Followers

Showing posts with label bertudung. Show all posts
Showing posts with label bertudung. Show all posts

Monday, July 6, 2015

Nora Danish Mahu Berhijab Tanpa Paksaan


Pelakon Nora Danish ada menyimpan hasrat untuk berhijab seperti dilakukan beberapa artis popular namun dia belum memutuskan perkara itu dalam waktu terdekat.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, biarlah keputusan berhijab itu dibuat dengan ikhlas tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.

"Saya memang ada berhasrat untuk berhijab kerana sebagai muslim ia sesuatu yang wajib untuk dilakukan tetapi biarlah ia betul-betul ikhlas dari hati dan bukan kerana permintaan pihak lain atau peminat.

"Berhijab ini kalau boleh kita ingin pakai buat selama-lamanya, jadi saya pun dalam proses untuk sucikan hati dan bersedia ke arah itu satu hari nanti," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di majlis berbuka puasa Safi Ramadan Al-Mubarak, di Hotel Royale Chulan, di sini, malam Khamis.
Hanis Zalikha dan Nora Danish duta produk kosmetik jenama Safi.

Nora selaku duta Safi Rania Gold yang tampil berhijab pada majlis tersebut berkata, ia adalah bagi menghormati majlis berbuka puasa dan solat terawih yang dilakukan bersama tetamu.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah pelakon Hanis Zalikha yang merupakan duta Safi Balqis.

Sementara itu, tambah Nora, kekasihnya Nedim Nazri tidak pernah memaksa atau melarang jika dia mengambil keputusan untuk berhijab.

"Nedim tidak pernah menyuruh dan dia juga tidak ada masalah kalau saya ingin bertudung. Biasanya kalau saya bertudung dia akan puji cantik dan muat naik di Instagram miliknya," ujar Nora.

Dalam perkembangan lain, Nora berkata, sepanjang Ramadan ini, dia meluangkan sepenuh masa terhadap anaknya Putra Rayqal Ramli, 6, dan kafe Kopi & Xoxo miliknya di  Bangsar.

Dia juga dapat melatih anak lelakinya itu untuk berpuasa di bulan Ramadan ini.

"Alhamdulillah, bulan Ramadan ini saya berehat dan habiskan masa di kafe saya setiap hari. Ramadan kali ini juga saya dapat melatih anak saya untuk belajar berpuasa," katanya.
sumber... KEMALIA OTHMAN

Sunday, January 11, 2015

Kalut Gadis Bertudung Peluk Artis K-pop Pulak !

 
Aksi gadis bertudung yang berpelukan dengan artis lelaki K-pop Korea di atas pentas menimbulkan cemuhan masyarakat.

Malah, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut tampil menyindir perbuatan itu, walaupun tanpa menyebut secara langsung acara dirujuk itu.

“Banyak dikatakan tentang K-pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelakii tinggi, gelap dan 'hensem' (tampan).

“Bukan putih pucat, kurus dan cantik. Itu bukan lelaki sejati,” tulisnya di Twitter.

Beliau merujuk sebuah sebuah yang disebar meluas di Internet memaparkan aksi mesra dalam pertemuan kumpulan B1A4 dengan peminat di pusat hiburan KL Live di ibu negara malam tadi.

Video 3.22 minit itu antaranya menunjukkan adegan gadis bertudung naik ke pentas sebelum berpelukan dan ada yang dicium oleh artis itu, sambil disambut sorakan penonton.

Walaupun kelihatan ada yang malu-malu, berdasarkan video itu, mereka kelihatan rela dirangkul penyanyi yang tampil dengan sut kasual dan bertali leher gelap itu.

B1A4 merupakan sebuah kumpulan muzik dari Korea Selatan bawah naungan syarikat WM Entertainment.

Kumpulan lima anggota itu melibatkan Jung Jin Young, Shin Dong Woo, Lee Jung Hwan, Cha Seon Woo dan Gong Chan Sik.

Penampilan sulung B1A4 dibuat pada tahun 2011 dengan single berjudul "OK"

Perjumpaan bersama peminatnya malam tadi meletakkan harga tiket daripada RM199 hingga RM799.

Sementara itu, Twitter turut dibanjiri dengan hashtag #menentangkejahatankpop.

Pengguna maya bagaimanapun tidak keseluruhannya menyalahkan artis K-pop itu kerana mereka mungkin tidak memahami ajaran Islam yang sebagai agama rasmi dan majoriti penduduk negara ini.

Bagaimanapun lebih banyak kecaman dihamburkan kepada gadis-gadis terlibat.
sumber...mkini

Thursday, November 13, 2014

VIDEO Wanita Wajib Tengok, Alasan Kenapa Perlu Berhijab


[Wanita Wajib Menonton] Ini Alasan Mengapa Kamu Lebih Baik Berhijab 

Tuesday, October 7, 2014

Gambar Emma Maembong Berpurdah


Pelakon Emma Maembong berkata dia memakai purdah pada masa-masa tertentu mengikut keselesaannya pada ketika itu.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 22, bagaimanapun nafi berimej seperti itu di khalayak kerana mahu mengelak daripada diserbu peminat-peminatnya.

"Memang ada masanya saya berpurdah. Saja seronok nak cuba dan ia terpulang pada mood ketika itu.

"Saya tahu ada yang kata saya berpurdah kerana mahu elak daripada dikenali peminat. Taklah, mana ada. Memandangkan saya baru sahaja bertudung, jadi saya seronok mencuba pelbagai fesyen tudung untuk melihat kesesuaian," katanya kepada mStar Online.

Emma berkata demikian bagi mengulas dia kerap kelihatan berpurdah di tempat awam baru-baru ini.

Selain itu dia turut memuat naik beberapa keping gambar berpurdah ketika berada di kawasan umum di Instagram.

 Emma Maembong mengakui berpurdah pada masa-masa tertentu.

Sementara itu, tambah Emma, walaupun dia berpurdah, ada juga beberapa peminat masih mengenalinya dan ingin bergambar bersama.


"Terkejut juga peminat datang menyapa 'Emma Maembong kan? Nak ambil gambar boleh?'. Kata mereka, saya boleh dikenali menerusi mata sahaja walaupun berpurdah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Emma baru sahaja muncul menerusi drama Astana Cinta Aleesa menerusi saluan TV9 setiap Selasa dan Rabu pukul 8.30 malam.

Selain itu, Emma turut sibuk menjalani beberapa penggambaran drama lain.

Kata kekasih pelawak Zizan Razak itu, dia bersyukur, walaupun sudah bertudung sejak dua bulan lalu, dia masih lagi menerima tawaran lakonan seperti biasa.

"Selama ini saya fikir, jika bertudung, rezeki lakonan mungkin akan terbatas, tetapi Alhamdullilah, saya masih lagi mendapat pelbagai tawaran lakonan. Semoga rezeki lakonan ini berkekalan InsyaAllah.

"Dalam pada itu, perniagaan tudung saya iaitu Hijab by Emma Maembong turut mendapat sambutan. Ada juga merancang untuk perluaskan lagi perniagaan, tengok dulu macam mana," tuturnya.

oleh:  s

Tuesday, September 30, 2014

HOT: Gadis Berpurdah Masuk DAP



Sudah tiba masanya anak muda berjuang dalam DAP , meruntuhkan dogma dan rasisma yang lama ditanam dalam benak rakyat Malaysia
 

Melati RahimSEREMBAN: Selepas peguam Melayu muda Dyana Sofya Mohd Daud dan anak gadis Melayu bertudung, Syefura Othman (Rara) menyertai parti DAP, kini Jamila Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Melati Rahim, 22, merupakan anak gadis Melayu terbaru menyertai parti yang terkenal dengan jolokan parti ‘chauvinist’ Cina tersebut.

Melati merupakan seorang graduan dari UNISEL dalam jurusan Diploma TESL.

Apabila ditanya kenapa Melati memilih DAP walaupun beliau berimej Islamik, Melati berkata wawasan dan asas DAP yang membuatkan beliau tertarik untuk bersama parti itu.

“Jika diteliti secara kasar, perlembagaan DAP itu sendiri, humanisme atau dasar kemanusiaan diletakkan sebagai tunjang dan teras utama.

“Dalam Islam sendiri, kemanusiaan adalah asas dan keperluan sebagai seorang insan.

“Sejujurnya, DAP lebih dekat dengan keadilan seperti yang digagaskan oleh Islam. Islam merupakan prinsip utama saya dalam meneruskan kehidupan sebagai hamba Tuhan.

“Namun dalam menjalani kehidupan dan berhadapan dengan manusia pelbagai kaum, saya percaya dasar kemanusiaan sangat penting.

“Saya ingin tegaskan disini, Islam adalah pegangan saya dan saya bersaksi tiada Tuhan yang patut di sembah melainkan Allah, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh Allah.

“Dalam hal ini saya fikir kita harus buka dan lihat dalam kerangka lebih besar tentang kepelbagaian penganut agama di Malaysia,” katanya.

DAP menentang ‘kapitalisme parti’

Melati berkata beliau yakin tiada penganut dalam mana-mana agama merasakan agama mereka salah dan jika semua agama mahu pertahankan hak mereka tanpa bertolak-ansur dan bertoleransi, maka hancurlah dunia angkara peperangan kerana prejudis dan saling benci-membenci.

“Misalnya, kita lihat di Gaza pihak Yahudi secara terbuka mengaku ingin merobohkan Masjid Aqsa kerana ingin mendirikan semula Kuil Sulaiman yang pernah di bina dibawah Masjid Aqsa.

“Andai perkara ini dilihat pada dasar agama, pihak Yahudi sebenarnya sedang memperjuangkan hak agama mereka walau pada dasar kemanusiaan sebenarnya tanah tersebut milik Palestin.
“Jadi, soal moraliti dan kemanusian harus kita jadikan indikator dalam menilai perkara ini.

“Sesungguhnya Allah meletakkan darjat manusia itu tinggi. Seorang pemikir Barat zaman Ranaissance , Pico Della Mirandola pernah menyebut “nihil spectari homine admirabilius”, yang membawa maksud tiada yang lebih indah dari manusia. Maka, mari kita baca dan fikir-fikirkan.

“DAP menentang ‘kapitalisme parti’, mereka mempraktikkan perkara ini dengan meminta setiap ahli parlimen dibawah DAP mewakafkan di antara 20 hingga 30% daripada gaji mereka kepada parti.
“Senaraikan kepada saya siapa ahli parlimen di dalam DAP yang memakai kereta mewah selepas menjadi wakil rakyat?

DAP bukanlah parti Cina yang anti Islam

Melati turut mengulas bahawa DAP juga gigih menjalankan khidmat dalam perkara berkaitan perlaksanaan perkhidmatan kesihatan dan dasar–dasar keselamatan sosial.

Selain itu, pelindungan terhadap warga tua, orang kurang upaya dan miskin tegar juga menjadi isu utama dalam DAP. Ia dipraktikkan di Pulau Pinang dengan pelbagai jenis bantuan.

“Di negeri naungan DAP itu juga mempunyai briged yang ditugaskan menjaga keselamatan awam di kawasan masing-masing dengan kelengkapan penuh yang di taja sepenuhnya oleh kerajaan Pulau Pinang.

“Hadirnya wakil rakyat dari kaum Melayu dan India seperti Zairil Khir dan Ram Karpal menguatkan lagi bukti bahawa DAP bukanlah parti Cina yang anti Islam.

“Saya yakin dalam hal ini kita harus berlapang dada dan cuba melihat dengan mata hati.

“Rumi pernah berkata aku beriman dengan agama Cinta, dan Islam adalah agama yang penuh dengan nilai cinta namun dirosakkan oleh manusia yang menjadikan agama sebagai senjata untuk menindas manusia yang lemah.

“Politik Islam meletakkan keadilan sosial dan kemanusiaan sebagai teras dan saya melihat ciri-ciri ini wujud dalam DAP.

“Saya yakin sudah tiba masanya anak muda bersama-sama berjuang dalam DAP dan meruntuhkan segala dogma dan sifat rasisma yang sekian lama ditanam dalam benak rakyat Malaysia,” kata Melati.

sumber...Fmt

Wednesday, July 23, 2014

Neelofa Buat Pendedahan Mengenai Mufti Ismail Menk



NEELOFA dan adiknya, Mohamed Aqief bersama Ustaz Ismail Menk.


TIGA bulan lalu, pelakon dan pengacara jelita bernama Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa, 25, menerima hadiah berupa cakera padat (CD) ceramah Mufti Ismail Menk daripada pelakon, Natasha Hudson.

Segudang emosi meribut dalam jiwa Neelofa saat mendengar ceramah daripada penceramah terkenal dari Zimbabwe itu.

Saat itu pengacara berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mula membuka pintu hatinya dengan seluas-luasnya untuk berubah menjadi Muslimah sejati.

Neelofa kemudiannya mengambil keputusan berhijab sepenuhnya bermula 1 Julai lalu.

"Boleh dikatakan Mufti Ismail Menk antara individu yang mengubah saya. Ceramah beliau memberi kesan yang mendalam pemikiran saya. Selama tiga bulan saya memasang CD ceramah beliau tanpa henti sehingga mengubah hati saya untuk berhijab penuh.

"Bagaimanapun, niat untuk berubah menjadi individu lebih baik itu sudah lama. Sejak akhir tahun lepas lagi. Saya banyak bertanya kepada kawan-kawan yang bukan dalam industri hiburan tentang ceramah agama beliau

Sebaik mendapat tahu lokasi ia diadakan, saya dan adik-beradik serta beberapa teman terus ke sana untuk mendengar ceramahnya," luah Neelofa secara mendalam mengenai penghijrahannya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjurannya sendiri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya baru-baru ini.

Menjengah fasa awal Neelofa berhijab, tanpa berselindung, dia mengakui pernah berasa ragu dan tidak selesa. Namun, perasaan itu segera dibuang jauh.

Bimbang

Kebimbangan juga bersarang dalam diri Neelofa sebelum ini, andai perubahan dirinya itu tidak akan diterima oleh penggiat industri hiburan seperti penerbit rancangan Nona atau MeleTOP yang dihoskan olehnya.

"Alhamdulillah, pasukan MeleTOP dan Nona sangat menyokong dan menerima perubahan saya ini. Mereka masih mengekalkan konsep rancangan tersebut.
"Cuma, cara penyampaian saya mungkin sedikit berbeza dan perlu bersesuaian dengan status saya yang kini sudah bertudung.

"Saya juga akui memang masa mula-mula pakai tudung dulu ada perasaan tidak selesa. Lebih-lebih lagi, ketika makan.

"Rasa macam tudung makin ke depan setiap kali mengunyah. Namun, sekarang semakin selesa," ujarnya yang menggayakan hijabnya sendiri tanpa merujuk kepada mana-mana tutorial cara-cara memakai hijab yang terdapat di laman YouTube.

Keinginan bertudung direalisasikan Neelofa atas niat yang tidak berbelah bahagi, membuatkan Ramadan juara Dewi Remaja 2010 itu kali ini juga cukup bermakna berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Tanpa berselindung, Neelofa mengakui, dia berasa kosong melalui musim Ramadan sebelum ini. Namun, untuk tahun ini, Ramadan dihayati dengan penuh rasa syukur dan istimewa.

"Tahun lepas, saya tidak begitu menitikberatkan tarawih, malah tidak menghayati keistimewaan solat sunat itu.

"Sejak saya belajar dan tahu mengenai pengertian Ramadan itu, saya mula menitikberatkan solat sunat tarawih dan juga puasa," ujarnya yang mula memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat atas dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T.

Filem sebelum bertudung

Tinggal di Damansara tetapi sanggup ke Putrajaya semata-mata untuk mendengar taskirah Mufti Ismail Menk, Neelofa mendedahkan, dia begitu mengagumi penceramah tersebut dan mencari peluang untuk hadir setiap hari ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mendengar ceramah beliau.

Peluang yang ada itu juga digunakan Neelofa apabila dia turut menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid tersebut untuk mengajak peminat-peminat dan orang ramai hadir mendengar ceramah penceramah hebat itu.

"Sebenarnya, selepas menang Pengacara TV Paling Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) Mei lalu, saya ada berniat untuk anjurkan majlis makan dengan peminat sempena kemenangan tersebut.

"Jadi, saya anjurkan serentak majlis makan, majlis buka puasa dan majlis doa selamat untuk Gaza dan juga musibah yang menimpa MH17.

"Di samping itu, mereka juga dapat mendengar ceramah daripada Mufti Ismail Menk," ulasnya yang begitu mesra melayan lebih 500 peminat yang hadir pada hari itu.

Tiada kata yang dapat diungkapkan pelakon filem Lemak Kampung Santan itu apabila dia turut berpeluang bertemu dan berbual dengan penceramah idolanya tersebut sejurus selepas tazkirah solat tarawih.

Bakal muncul menerusi dua buah filem - Pilot Cafe di samping Fahrin Ahmad dan Dollah Superstar bergandingan dengan Awie, ujar Neelofa, filem-filem tersebut menonjolkan sisinya yang masih belum bertudung dan berpakaian seksi.

Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi itu melibatkan banyak pihak.

"Perkara yang sudah lepas, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Kedua-dua filem yang menampilkan saya tidak bertudung dan berpakaian seksi itu semuanya sudah selesai penggambaran.

Filem itu juga melibatkan banyak pihak. Saya cuma mengharapkan peminat faham," luah pemilik rangkaian perniagaan seperti Bellavita (suplemen kesihatan), Neelofar (jubah), Bokittahijab dan Lofalens (kanta lekap).

sumber...

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tuesday, July 15, 2014

Akhirnya Ziana Zain Berhijab Sepenuhnya Di Hari Nuzul Al Quran



 Ziana berhijab penuh pada hari Nuzul al Quran

KUALA LUMPUR - Penyanyi dan pelakon popular, Siti Roziana Zain atau Ziana Zain, 46, memanjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana dibukakan hati untuk berhijab sepenuhnya pada hari Nuzul al-Quran, hari ini.

Menurut Ziana, ia merupakan hadiah tidak ternilai yang dikurniakan Allah di hari Nuzul al-Quran dan bulan Ramadan yang baik.

“Saya sangat bersyukur dan berasa ini hadiah paling bermakna (dibukakan hati untuk berhijab) pada tahun ini,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.

Jelas penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Madah Berhelah itu, hijrah tersebut juga adalah berkat doa suami, ibu bapa, anak-anak dan peminat-peminat.

sumber...kosmo

Tuesday, July 1, 2014

Neelofa Ambil Keputusan Berhijab




Kehadiran Ramadan berjaya membuka hati pelakon Neelofa untuk berubah selepas dia memilih untuk memakai tudung.

Pengurus kepada pelakon itu, Mohd Amer Shafiq Khalip atau lebih dikenali sebagai Shawn Amer berkata, Neelofa, 25,  membuat keputusan berkenaan pada Selasa (hari ini) dan langkah itu adalah satu perubahan positif buat dirinya.

"Benar, Neelofa sudahpun berhijab dan dia telah mengesahkan perkara tersebut kepada saya pada hari ini (Selasa).

"Dia juga melihat perubahan yang dilakukannya adalah satu perkara yang positif buat dirinya," katanya kepada mStar Online.

Shawn diminta mengulas mengenai kenyataan adik pelakon itu, Ameera, yang memuat naik foto Neelofa bertudung di Instagram miliknya dengan kapsyen rasa bersyukur dengan perubahan yang dilakukan oleh kakaknya itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.



Foto Neelofa yang sudah bertudung yang dimuat naik oleh adiknya, Ameera.

Neelofa tidak dapat dihubungi memandangkan dia sedang membuat rakaman suara bagi program Meletop yang akan bersiaran secara langsung pada malam Selasa di Astro Ria pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Shawn berkata, sebelum membuat keputusan untuk berhijab, dia sudah mula memakai tudung secara perlahan-lahan sejak tiga bulan lalu.

"Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian saya, Neelofa berubah secara perlahan-lahan dan sejak tiga bulan lalu, dia kerap berhijab. Tidak sangka pula dia melakukan perubahan secepat ini.

"Bukan sahaja lebih positif tetapi wajahnya dilihat sentiasa gembira. Apa-apapun kita mendoakan yang terbaik untuknya," ujarnya

sumber...

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK

Sunday, June 29, 2014

Bakal Husband Felixia Yeap Bukan Ostad ..

  


"Nama dalam mimpi"

“Saya sudah mempunyai nama yang diperoleh melalui mimpi dan akan digunakan selepas saya memeluk Islam,” kata bekas model Felixia Yeap, 28, yang bakal memeluk Islam pada Khamis ini.

Menurutnya, dia akan hanya mengumumkan nama barunya pada majlis memeluk agama Islam nanti.

“Dalam dua tiga minggu kebelakangan ini, saya sedikit runsing memikirkan nama Islam saya.

“Bagaimanapun, pada suatu malam, nama itu muncul dalam mimpi dan saya terkejut boleh mengingatinya selepas bangun daripada tidur,” katanya ketika majlis Santai Ramadan Pertamaku di sini, semalam.

Yeap berkata, pada mulanya dia menyangka nama berkenaan tidak membawa apa-apa maksud.

“Namun apabila saya memeriksa maksud nama berkenaan, ternyata ianya mempunyai maksud yang baik dan indah,” katanya.

Menurutnya lagi, dia mengimpikan menjadi Muslimah yang baik selepas memeluk Islam.

“Saya mahu masyarakat sekeliling mengambil iktibar kehidupan lampau saya.

“Pada masa yang sama, saya mahu mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat dan sudah tentu mahu berkahwin,” katanya yang mengakui sudah mempunyai calon suami yang bukan daripada kalangan ustaz.

Ditanya mengenai pengalaman berpuasa, Yeap berkata, dia pernah cuba berpuasa pada dua tahun lalu iaitu selama sehari, tetapi tidak merasai keindahan.

“Itupun saya diajak oleh kawan saya, namun pada waktu itu, saya ingatkan minum dibenarkan, jadi saya hanya tidak makan saja.

“Pada tahun ini, saya akan berlatih berpuasa bermula hari ini,” katanya yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Najwa Latif sebagai ikon wanita bertudung.

sumber...

Oleh Ikram Ismail


Monday, June 2, 2014

Jom Tengok Kesan Dari Mulut 'Celupar' Raja Azmi




Raja Azmi lebih anggun bertudung

 PETALING JAYA:  Produser kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan keceluparannya mempersoalkan dakwaan wanita tidak bertudung akan masuk neraka antara punca dia terbuka hati untuk berhijab.

Raja Azmi, 55, berkata, selepas membuat kenyataan itu yang disiarkan di TV9  bulan lalu, dia mula terfikir adakah kenyataan yang dibuatnya itu betul atau sebaliknya.

“Semasa saya buat kenyataan itu, saya tiba-tiba terfikir apa yang saya cakap itu betul atau tidak? Dan saya juga membuat sembahyang tahajud tiga hari tiga malam dan akhirnya saya mendapat jawapan serta terbuka hati untuk berhijab,” katanya.

Raja Azmi berkata demikian dalam rancangan hiburan h live! saluran Astro Ria dan Maya HD pada Ahad malam.

Produser itu ditemubual oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi  dalam program yang disiarkan secara langsung bermula pukul 8.30 malam itu. Ulangan rancangan berkenaan disiarkan menerusi saluran Awani pada pukul 10.30 malam.

Sebelum ini  Raja Azmi menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan pendapat orang yang tidak bertudung akan masuk neraka.


Beliau membuat kenyataan berkenaan apabila ditanya  wartawan Galaksi, TV9, adakah dia mahu bertudung selepas kembali mengerjakan umrah pada Februari lalu.

Malah dia juga berkata, orang yang bertudung pula tidak semuanya menjaga adab mereka sebagai muslim sejati.

Dalam pada itu Raja Azmi berkata, dia tidak terkesan dengan segala kritikan orang ramai terhadap kenyataannya sebelum ini tetapi dia bersyukur kerana mendapat ‘teguran’ Allah yang akhirnya membuatkan dia mengambil keputusan  bertudung.

Langkah menukar  imej kata beliau, adalah sebahagian daripada keinginannya untuk terus beribadah dan juga mahu mengenali Islam itu dengan lebih mendalam.

“Insya-Allah, niat saya untuk berhijab sehingga memakai kain kapan,” katanya.

Tambah Raja Azmi, dia akan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah terutamanya menjaga waktu solat lima waktu yang sebelum ini tidak dilaksanakan dengan sempurna.

 Ditanya oleh Aznil bagaimana reaksi keluarganya selepas membuat keputusan itu Raja Azmi berkata, anak-anaknya gembira dengan perubahan berkenaan manakala suaminya Mohd Eddie Ghazali, 45, pula menepuk  bahunya sambil berkata; “I  love you.”

Beliau turut  menambah, keputusan memakai tudung juga memperluaskan rezekinya apabila dia mendapat peluang menghasilkan rekaan tudung yang akan diusahakan bersama rakannya.

Dalam rancangan itu juga Raja Azmi turut memberi nasihat kepada penonton agar mencontohinya untuk berubah kerana perubahan itu akan membuatkan seseorang umat Islam akan mendapat lebih pahala.

“Pakailah hijab kerana bila kita berhijab, kita akan dapat lebih banyak  pahala,” katanya.

sumber...

 Oleh: NIEZAM ABDULLAH Mstar OL

Tuesday, October 29, 2013

Mizz Nina Bertudung Selepas Bergelar Hajah



Wajah terbaharu Mizz Nina yang dimuatkan dalam Intagram suaminya, Noh

 PETALING JAYA: Penyanyi Mizz Nina mengesahkan yang dia kini sudah pun berhijab selepas pulang daripada menunaikan Haji di Mekah pada Jumaat lalu bersama suaminya vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 29.

Pengurus penyanyi wanita itu, Joe Saiful, berkata, Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 33, bagaimanapun memberitahu dia masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.

"Buat masa ini Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu.

"Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.
Dipetik dari Instagram Miz Nina.

Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.

"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak.

"Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," tutur Joe.

Miz Nina juga merupakan anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Malaysia, Tan Sri Azman Hashim.

sumber...

Monday, September 9, 2013

Kuza Pulak Bertudung !




FIGURA ini mengakui dia tidak cemburu melihat wanita lain yang tampil dengan pelbagai fesyen rambut.

KINI ramai artis wanita yang mula menyarung hijab selepas mendapat hidayah. Terbaharu, pelakon drama, Tengku Sariza Tengku Muzani atau Kuza tampil manis dengan hijab ketika ditemui pada majlis Mesra Raya Aidilfitri Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.Kali terakhir, penampilan kakak kepada pelakon Kuna itu menerusi drama seram popular, Waris dia belum mengenakan hijab.Justeru, adakah Kuza bakal bersara dari dunia lakonan?

Ikuti sedutan temu bual Kuza bersama Kosmo!.Kosmo!:

Sejak bila Kuza mengenakan hijab?

KUZA: Sebenarnya sudah lama saya memasang niat untuk berhijab. Alhamdulillah, saya mula berhijab pada bulan Ramadan lalu. Lagipun, umur saya sudah memasuki 40 tahun. Lebih elok saya mendekatkan diri kepada Allah.

Bagaimanakah reaksi rakan-rakan mengenai perubahan Kuza ini?

Saya tidak mahu ada yang beranggapan saya berhijab kerana fesyen dan trend. Niat saya adalah untuk melaksanakan tuntutan Allah. Pada mulanya, saya menyampaikan niat untuk berhijab kepada keluarga. Alhamdulillah, keluarga menyokong niat saya.

Apakah perasaan Kuza selepas mengenakan hijab?

Alhamdulillah, sampai saat ini Allah mempermudahkan urusan dan saya tenang menjalani kehidupan dalam imej baharu ini. Saya sangat selesa selepas memakai tudung.
 
Ada perasan cemburu apabila melihat penampilan wanita yang tidak berhijab?
Syukur, saya tiada rasa cemburu melihat penampilan orang lain dengan pelbagai fesyen rambut.
Adakah selepas berhijab Kuza akan meneruskan karier lakonan?

Ya, saya akan terus berlakon, namun saya meletakkan syarat agar aurat saya sentiasa terpelihara.

Bagaimana pula dengan watak yang akan dipilih Kuza selepas ini?

Saya tidak kisah watak yang ditawarkan, asalkan aurat saya sentiasa terjaga dan watak tersebut juga bersesuaian dengan umur saya.

Ada sebarang tawaran berlakon selepas Kuza mengenakan hijab?

Memang ada tawaran yang datang tetapi saya beritahu mengenai penampilan terbaharu saya ini. Selepas itu, mereka kata akan hubungi kembali.

Adakah Kuza terkilan dengan perkara itu?

Saya tidak terkilan dan tiada masalah jika tidak mendapat tawaran tersebut. Allah yang mengurniaklan rezeki buat saya. Kalau saya berada dalam kesusahan, kepada Dia jugalah tempat untuk saya mengadu.

Friday, April 26, 2013

Memey Pulak Bertudung !!



“Alhamdulillah, penampilan saya yang kini bertudung dibuat seikhlas hati bukan paksaan mana-mana pihak ataupun dipengaruhi Abby untuk menyertai parti politik.
“Saya berhijrah untuk menutup aurat sekarang atas kerelaan dan keikhlasan hati. Pun begitu, saya memang tidak sangka secepat ini diberikan hidayah oleh Allah untuk berubah.
“Tak dinafikan, abang Norman pun pernah minta saya memakai tudung sebagai hadiah sempena hari jadinya pada Januari lalu. Namun ketika itu saya masih belum bersedia.

“Bagaimanapun abang cukup memahami dan dia juga tidak pernah memaksa saya.
Jadi saya sangat bersyukur kerana akhirnya diberi peluang oleh Allah untuk berubah ke arah kebaikan dengan menutup aurat,” kata pelakon, Memey Suhaiza, 24.

sumber...tiewnama

Monday, March 18, 2013

Puteri Sarah Pulak Bertudung (Lu Pikirlah Sendiri)


 Gambar terbaru Puteri Sarah yang diambil di laman Twitter miliknya.

  

 Big Mama bila ler nak bertudung bro... kah kah kah
 Dah bertitle HAJJAH pon.. 
So Luu pikirlah sendirik..


PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah sedang dalam proses menyiapkan diri untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Puteri Sarah, 28, berkata, dia kini dalam proses percubaan memakai tudung dan berazam untuk berimej tersebut dalam tempoh terdekat.

"Tahun lepas saya banyak berlakon watak yang memakai tudung, dari situ hati saya terdetik untuk terus bertudung.

"Buat masa ini ada lagi drama-drama yang saya berlakon tidak memakai tudung, cuma kalau keluar rumah saya kini lebih selesa mengenakan selendang," katanya kepada mStar Online, di sini, Ahad.

Bagaimanapun jelas Puteri Sarah, dia berniat untuk bertudung bukan disebabkan kecewa putus cinta dengan pelakon Ammar Alfian akhir tahun lalu.

Hubungan pasangan yang pernah mencetuskan kontroversi ini berakhir selepas lima tahun bercinta akbiat tiada keserasian.

"Saya rasa sudah sampai masanya, ayah juga banyak kali tegur agar saya bertudung dan sopan, namun bagi saya biarlah niat itu datang dari diri sendiri bukan paksaan.

"Alhamdulillah, ramai yang menyokong dengan tindakan ini, terutamanya ahli keluarga," katanya.

Namun, dia juga kesal apabila segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya ketika dalam tempoh percubaan ini.

"Saya belum sepenuhnya bertudung, mungkin di media sosial saya lebih selesa mengunakan imej bertudung tapi ia masih dalam tempoh saya untuk mencuba atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, dia sering meminta pendapat cara pemakaian tudung daripada pelakon jelita Natasha Hudson (Tasha).

"Saya sering bertanya dengan Tasha tentang gaya pemakaian tudung, dia gembira saya sudah kearah itu, dia beri banyak tip untuk tampil lebih bergaya biarpun bertudung," katanya.

Selain itu juga, pelakon filem Lu Pikir La Sendiri ini juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk berundur daripada dunia lakonan sepenuhnya.

oleh kemalia Othman mStar OL

Sunday, August 12, 2012

Nurul Syuhada TV3 Pulak Bertudung !!


KEHADIRAN Ramadan ternyata membawa seribu makna buat personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain, yang kini sudah bertudung.

Penampilan terbarunya itu dapat dilihat ketika mengacarakan program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI).

Ternyata penghijrahan Nurul Syuhada yang dicungkil bakatnya melalui rancangan Malaysian Top Host ini mendapat sokongan peminat.

Di laman Twitter, peminat memuji dan menyokong imej barunya yang kelihatan lebih manis.

Sebelum ini, penyanyi remaja, Shila Amzah, turut membuat keputusan bertudung pada 15 Ramadan.

sumber...sharian

Friday, August 10, 2012

Sharifah Sofia Dah Bertudung Masuk Disco Lagi ??


Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko Kerana Muncul Berhijab

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pekerja sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab.

Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan untuk berjumpa rakan-rakannya.

“Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya.

“Masa itu saya tahu kenapa orang memandang, sebab saya pakai tudung. Tetapi saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?” katanya kepada mStar Online pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu.
Jelasnya, selepas kejadian itu, dia merujuk semula dengan membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik.

Bagaimanapun tambah Sofia, penghijrahan yang dilakukannya ini dianggap sebagai melengkapi tuntutan syarak yang wajib dilakukan seseorang wanita Muslimah.

Kata Sofia, dia mula mendalami Islam sejak mengandung anak sulungnya iaitu Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia setahun setengah melalui pembacaan buku dan juga mendapatkan panduan di Internet.

"Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini 'kosong' tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib.
"Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya.
"Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri," ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, anak kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia berhasrat untuk menjadi ibu sepenuh masa tetapi tidak bermakna mahu meninggalkan terus dunia seni.

 

Tuesday, August 7, 2012

Shila Amzah Pulak Bertudung !!


Penyanyi Shila Amzah akhirnya nekad memakai tudung selepas mencuba imej berkenaan pada 1 Ramadan lalu.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, dia membuat keputusan tersebut pada Sabtu lalu selepas 15 hari melalui “tempoh percubaan” dan berazam untuk berimej sedemikian sehingga ke akhir hayat.

"Pada mulanya penghijrahan ini bermula pada 1 Ramadan sebagai tempoh percubaan dan ingin mendapat kepastian adakah saya benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan tersebut.

"Dua hari lalu (Sabtu) saya sibuk dengan penggambaran program Nona bersama Neelofa dan Fauzana, tetapi ketika itu saya terpaksa membuka tudung.

"Kemudian, di sebelah petang pula Sharnaaz mengajak saya untuk berbuka puasa bersama peminat-peminatnya dan ketika sedang bersiap, tiba-tiba sahaja saya ambil tudung dari almari dan pakai terus. Ketika itu saya dah rasa sudah sampai masanya untuk diri ini berubah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini Isnin.

Tambah Shila, kekasihnya, Sharnaaz tidak sangka perubahan drastik yang dilakukannya namun gembira dengan imej terbaru itu.

Dalam pada itu, ibunya juga ingin kepastian adakah benar keputusan yang dibuat itu kerana risau jika Shila akan membuka semula tudungnya pada masa akan datang.

"Apabila memberitahu hasrat ingin bertudung kepada ibu, banyak kali dia tanya, adakah saya yakin dengan keputusan ini kerana apabila dah pakai, kita tak boleh nak buka semula tudung sehingga mati.

"Alhamdulillah, memang saya ingin berubah dan mahu menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini. Malah, saya mula berubah sedikit demi sedikit dengan mengubah cara pemakaian yang lebih sopan," ujarnya.

Sementara itu, walaupun tampil dengan imej berkenaan, Shila tetap meneruskan kariernya sebagai seorang penyanyi dan bakal muncul dengan album terbaru pada awal tahun depan.

"Saya masih lagi menyanyi, tetapi tak adalah nak menari sakan macam dahulu. Pemilihan lagu pula lebih ke arah balada dan pop. Semoga perubahan diri ini membawa keberkatan yang lebih bermakna," tuturnya.

Foto milik Shila amzah diambil di laman Twitter miliknya.

 

Wednesday, August 1, 2012

TERBARU : Sharifah Aleya Pulak Ikut Bertudung


Wajah terbaru Aleya yang dimuatkan dalam laman sosial Instagram miliknya.

PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM Sharifah Aleya mengakui sejak mengenakan tudung bermula 1 Ramadan lalu (21 Julai 2011), dia berasa selesa dan tidak kekok dengan penghijrahan tersebut.

Aleya atau Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya berkata, dia enggan berkongsi sebab-sebab perubahan diri itu, namun menyifatkan ia adalah satu transisi normal bagi seorang wanita beragama Islam.

"Alhamdulillah, sepanjang seminggu lebih bertudung, saya tidak berasa kekok, malah selesa dengan penghijrahan ini.

"Cuma kalau boleh saya enggan berkongsi kenapa perubahan ini dilakukan. Ia sangat peribadi buat saya. Cukuplah masyarakat dah tahu yang saya dah bertudung dan doakan saya yang terbaik," katanya.

Tambah Aleya, dia juga bersyukur dan gembira apabila penghijrahannya itu disokong keluarga serta rakan-rakan dan berharap agar imej sebegitu kekal sehingga akhir hayat.

Sementara itu, walaupun Ramadan tahun ini pertama kali dilalui tanpa suami di sisi, Aleya merasakan ia tidak memberi kesan buatnya untuk beribadat kerana sering dikelilingi keluarga serta dua orang anak kembarnya, Aza Ameena dan Asha Ameena yang berusia tiga tahun.

"Bagi saya, Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan setiap tahun dan ia sangat istimewa untuk kita sebagai umat Islam menjalani ibadat puasa.

"Malah inilah masanya untuk kita mengikat silaturahim dengan menghabiskan masa bersama keluarga," ujarnya.

Dalam pada itu, Aleya berkata, dia juga memastikan segala kerja-kerja pengacaraan yang dibuat selesai sebelum Ramadan agar dapat menikmati saat-saat bersama keluarga bagi setiap ibadat yang dilakukan.

"Ramadan juga membuatkan saya dan adik beradik yang lain berlumba-lumba untuk memasak bagi juadah berbuka puasa. Sampaikan kami cuba untuk mengalahkan ibu kami (Fatimah Abu Bakar) untuk muncul dengan masakan terbaik.

"Bagaimanapun, macam biasa, ibu kamilah yang menjadi juara dalam hal-hal masakan," selorohnya yang gemar memasak lauk daging kicap.

 

Friday, July 27, 2012

Ning Baizura Dah Masuk PAS Ke ???


 Sebelum ini pun ramai jugak artis pompuan Malaysia menafikan untuk joint parti PAS, tetapi akhirnya masuk menjadi ahli seumur hidup pulak tu.

Apa pun wa doakan yang terbaek untuk Ning.

Teringat pulak kesah Mat Sabu mengajak penyanyi Aishah masuk PAS lebih kureng 15 tahun yang lalu.Kini Aishah dah real menjadi ahli PAS.

Hanya kerana gambarnya mengenakan tudung tersiar di laman sosial Twitter miliknya, tidak semena-mena nama Ning Baizura Hamzah dikaitkan bakal menyertai parti pembangkang, PAS.

Bukan saja hanya berpandukan gambar berkenaan, malah kenyataan dikeluarkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, dalam sebuah akhbar sebelum ini seolah olah penyanyi terkenal itu memang berhasrat menyertai parti terbabit.

Kenyataan itu tentunya mengejutkan ramai pihak, termasuk Ning sendiri. Kecewa dengan pengumuman yang dianggap sebagai fitnah, Ning terpaksa bersuara di Twitter menafikan khabar itu.

Bertemu si empunya diri pada majlis buka puasa dan pengagihan royalti oleh Performers & Artistes Rights Malaysia (PRISM) di ibu kota, kelmarin, Ning berkata, meskipun luahan itu mendapat pelbagai reaksi negatif, dia terpaksa bertindak begitu kerana tidak mahu orang ramai keliru dengan pendirian politiknya.

Sebelum ini saya tidak pernah bercerita secara terbuka mengenai pendirian politik saya.

Justeru, apabila terbaca kenyataan berbaur fitnah itu di sebuah akhbar, saya memang terkejut.

Terus terang, fitnah itu boleh menjejaskan kerjaya seni saya.
Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin memberikan penjelasan, saya menyokong pemerintahan kerajaan sedia ada, kata Ning yang hadir ditemani suami, Omar Dalton.

Apa yang dikesalkan Ning, mengapa mereka tergamak menipu khalayak semata-mata bersandarkan kepada gambarnya mengenakan tudung?

Gambar itu diambil ketika saya menjalani penggambaran drama terbitan Erma Fatima tahun lalu. Saya muat turun di Twitter sebagai koleksi peribadi. Tak sangka pula ia disebarkan di blog dan terus dijadikan isu kononnya saya berhijab kerana mahu menyertai PAS, seperti yang berlaku ke atas beberapa artis sebelum ini, ujar Ning yang sudah pun menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.

Tak daftar ahli PRISM

Ning turut mendedahkan, sejak bergelar artis hampir dua dekad lalu, dia belum pernah mendaftar sebagai ahli PRISM, yang membolehkannya mendapat royalti hasil nyanyiannya selama ini.

Memang terkejut apabila mendapat tahu nama saya tidak didaftarkan sebagai ahli oleh syarikat rakaman sebelum ini. Malah, saya langsung tidak diberitahu mengenai proses ini.

Maklum sajalah, saya masih baru dan mentah, manalah tahu mengenai hal ehwal royalti.

Bayangkan, saya ada 120 lagu dan ia masih diputarkan sehingga kini. Kalaulah saya didaftarkan awal, tentunya saya dapat kutip jumlah royalti yang sangat banyak. Taklah macam hari ini, sikit saja, katanya dalam nada sedikit kecewa.

Ning berkata, buat masa ini dia belum memutuskan untuk menjadi ahli kepada mana-mana badan pengutip dan pengagihan royalti yang ada ketika ini, iaitu Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) ataupun PRISM Berhad.

Mana-mana badan yang saya lihat mampu membantu artis macam saya dengan visi dan misi mereka, dan saya yakin dengan kesungguhan perjuangan mereka, badan itulah yang akan saya sertai, ujarnya ringkas tapi penuh makna.

sumber... Bhairan

Thursday, February 16, 2012

Kisah Artis Ana Rafali Bertudung Dan Bakal Bergelar Isteri


 
Berdebar menunggu saat untuk melangkah ke fasa baru dalam hidupnya, penyanyi Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali bersyukur persiapan­ perkahwinannya dibantu seisi keluarga, saudara mara, bakal mentua dan rakan-rakan terdekat.

Hanya menunggu 11 hari sahaja lagi sebelum menamatkan zaman bujang, Ana kini sudah sibuk menyediakan persiapan perkahwinan yang bakal dilangsungkan pada 25 Februari ini di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Kuala Lumpur. 
 
Menurut Ana, persiapan untuk majlis tersebut setakat ini sudah siap hampir 75 peratus, malah hantaran turut disediakan sendiri.
 
“Alhamdulillah. Setakat ini semua persiapan­ berjalan lancar. Malah, Ana turut berterima kasih kepada ahli keluarga, saudara mara, bakal suami dan keluarga bakal mentua serta rakan-rakan terdekat yang banyak membantu Ana menyiapkan persediaan perkahwinan.­
 
“Ana sendiri akan menggubah hantaran kerana bagi Ana, adalah lebih manis gubahan itu hasil tangan Ana sendiri dan akan meninggalkan memori buat dia,” katanya yang ditemani bakal suami, Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim semasa mengedarkan kad jemputan kahwin di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
 
Memilih warna tema perak putih untuk sembilan dulang hantaran yang akan diberikan kepada bakal suaminya, Ana bakal tampil dengan dua persalinan rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail dan Safura Azali. 
Di samping itu, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini juga bakal menggayakan kasut rekaan Neelofa.
 
Menurut Ana, idea untuk menggunakan khidmat Neelofa sudah lama difikirkan memandangkan mereka sudah lama saling mengenali sebelum ini.
 
“Ana kenal Neelofa sejak zaman persekolahan lagi memandangkan kakak Neelofa merupakan rakan baik Ana. Jadi, bakat Neelofa dalam mereka bentuk kasut sudah lama Ana tahu dan untuk majlis perkahwinan ini, Ana ingin menggunakan khidmat Neelofa kerana Ana percaya bakat yang ada padanya,” katanya yang memilih baju berwarna kelabu pada majlis tersebut.

 
Masjid jadi pilihan
 
Memilih masjid sebagai tempat pernikahan, Ana menginginkan perkahwinannya dibuat sederhana dengan hanya bertujuan memberitahu orang ramai dirinya sudah berumah tangga.
 
“Bagi Ana, masjid merupakan permulaan yang baik untuk Ana memulakan kehidupan rumah tangga selain dapat peluang untuk memakmurkan masjid dengan menjamu orang ramai di situ.
 
“Apa yang penting bagi Ana adalah untuk memberitahu orang ramai Ana sudah berkahwin dan majlis ini pun dibuat secara sederhana,” katanya yang menganggap dirinya sebagai orang biasa.
 
Di samping itu, Ana dan pasangannya turut memilih untuk tidak bersanding bagi memberkati majlis yang diadakan di masjid.
 
Menyentuh mengenai lokasi bulan madu, pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku ini masih belum mempunyai apa-apa perancangan untuk perkara tersebut.
 
“Kami masih belum memikirkan lagi lokasi bulan madu. Tak tahu lagi untuk berbulan madu di dalam ataupun di luar negara,” katanya sambil diakui oleh Naim yang turut berkongsi debaran untuk bergelar suami.
 
Bagaimanapun, Ana memberitahu, bakal suaminya itu tidak akan menghalang niatnya untuk terus menceburi bidang hiburan.
 
“Malah, sejak dahulu lagi Naim menyokong kerjaya saya dan selepas berkahwin, dia juga tiada halangan untuk saya teruskan karier,” katanya.
 
Ana mula berkenalan dengan Naim pada 2005. Mereka asalnya hanya berkawan baik, namun sikap Naim yang penyabar dan kelakar berjaya menambat hati gadis ini.
 
“Naim adalah seorang jurugambar dan kami berkenalan melalui sepupu. Secara kebetulan pula, saya memang meminati seni fotografi.
 
“Jadi, disebabkan berkongsi minat yang sama, hubungan kami bertambah rapat. Tambahan pula, sikap Naim yang penyabar membuatkan saya terbuka hati untuk menjalin hubungan serius dengannya,” katanya.

 
Ayu bertudung
 
Umum mengetahui penyanyi ini mula mengenakan hijab sejak Maulidur Rasul yang lalu.
 
Mengakui masih lagi dalam proses belajar, Ana tidak pernah menganggap penghijrahan­nya itu sebagai satu percubaan atau trend.
 
Menurutnya, keinginan untuk bertudung lahir daripada hatinya yang ikhlas dan bukannya dengan niat untuk menunjuk-nunjuk.
 
“Soal bertudung bukan untuk dibuat main dan Ana sendiri tidak pernah menganggap ini sebagai trend atau fesyen. Keputusan ini juga bukan atas desakan keluarga atau sesiapa, tetapi ia disebabkan atas rasa ingin menjadi Muslimah yang lebih baik,” katanya yang menerima sokongan keluarga dan bakal suami terhadap penghijrahannya itu.
 
Penyanyi yang berusia 27 tahun ini juga berhasrat untuk mendalami lebih ilmu agama selepas berumah tangga.
 
“Setiap manusia ada kekurangannya. Bagi Ana sendiri, ilmu yang ada selama ini masih belum cukup untuk Ana melayari kehidupan selepas ini,” katanya.

sumber...Hsinar