Followers

Monday, July 6, 2015

Nora Danish Mahu Berhijab Tanpa Paksaan


Pelakon Nora Danish ada menyimpan hasrat untuk berhijab seperti dilakukan beberapa artis popular namun dia belum memutuskan perkara itu dalam waktu terdekat.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, biarlah keputusan berhijab itu dibuat dengan ikhlas tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.

"Saya memang ada berhasrat untuk berhijab kerana sebagai muslim ia sesuatu yang wajib untuk dilakukan tetapi biarlah ia betul-betul ikhlas dari hati dan bukan kerana permintaan pihak lain atau peminat.

"Berhijab ini kalau boleh kita ingin pakai buat selama-lamanya, jadi saya pun dalam proses untuk sucikan hati dan bersedia ke arah itu satu hari nanti," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di majlis berbuka puasa Safi Ramadan Al-Mubarak, di Hotel Royale Chulan, di sini, malam Khamis.
Hanis Zalikha dan Nora Danish duta produk kosmetik jenama Safi.

Nora selaku duta Safi Rania Gold yang tampil berhijab pada majlis tersebut berkata, ia adalah bagi menghormati majlis berbuka puasa dan solat terawih yang dilakukan bersama tetamu.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah pelakon Hanis Zalikha yang merupakan duta Safi Balqis.

Sementara itu, tambah Nora, kekasihnya Nedim Nazri tidak pernah memaksa atau melarang jika dia mengambil keputusan untuk berhijab.

"Nedim tidak pernah menyuruh dan dia juga tidak ada masalah kalau saya ingin bertudung. Biasanya kalau saya bertudung dia akan puji cantik dan muat naik di Instagram miliknya," ujar Nora.

Dalam perkembangan lain, Nora berkata, sepanjang Ramadan ini, dia meluangkan sepenuh masa terhadap anaknya Putra Rayqal Ramli, 6, dan kafe Kopi & Xoxo miliknya di  Bangsar.

Dia juga dapat melatih anak lelakinya itu untuk berpuasa di bulan Ramadan ini.

"Alhamdulillah, bulan Ramadan ini saya berehat dan habiskan masa di kafe saya setiap hari. Ramadan kali ini juga saya dapat melatih anak saya untuk belajar berpuasa," katanya.
sumber... KEMALIA OTHMAN