Noni dan Fauzi serta Lisda sudah lama menjalainkan hubungan profesional sebelum Lisda memutuskan untuk bertudung lagi.
Isu Curangi Isteri Buat Fauzi Nawawi Rasa Malu
PETALING JAYA: Pelakon Fauzi Nawawi berasa malu apabila
timbul isu kononnya dia mempunyai skandal dengan pelakon yang juga bekas
peserta Akademi Fantasia 5 (AF5) iaitu Noni.
Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 40, berkata, dia
terkejut kerana masih ada isu-isu skandal dikaitkan dengannya
termasuklah berlaku curang dengan isteri, Lisdawati.
"Sudah-sudahlah nak kaitkan saya dengan wanita lain. Pada usia
mencecah 40 tahun, saya rasa malu pula apabila digosipkan mempunyai
skandal.
"Rasa macam tak logik saya dikaitkan dengan Noni kerana saya hanya pernah bekerjasama menerusi drama Aiman Tempe, Jentera Jenteng Pilihan Raya dan Kiambang sahaja dengannya.
"Dia juga turut terlibat menjayakan promosi produk Aqua Terapi yang
diusahakan oleh syarikat saya dan isteri iaitu Perfect Illusion
Corporation Sdn Bhd," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Sebuah akhbar pada Khamis melaporkan Noni atau nama sebenarnya Nonny
Nadirah Zainuddin mempunyai skandal dengan Fauzi selepas mereka
berkenalan rapat.
Bagaimanapun Noni menjelaskan hubungan mereka hanyalah atas dasar
kerja selain menjadi anak didik kepada pelakon itu yang banyak
membimbingnya mengenai dunia seni hiburan tempatan.
Sementara itu, Fauzi berkata, dia berasa pelik daripada mana wartawan
yang mengeluarkan berita tersebut mendapat sumber berkenaan dan dia
tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya kontroversi
tersebut menjejaskan karier dan perniagaannya.
"Saya nak ingatkan, kalau nak buat cerita seperti ini selidik betul-betul. Jangan sampai saya ambil tindakan pula nanti.
"Mungkin isteri saya sudah faham dengan isu seperti ini dan dia tidak
hairan pun dengan perkara tersebut. Lebih-lebih lagi Lisda sering
bersama saya dan Noni apabila membuat promosi produk.
"Tetapi apa pula kata teman lelaki Noni apabila isu ini menjadi
serius? Saya harap gosip saya berskandal dengan wanita lain tidak lagi
diberitakan. Cukup-cukuplah. Anak-anak saya pun dah besar, rasa kurang
manis apabila berita ini keluar. Apatah lagi saya dan Lisda merancang
untuk menambah anak pada tahun hadapan," tegas Fauzi.
Dalam perkembangan lain, Fauzi kini sedang menjalani penggambaran drama Dialah Suamiku bersama-sama dengan nabila Huda dan Dazrin Kamaruddin terbitan Metrowealth International Group (MIG), siaran Astro Prima.
sumber...