Followers

Wednesday, November 20, 2013

Pierre Andre Mengaku Guna Populariti Ustaz Azhar Idrus



Ustaz Azhar Idrus (tengah) bersama kumpulan Shiro dalam filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang.

 PETALING JAYA: Pengarah filem Pierre Andre mengaku menggunakan populariti pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus dalam karya terbaharunya, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang! semata-mata untuk meraih tumpuan penonton.

Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 28, berkata, dia menyedari populariti Ustaz Azhar yang disukai orang ramai membolehkan misinya untuk berdakwah dalam filem berkenaan terlaksana walaupun pendakwah itu hanya muncul untuk tiga adegan sahaja.

"Apabila ingin menghasilkan filem dakwah, saya terfikir, bagaimana nak jadikan filem itu tidak bosan dan saya rasa elemen komedi perlu diterapkan. Memandangkan Ustaz Azhar menjadi idola ramai, saya rasa hanya dia sahaja yang sesuai untuk filem ini.

"Rasanya tidak salah saya gunakan populariti Ustaz Azhar untuk tujuan baik," katanya pada majlis pratonton filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang! di Cathay e@Curve di sini pada malam Isnin.

Tambah Pierre, Ustaz Azhar mengambil masa yang lama iaitu selama dua bulan untuk memutuskan sama ada dia ingin terlibat dalam filem tersebut ataupun tidak.
Pierre Andre

Malah pelbagai persoalan yang ditanya kerana dia risau jika pembabitannya dalam filem tersebut boleh menjejaskan imejnya sebagai pendakwah.

"Soalan pertama yang Ustaz Azhar tanya ialah, ada tak perempuan terbabit dalam filem ini. Saya faham mengapa dia mengambil masa lama untuk membuat keputusan kerana enggan melanggar hukum Allah.

"Malah dia juga memberi syarat, sekiranya dia bersetuju untuk terbabit dalam filem tersebut, karya yang dihasilkan itu tidak boleh terlalu tegas, sebaliknya perlu memasukkan unsur-unsur komedi agar ia tidak bosan ditonton.

"Saya pun jelaskan konsep filem ini kepada Ustaz Azhar. Entah kenapa, walaupun dia belum membuat keputusan ketika itu, saya sudah pun menjalani penggambaran dan hati saya berkata yakin dia akan berkata 'ya' untuk filem ini. Alhamdulillah, dia akhirnya terima," ujarnya.

Walaupun Ustaz Azhar hanya tampil untuk tiga babak pada adegan akhir, aura yang dimiliki dapat dirasakan sepanjang perjalanan filem tersebut.

Ia mengisahkan seorang pemuda iaitu Dadu (Shahrol Shiro) dan Muiz (Ajak Shiro) yang tidak mempunyai hala tuju hidup dan tiada pegangan agama tetapi bersepakat untuk ke pangkal jalan selepas berlakunya beberapa insiden.

Filem ini turut menyiarkan rakaman ceramah yang pernah dilakukan Ustaz Azhar dan lakonannya pula hanyalah ketika adegan di pantai di mana Dadu dan Muiz menemuinya bagi mendapat pandangan mengenai agama.

sumber...Feride Hikmet Atak