Followers

Friday, July 15, 2011

Khalid Samad Mahu Hishammuddin Dedah Kos Operasi Bersih


Ishamudin berani dedah berapa jumlah operasi Bersih?

SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mendedahkan perbelanjaan yang dikeluarkan sepanjang operasi membanteras perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu di sekitar ibu negara.

Khalid berkata, beliau difahamkan perbelanjaan tersebut yang meliputi kerahan anggota polis dari Sabah dan Sarawak, logistik dan makanan melebihi jutaan ringgit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas terkena kanister gas pemedih mata semasa menyertai perhimpunan yang disifatkannya perhimpunan aman.

"Tetapi saya kena mengambil giliran untuk memfailkan saman tersebut kerana ramai lagi yang dah kena tangkap sebelum hari perhimpunan itu," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau juga menambah, tindakan undang-undang perlu diambil untuk dijadikan sebagai peringatan kepada kerajaan bahawa mereka juga perlu mematuhi undang-undang negara yang menjamin kebebasan individu untuk bersuara di bawah Perlembagaan Persekutan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman berkata, pihaknya akan mencuba untuk mendapatkan pengesahan berhubung berita seorang penuntut dari negeri ini yang dikenali sebagai Mohd Firdaus yang dikatakan dibuang daripada sebuah universiti di Mesir kerana didakwa menyokong Bersih.

"Kami mendapat maklumat bahawa Mohd Firdaus sepatutnya menduduki peperiksaan akhir pada 25 Julai ini telah dibuang oleh universiti atas arahan daripada pihak kedutaan.

"Saya akan membawa perkara ini agar pihak kedutaan dapat memberi penjelasan mengenai berita tersebut," katanya dan menambah, tabung bagi membantu mangsa-mangsa Bersih termasuk kepada pelajar di luar negara akan diwujudkan.

Perhimpunan Bersih diadakan pada Sabtu lalu dan sejak Jumaat, pihak polis mengawal semua laluan masuk ke ibu kota, namun perhimpunan tersebut tetap berjaya diadakan.

Seramai 1,041 individu termasuk Penganjur Bersih Datuk S. Ambiga, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Mat Sabu ditahan kerana ingkar arahan polis supaya bersurai daripada perhimpunan tersebut.

sumber...Mstar