Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Wednesday, July 23, 2014
Neelofa Buat Pendedahan Mengenai Mufti Ismail Menk
TIGA bulan lalu, pelakon dan pengacara jelita bernama Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa, 25, menerima hadiah berupa cakera padat (CD) ceramah Mufti Ismail Menk daripada pelakon, Natasha Hudson.
Segudang emosi meribut dalam jiwa Neelofa saat mendengar ceramah daripada penceramah terkenal dari Zimbabwe itu.
Saat itu pengacara berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mula membuka pintu hatinya dengan seluas-luasnya untuk berubah menjadi Muslimah sejati.
Neelofa kemudiannya mengambil keputusan berhijab sepenuhnya bermula 1 Julai lalu.
"Boleh dikatakan Mufti Ismail Menk antara individu yang mengubah saya. Ceramah beliau memberi kesan yang mendalam pemikiran saya. Selama tiga bulan saya memasang CD ceramah beliau tanpa henti sehingga mengubah hati saya untuk berhijab penuh.
"Bagaimanapun, niat untuk berubah menjadi individu lebih baik itu sudah lama. Sejak akhir tahun lepas lagi. Saya banyak bertanya kepada kawan-kawan yang bukan dalam industri hiburan tentang ceramah agama beliau
Sebaik mendapat tahu lokasi ia diadakan, saya dan adik-beradik serta beberapa teman terus ke sana untuk mendengar ceramahnya," luah Neelofa secara mendalam mengenai penghijrahannya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjurannya sendiri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya baru-baru ini.
Menjengah fasa awal Neelofa berhijab, tanpa berselindung, dia mengakui pernah berasa ragu dan tidak selesa. Namun, perasaan itu segera dibuang jauh.
Bimbang
Kebimbangan juga bersarang dalam diri Neelofa sebelum ini, andai perubahan dirinya itu tidak akan diterima oleh penggiat industri hiburan seperti penerbit rancangan Nona atau MeleTOP yang dihoskan olehnya.
"Alhamdulillah, pasukan MeleTOP dan Nona sangat menyokong dan menerima perubahan saya ini. Mereka masih mengekalkan konsep rancangan tersebut.
"Cuma, cara penyampaian saya mungkin sedikit berbeza dan perlu bersesuaian dengan status saya yang kini sudah bertudung.
"Saya juga akui memang masa mula-mula pakai tudung dulu ada perasaan tidak selesa. Lebih-lebih lagi, ketika makan.
"Rasa macam tudung makin ke depan setiap kali mengunyah. Namun, sekarang semakin selesa," ujarnya yang menggayakan hijabnya sendiri tanpa merujuk kepada mana-mana tutorial cara-cara memakai hijab yang terdapat di laman YouTube.
Keinginan bertudung direalisasikan Neelofa atas niat yang tidak berbelah bahagi, membuatkan Ramadan juara Dewi Remaja 2010 itu kali ini juga cukup bermakna berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Tanpa berselindung, Neelofa mengakui, dia berasa kosong melalui musim Ramadan sebelum ini. Namun, untuk tahun ini, Ramadan dihayati dengan penuh rasa syukur dan istimewa.
"Tahun lepas, saya tidak begitu menitikberatkan tarawih, malah tidak menghayati keistimewaan solat sunat itu.
"Sejak saya belajar dan tahu mengenai pengertian Ramadan itu, saya mula menitikberatkan solat sunat tarawih dan juga puasa," ujarnya yang mula memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat atas dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T.
Filem sebelum bertudung
Tinggal di Damansara tetapi sanggup ke Putrajaya semata-mata untuk mendengar taskirah Mufti Ismail Menk, Neelofa mendedahkan, dia begitu mengagumi penceramah tersebut dan mencari peluang untuk hadir setiap hari ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mendengar ceramah beliau.
Peluang yang ada itu juga digunakan Neelofa apabila dia turut menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid tersebut untuk mengajak peminat-peminat dan orang ramai hadir mendengar ceramah penceramah hebat itu.
"Sebenarnya, selepas menang Pengacara TV Paling Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) Mei lalu, saya ada berniat untuk anjurkan majlis makan dengan peminat sempena kemenangan tersebut.
"Jadi, saya anjurkan serentak majlis makan, majlis buka puasa dan majlis doa selamat untuk Gaza dan juga musibah yang menimpa MH17.
"Di samping itu, mereka juga dapat mendengar ceramah daripada Mufti Ismail Menk," ulasnya yang begitu mesra melayan lebih 500 peminat yang hadir pada hari itu.
Tiada kata yang dapat diungkapkan pelakon filem Lemak Kampung Santan itu apabila dia turut berpeluang bertemu dan berbual dengan penceramah idolanya tersebut sejurus selepas tazkirah solat tarawih.
Bakal muncul menerusi dua buah filem - Pilot Cafe di samping Fahrin Ahmad dan Dollah Superstar bergandingan dengan Awie, ujar Neelofa, filem-filem tersebut menonjolkan sisinya yang masih belum bertudung dan berpakaian seksi.
Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi itu melibatkan banyak pihak.
"Perkara yang sudah lepas, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Kedua-dua filem yang menampilkan saya tidak bertudung dan berpakaian seksi itu semuanya sudah selesai penggambaran.
Filem itu juga melibatkan banyak pihak. Saya cuma mengharapkan peminat faham," luah pemilik rangkaian perniagaan seperti Bellavita (suplemen kesihatan), Neelofar (jubah), Bokittahijab dan Lofalens (kanta lekap).
sumber...