20 Ogos 2012
PELARIAN Rohingya Islam yang berada di Malaysia masih menaruh harapan agar episod penindasan terhadap komuniti itu yang sudah berlangsung sejak sekian lama segera berakhir. Harapan mereka dapat kembali bersatu dengan keluarga masing-masing di Myanmar.
Walaupun keganasan etnik yang berlaku sejak awal Jun lalu menyebabkan lebih 80 terbunuh manakala lebih 80,000 hilang tempat tinggal, beberapa anggota komuniti Rohingya yang ditemui di Kuala Lumpur masih berharap agar konflik itu segera berakhir.
Presiden Myanmar mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya 27 anggota untuk menyiasat keganasan etnik di wilayah Barat negara itu.
Dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Mohd Alam Shamsudin, 47, yang berasal dari daerah Mongdu di negeri Rakhien (Arakan) berkata, walaupun hak kewarganegaraan etniknya dinafikan, namun ia adalah tanah kelahiran mereka.
"Mana mungkin saya lupakan tanah air saya, tanah kelahiran saya dan kaum keluarga yang terpaksa saya tinggalkan demi keselamatan.
"Saya memutuskan untuk meninggalkan kampung halaman pada tahun 1989 dan menjadi pelarian ketika berusia 24 tahun kerana tidak tahan menanggung penderitaan akibat ditindas.
"Orang Rakhien ketika itu memang memandang orang Islam Rohingya dengan penuh kebencian dan setiap apa yang dilakukan oleh kami adalah salah di mata mereka, sebaliknya apa yang mereka buat adalah betul belaka," katanya.
Ujar Mohd Alam, orang Rohingya bukan sahaja sukar mendapatkan status warganegara, malah mereka juga terpaksa menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan termasuk dalam isu perkahwinan serta anak.
Menyingkap bibit awal ketika berada di negara ini, Mohd Alam mengakui pernah ditangkap pihak polis kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah pada 1992.
"Saya gagal menunjukkan pasport seperti yang diminta pihak berkuasa kerana apa yang saya ada hanyalah surat daripada Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR).
"Saya kemudiannya dihantar ke Penjara Kajang selama dua bulan sebelum dihantar ke Penjara Pudu selama lebih kurang tiga hari dan dihantar ke Hadyai, Thailand.
"Dari sana, saya berusaha masuk kembali masuk ke negara ini kerana di sana pelarian-pelarian ini dilayan dengan teruk sekali," kata bekas pelajar sekolah tinggi ini.
Anak saudaranya, Mohd Alam yang turut berada di negara ini, Abd Rashid Azizulhuk, 37, berkata, walaupun pernah melalui beberapa episod sedih sepanjang menjadi pelarian, namun hatinya tetap bersemangat untuk meneruskan kehidupannya.
"Dari kampung, saya berjalan kaki ke Thailand yang memakan masa berhari-hari dan bekerja di kilang pengimpal selama sembilan bulan," katanya. Duit yang dikumpul itulah dia gunakan untuk datang ke Malaysia pada 1993 dengan menaiki bas. Tambang ketika itu RM25.
"Pada awal ketibaan saya di sini, saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup termasuklah terpaksa menahan perut kerana tidak ada duit untuk makan selama beberapa hari, tidak dibayar upah selepas selesai membuat pekerjaan dan kesukaran berkomunikasi kerana sukar memahami bahasa Melayu.
"Saya juga pernah ditahan selama tujuh bulan dan 27 hari di kem tahanan pelarian di Sepang.
"Kini hidup saya lebih teratur kerana mempunyai kerja yang tetap dan di sini saya bekerja di sebuah kilang besi," katanya ketika ditemui di rumah yang di sewa bersama kawan-kawan Rohingya di Kampung Cheras Baru, baru-baru ini.
Selain Mohd Alam dan Abd Rashid, turut tinggal serumah ialah Mohd Nesar Kamal Hussain, 40. Dia mengakui sering merindui kampung halamannya hanya mampu mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di Arakan melalui televisyen ataupun akhbar.
Dia turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan di negara itu terutamanya sepanjang bulan Ramadan lalu.
"Saya juga ada menelefon keluarga di kampung. Saya juga tidak boleh bayangkan kesukaran umat Islam di sana kerana walaupun mereka ada wang, belum tentu mereka boleh membeli apa-apa," katanya.
Selain Mohd Nesar, Noor Mohammed, 46, yang berasal dari Sittwe, berhijrah ke Malaysia pada 1966 pada usia 28 tahun. Dia tidak dapat kembali ke Arakan.
"Pada tahun 1995, saya baru habis belajar dalam jurusan Tafsir, Fekah dan Hadis dari Madrasah Al-Jamiah Islamiah di Cittagong, Bangladesh.
"Ketika cuba masuk kembali Myanmar, saya telah dihalang oleh tentera dan dituduh sebagai ektremis Islam hanya kerana penampilan pakaian saya yang berjubah, berkopiah serta menyimpan janggut," katanya.
Atas nasihat guru-gurunya, Noor kemudiannya datang ke Malaysia kerana mereka berpendapat adalah lebih selamat datang ke sini kerana sebuah negara Islam.
"Saya agak bernasib baik kerana mempunyai pasport kerana sudah lama tinggal di Bangladesh dan berjaya mendapat status Penduduk Tetap.
"Disebabkan saya mempunyai sijil agama dan kebetulan sebuah masjid di Sentul memerlukan imam, saya kemudiannya ditawarkan untuk bekerja di situ," katanya yang bertindak sebagai imam hingga sekarang.
Bapa kepada dua orang cahayamata lelaki ini berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, lebih 200 orang Rohingya yang datang dari sekitar Kuala Lumpur termasuk Ampang, Sentul dan Selayang untuk solat di masjid itu.
Katanya, peluang inilah yang digunakan oleh sesama mereka untuk bertanya khabar sambil mengeratkan hubungan.
Mohamad Talib Mohd Muslim, 39, yang juga sepupu Noor, merupakan rakan sekuliah di madrasah yang sama ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Sentul Utara berkata, jika diberi pilihan untuk memilih negara ketiga, dia tetap mahu tinggal di Malaysia kerana negara ini sangati aman dan damai.
Mohamad Talib yang sudah berkahwin dengan seorang wanita Indonesia tiga tahun lalu itu tiba di Malaysia 10 tahun lalu selepas tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi di Myanmar.
"Saya bersama 100 orang yang lain datang ke sini dengan menaiki bot dari Myanmar dan tiba di Thailand. Dari sana saya dihantar ke Klang.
"Pada peringkat awal, saya terpaksa bertukar-tukar kerja kerana berhadapan dengan masalah komunikasi sehinggalah sekarang saya sudah bekerja sebagai penghantar ayam di Pasar Chow Kit.
"Walaupun dengan gaji RM45 sehari dan waktu bekerja dari 3 pagi hingga 8 pagi, saya gembira dan bahagia di sini," kata pemegang kad pelarian UNHCR ini.
Penafian hak warganegara kumpulan ini bermula apabila Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara itu pada kurun ke-19 ketika pemerintahan British.
Rata-rata setiap anggota etnik Rohingya yang berada di Malaysia meletakkan harapan yang tinggi agar segala kerintangan yang dilalui akan berakhir dalam waktu terdekat.
Bila? Itu yang menjadi tanda tanya!