Followers

Friday, April 6, 2018

Mahathir Kini Lebih Popular Berbanding Najib



Majoriti responden yang terlibat dalam kaji selidik terkini Institut Darul Ehsan (IDE) memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Berdasarkan dapatan badan pemikir berpangkalan di Selangor itu 61 peratus daripada 4,920 responden memilih pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berbanding 39 peratus yang mahu Datuk Seri Najib Razak dikekalkan sebagai perdana menteri.

"Secara keseluruhan orang ramai masih melihat era Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tempoh keemasan negara ini," kata Ketua Eksekutif IDE Prof Datuk Dr Redzuan Othman hari ini.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan dapatan Kaji Selidik Malaysia 2018 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Kaji selidik itu berlangung dari 23 hingga 26 Mac lalu.

Dari segi pecahan kaum, kata Redzuan, etnik Cina memberikan sokongan terbesar buat Dr Mahathir iaitu 72 peratus, diikuti India (61 peratus) dan Melayu (57 peratus).

Kata Redzuan di sebalik kritikan terhadap cara pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri sebelum ini, kesannya lebih rendah berbanding populariti dirinya.

Menurut bekas kakitangan kanan Universiti Malaya itu beliau berpeluang menemu bual Dr Mahathir secara peribadi dan dimaklumkan, akan ada peralihan sokongan besar daripada pengundi Melayu untuk HARAPAN.

"Saya juga berbincang dengan Lim Kit Siang (pemimpin veteran DAP) dan beliau sangat yakin akan berlaku tsunami Melayu selepas parlimen dibubarkan," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan ketara pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke-12 pada 2008 hanya berlaku kurang dari seminggu sebelum hari mengundi.

[Baca berita penuh]

Wednesday, April 4, 2018

PRU14 Pada Pertengahan Minggu?


PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka akan dijalankan pada pertengahan minggu, dalam masa sebulan selepas Barisan Nasional (BN) melancarkan manifestro pada 7 April, menurut beberapa sumber.

Difahamkan, Parlimen akan dibubarkan selepas persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tamat pada 5 April.

Mandat yang diperolehi BN akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut.

"Kami menjangkan pembubaran Parlimen menjelang 7 April. Kemudian tinggal kira-kira sebulan sahaja sebelum pilihan raya diadakan, sejurus sebelum bulan puasa yang akan bermula pada pertengahan Mei,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa menentukan tarikh penamaan dan pengundian, namun secara lazimnya parti pemerintah akan mencadangkan waktu pilihan raya. Malaysia tiada undang-undang yang menetapkan tarikh pilihan raya.

Jumlah keluar mengundi mungkin merosot sekiranya PRU14 diadakan pada pertengahan minggu memandangkan pengundi di luar negara, terutama di Singapura, Hong Kong dan Australia biasanya pulang mengundi sekiranya ia dilakukan pada hujung minggu.

Kempen yang dijalankan oleh masyarakat sivil pada 2008 dan 2013 menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga yang membolehkannya meluluskan undang-undang dengan mudah.

Pilihan raya 2008 diadakan pada hari Sabtu dengan jumlah keluar mengundi 75.99 % dan pilihan raya umum 2013 pula pada hari Ahad yang menyaksikan 84.4 peratus keluar mengundi.
Kumpulan masyarakat sivil dan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 menyatakan bahawa pembangkang akan menang sekiranya lebih 80 peratus keluar mengundi.

Peluang kemenangan itu kini semakin sukar kerana sempadan baharu kawasan pilihan raya akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRU14.

Walaupun pada akhir-akhir ini pilihan raya umum biasanya dilakukan pada hujung minggu, dua pilihan raya umum pertama – pada 1955 dan 1959 – diadakan pada hari Rabu.

Perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Dr Mahathir Mohamad, meraih mandat pertamanya dalam pilihan raya umum 1982.

Pilihan raya itu berlarutan dari Khamis, 22 April sehingga Isnin, 26 April ekoran masalah logistik di negeri-negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir kini memimpin gabungan pembangkang untuk PRU14, walaupun beliau menyokong Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum 2013.

Rekod menunjukkan pilihan raya umum pada 1995 dan 1999 juga diadakan pada hari Isnin.

Isu melibatkan masalah pengundi di luar negara menjadi perhatian susulan kritikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed ke atas tawaran syarikat penerbangan Cathay Pacific yang menawarkan diskaun surcaj kepada pengundi yang mahu menukar tarikh penerbangan untuk pulang mengundi.

Nur Jazlan dalam kenyataannya di Twitter mendakwa, tawaran itu menununjukkan bahawa syarikat berpengkalan di Hong Kong itu menyokong usaha untuk menukar kerajaan.

Kenyataan itu seterusnya meraih kritikan para pengguna media sosial yang menganggap Nur Jazlan mendakwa warga Malaysia di luar negara lebih cenderung menyokong pembangkang.

Cathay Pacific juga menafikan dakwaan tersebut. Namun Nur Jazlan terus mendesak agar syarikat tersebut menyatakan sekiranya ia akan turut berbuat demikian untuk pengundi negara lain. – 29 Mac, 2018.

sumber ...https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/a/695

PRU14: Anwar Hargai Pengorbanan Mahathir



PRU14 | Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyatakan pujian terhadap bekas seteru politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan media hari ini tokoh yang disebut-sebut sepatutnya menjadi perdana menteri ketujuh Malaysia itu berkata, Dr Mahathir kini sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk bersama sebahagian besar pembangkang demi menjala perubahan dalam negara.

"Saya ulangi penghargaan saya terhadap kesediaan Tun Dr Mahathir mengorbankan masa dan tenaga bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menjana perubahan di dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14," katanya yang membuat kenyataan itu semasa hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri dan orang kepercayaan Dr Mahathir itu berada di mahkamah bagi menghadiri saman beliau terhadap TV3.

Anwar menyaman stesen televisyen berkenaan berhubung laporan mereka mengenai insiden pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu pada 2013.

HARAPAN menamakan Dr Mahathir, 92, sebagai calon perdana menteri jika mereka dapat mengetepikan BN daripada kerajaan pada PRU akan datang.

Untuk tempoh berbelas tahun Dr Mahathir dan Anwar menjadi seteru ketat ekoran penyingkiran tokoh dari Cheruk Tok Kun, Pulau Pinang itu pada 1998.

Bersama selamatkan negara

Bagaimanapun kedua-dua mereka kembali berdamai atas dasar pakatan politik bagi menghadapi BN.Dr Mahathir ialah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang baru ditubuhkan pada Sept 2016 dan menjadi pertubuhan paling bongsu dalam HARAPAN.

Sebelum ini Anwar adalah calon perdana menteri di kalangan hampir semua parti pembangkang. Ekoran pemilihan Dr Mahathir, HARAPAN turut menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Kata Anwar HARAPAN menonjolkan Dr Mahathir sebagai pemimpin selepas mengambil kira pengalaman dan sumbangan beliau kepada negara.

Lebih daripada itu kata Anwar Dr Mahathir dipilih kerana kesediaan beliau menerima agenda perubahan yang dibawa HARAPAN.

"Selamatkan Malaysia daripada cengkaman pemerintahan autoktratik Umno dan BN," katanya.Anwar juga menjelaskan peluang yang ada kini adalah ruang paling baik untuk semua pihak bergabung dengan rakyat bagi mengubah kerajaan.

"PRU ke-14 adalah kesempatan terbaik untuk semua kekuatan rakyat digabung bagi meletakkan pemerintahan yang komited menentang rasuah, penyelewangan dan meletakkan Malaysia sebagai negara demokratik dan adil," katanya.

sumber...mKini

Tuesday, April 3, 2018

Sepupu Dakwa Kenal Sangat Suara Nik Abduh


Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Pasir Puteh, Mohd Sabri Salleh menggesa PAS menyiasat audio yang dikatakan mirip suara anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, penafian dibuat anak kepada bekas mursyidul am PAS itu tidak cukup untuk memberi keyakinan bahawa suara itu bukan miliknya.

Sebagai seorang sepupu, katanya, beliau mendakwa sangat mengenali suara anggota jawatankuasa PAS pusat itu.

"Saya yakin itu suara dia, berdasarkan lenggok bahasa, pelat, cara dia ucap satu-satu perkataan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebelum ini, isu rakaman audio yang didakwa melibatkan pertemuan antara Nik Abduh dan seorang pemimpin muda PAS tersebar secara bersiri di media sosial sejak Februari lalu.

Bagaimanapun rakaman keseluruhan audio itu hanya didedahkan di Facebook sebulan kemudian.

Individu dalam rakaman itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanannya.

Lebih mengejutkan, individu itu juga mengaku mempunyai hubungan dengan ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA)
.
"Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana," katanya dalam rakaman tersebut.

Nik Abduh telah membuat penafian dan menyifatkan tuduhan itu sebagai "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.

PAS sebelum ini melalui naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abddullah turut menegaskan tiada keperluan untuk menyiasat perkara itu dan cukup dengan penafian Nik Abduh.

'Perang dingin Nik Abduh'

Sementara itu Mohd Sabri mendakwa, sebelum munculnya audio tersebut sudah berlaku perang dingin antara pihak Nik Abduh dan pemimpin itu.

"Apa yang menguatkan lagi dakwaan mengenai audio itu adalah perang dingin yang sudah pun wujud antara kedua-dua pihak yang terlibat sebelum ini.

"Ia adalah asas benda (perkara) ini, boleh jadi sokongan audio Nik Abduh," jelasnya yang juga adik kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.

Tambah Mohd Sabri, tindakan PAS enggan menyiasat kesahihan audio itu sudah dijangka kerana kepimpinannya kini bukan lagi seperti dahulu.

"Sebabnya pimpinan sudah maklum mengenai perkara yang dibangkitkan itu.

"Kalau dalam kepimpinan PAS dahulu, saya yakin perkara ini akan disiasat. Jadi saya harap PAS sekarang telus," katanya yang mendakwa memilih untuk bersama AMANAH selepas melihat PAS tersimpang daripada perjuangan asal.

sumber...mKini

Monday, April 2, 2018

Najib Layak Jadi Tokoh Berita Palsu Asia



Najib layak jadi tokoh berita palsu Asia kata Datuk Dr Rais Hussin

ULASAN | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti membohongi rakyat kerana berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau yang terkini beliau hampir layak menjadi menjadi tokoh berita palsu Asia.

Pada 30 Mac 2018, beliau dilaporkan berkata “Saya telah meneliti manifesto pihak sebelah sana (Pakatan Harapan). Manifesto mereka mengandungi 60 janji tetapi hanya 1 janji yang menyebut ekonomi Bumiputera. Itu pun janji nombor 30.”

Tuduhan ini ada satu kepalsuan yang berpunca daripada pemikiran sempit Najib. Beliau gagal memahami bahawa Buku Harapan keseluruhannya akan membawa faedah positif yang tuntas kepada warga Bumiputera di Malaysia.

Dalam Teras Satu Buku Harapan, kami menjanjikan 10 langkah untuk meringankan bebanan kehidupan rakyat. Ini bermula dengan penghapusan GST, iaitu suatu cukai yang membebankan yang diperkenalkan oleh Najib tiga tahun lalu.

Kami juga, antara lain, akan menstabilkan harga petrol, memberikan subsidi secara bersasar, menghapuskan kutipan tol, memperbaiki kualiti pengangkutan awam, mempertingkat jumlah rumah mampu milik dan mampu sewa, serta meringankan bebanan kos perkhidmatan kesihatan.

Semua langkah-langkah dalam Teras Satu Buku Harapan akan memberi faedah secara langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia.

Manfaat kepada bumiputera

Dalam Teras Dua Buku Harapan, kami menjanjikan 19 langkah untuk mereformasi institusi-institusi penting dalam pentadbiran negara.

Ini termasuklah memperkukuh agensi pencegahan rasuah supaya Najib dan kuncu-kuncunya tidak boleh terus bermaharajalela dengan wang rakyat, menyelesaikan skandal 1MDB, dan skandal-skandal yang dimulakan di bawah pentadbiran Najib dalam agensi-agensi Bumiputera seperti Felda, MARA dan Tabung Haji, memperkasa perkhidmatan awam yang majoriti anggotanya adalah Bumiputera, dan lain-lain lagi.

Semua langkah reformasi institusi yang akan kami laksanakan akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia hasil dari pentadbiran kami yang lebih telus dan adil.

Dalam Teras 3 Buku Harapan, kami menjanjikan 10 langkah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.

Langkah-langkah ini termasuklah tindakan spesifik untuk membantu pengusaha IKS yang majoritinya adalah Bumiputera, pelbagai program bantuan untuk mengantarabangsakan usahawan kita, menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama agar warga Bumiputera dapat bersaing dengan adil dalam pasaran pekerjaan, dan mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk membantu mobilisasi sosial masyarakat.

Semua langkah untuk merancak pertumbuhan ekonomi ini pasti akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia kerana golongan Bumiputera lah golongan majoriti dalam negara ini.

Teras Empat Buku Harapan mengandungi 9 langkah untuk melaksanakan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963.

Langkah-langlah ini merupakan satu tuntutan oleh warga Sabah dan Sarawak yang telah mereka tuntut sejak berdekad lamanya tetapi tidak pernah dihiraukan oleh Najib. Di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai lebih dari 30 kumpulan yang mempunyai status Bumiputera di sana.

Dengan memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, maka kami akan memenuhi tuntutan dan kemahuan warga Bumiputera Sabah dan Sarawak yang sekian lama dipermain-mainkan oleh UMNO.

Ubah politik pecah dan perintah

Teras Lima Buku Harapan 12 langkah untuk membina sebuah Malaysia yang inklusif, moderat, dan gemilang di persada dunia.

Antara langkah yang akan kami laksanakan ialah menjadikan sekolah-sekolah kerajaan yang kini menjadi tumpuan warga Bumiputera sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat, mengembalikan wibawa universiti awam yang juga merupakan tumpuan para pelajar Bumiputera, menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat agar kita boleh mengubah politik pecah perintah yang mengadu domba antara orang Bumiputera dengan Bumiputera, dan banyak lagi.

Semua langkah mengembalikan maruah negara melalui Teras Lima pasti akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia kerana kita akan boleh kembali berbangga mengenai negara ini, bukan terus malu akibat dituduh sebagai negara kleptokrasi yang dipimpin oleh perompak.

Kami juga mempunyai iltizam khusus untuk wara FELDA yang mana semua peneroka FELDA adalah Bumiputera. Ada 5 langkah khusus untuk kelompok Bumiputera di FELDA seluruh negara yang akan kami laksanakan untuk membantu mereka.

Najib perlu belajar mempunyai rasa malu apabila berakap bohong. Cukuplah dengan penyebaran Berita palsu yang dia lakukan setiap hari. Janganlah cuba membohongi rakyat, kerana Buku Harapan adalah sebuah manifesto yang komprehensif, yang mana setiap janji kami akan memberi faedah positif dalam membangunkan sosioekonomi Bumiputera di Malaysia.

Lebih penting lagi, Najib perlu keluar dari kepompong politik perkauman sempit. Ini adalah pemikiran ketinggalan zaman. Negara kita memerlukan pemimpin yang melihat struktur sosioekonomi masyarakat dengan eraca yang seimbang dan holistik, bukan dikotak-kotakkan mengikut neraca perkauman seperti politik pecah perintah tinggalan penjajah.

Di samping itu, Najib juga berkata “Paling kuat tuan-tuan dan puan-puan, mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Apa yang kaum Bumiputera dapat daripada perbuatan ini?”

Akaun bank Najib

Persoalan sebegini menunjukkan betapa Najib masih tidak faham nilai ketelusan dalam sebuah pentadbiran. Di bawah pentadbiran Najib, tiada siapa tahu jumlah dana yang digunakan untuk membantu Bumiputera berbanding jumlah yang dirompak untuk membeli kapal mewah, harta di luar negara, dan untuk membawa isteri dan keluarga melancong menaiki jet mewah.

Malahan, jumlah RM2.9 billion yang dijanjikan untuk membantu usahawan IKS Bumiputera adalah jumlah yang hanya lebih sedikit sahaja berbanding RM2.6 billion yang Najib terima ke dalam akaun peribadi beliau.

Tanpa ketelusan, kita akan terus tidak tahu sama ada perbelanjaan membantu Bumiputera adalah lebih besar atau lebih kecil daripada perbelanjaan membantu akaun bank Najib sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan mahu agenda memajukan ekonomi Bumiputera dilaksanakan dengan telus agar warga Bumiputera sendiri boleh menilai sejauh mana kami serius dalam menjalankan janji-janji kami.

Maka laporan tahunan yang kami janjikan adalah satu langkah penting untuk membolehkan rakyat sendiri menilai prestasi pentadbibiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Najib juga perlu ingat kepada ucapan Tun Abdul Razak Hussein pada majlis sambutan ulangtahun ke-28 UMNO bahawa “Siapa-siapa yang menyeleweng dari kehendak rakyat akan dihukum oleh rakyat sendiri.

Jikalau sokongan rakyat dipermainkan dan taat setia mereka kita abaikan dan dinilai hanya dengan wang ringgit, ini akan merosakkan parti.”

Sedarlah bahawa Almarhum Tun Abdul Razak sendiri sudah mengingatkan kita bahawa sokongan bukan hanya dengan wang ringgit sahaja.

Datuk Dr Rais Hussin merupakan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.