Followers

Thursday, July 9, 2015

Sarawak Report Dakwa RM2 juta Masuk Dalam Akaun Rosmah


Sekarang Rosmah pula didakwa terima RM2 juta dalam akaun peribadi

Blog pembocor rahsia Sarawak Report hari ini mendakwa isteri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.

Menurut Sarawak Report, jumlah itu didakwa didepositkan seorang “pembantu peribadi” Datin Seri Rosmah Mansor bernama Roslan Sohari menerusi 8 transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)” di cawangan Bangunan Getah Asli Kuala Lumpur.

"Sarawak Report mempunyai salinan urus niaga ini dan dimaklumkan Roslan hadir di bank itu dengan wang tunai dalam sebuah beg.

"Menurut rekod, deposit-deposit ke dalam akaun itu dibuat 'pembantu peribadi' pemilik akaun," dipetik laporan Sarawak Report.

Dalam laporannya, Sarawak Report mendakwa 8 deposit itu setiap satunya berjumlah di antara RM150,000 sehingga RM300,000.

Bagaimanapun, ia mendakwa deposit dalam jumlah yang besar sebegitu biasanya perlu dilaporkan ke Bank Negara Malaysia tetapi tidak dilaporkan kerana salah seorang ahli lembaga pengarah bank itu merupakan pengerusi firma sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Sarawak Report boleh mengesahkan akaun bank ini diletakkan di bawah siasatan, kerana ia berkait dengan kemungkinan wang yang digelapkan berkait dengan 1MDB," laporan itu dipetik.

Dakwaan ini timbul tepat seminggu selepas The Wall Street Journal mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima wang RM2.3 bilion bersumber asal daripada dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun peribadinya.

Terkini, peguam negara baru saja mengesahkan 2 akaun Najib yang disebut dalam dakwaan itu sudah ditutup sebelum dakwaan itu dibuat pada 2 Julai lalu.

Kenyataan ini mengesahkan laporan WSJ yang menyebut perkara sama tentang status akaun Najib.

sumber...TMI