUe.dpuf