Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kompromi yang dibuat Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 adalah kemenangan untuk rakyat dan pembangkang.
Anwar mempertahankan langkah PH yang tidak meminta pengundian belah bahagi untuk Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat khamis lalu.
"Seminggu sebelum (pengundian), saya keluarkan kenyataan. Jika cadangan kami tidak dipenuhi, kami akan tolak Belanjawan 2021 secara keseluruhan. Apa yang berlaku ialah menteri kewangan membuat kompromi besar," katanya dalam wawancara bersama portal The Vibes yang diterbitkan hari ini.
"Jika kompromi dibuat membantu mereka yang menyimpan wang di bank, nelayan, petani, penjawat awam, pegutas barisan depan yang melawan Covid-19, mengapa kita perlu tolak (belanjawan)?
"Bagaimana kita akan jelaskan kepada orang ramai? Ini yang mereka mahu. Tengku Zafrul akur (kepada desakan PH). Adakah kita masih tolak? Atas dasar apa?" katanya.
Antara perubahan yang dibuat adalah meluaskan progran pengeluaran akaun 1 KWSP i-Sinar untuk merangkumi semua pencarum yang terjejas pendapatan, dengan peningkatan had keluar kepada RM10,000, serta moratorium pinjaman bank secara automatik kepada golongan B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Secara (undi) suara kita menolak tetapi tidak menggesa belah bahagi untuk memberi laluan kepada perbahasan di peringkat jawatankuasa. Keputusan besar adalah pada 15 Disember, untuk menerima atau menolak belanjawan. Itu pusingan terakhir," katanya lagi.
Menurut Anwar, penolakan di peringkat jawatankuasa masih memberi kesan sama dengan penolakan di peringkat dasar.
Di peringkat dasar, Anwar berkata pembangkang dari satu segi telah memang kerana banyak cadangan mereka diterima.
"Bagi saya, kita boleh dikatakan menang kerana banyak permintaan kita, termasuk yang dibuat ahli Parlimen kerajaan, telah diterima. Walaupun tidak sema, tetapi sebahagiannya," katanya.
Katanya lagi, kompromi yang dibuat juga menunjukkan kerajaan tidak bersedia berdepan Parlimen dengan belanjawan asal.
Dalam kenyataannya selepas sidang 26 Nov lalu, Anwar berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.
Menjelaskan tindakannya setelah mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen PH, Anwar berkata gabungan itu tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN) atas sebab beberapa isu utama yang tidak dijawab, seperti perbelanjaan "tidak realistik".
sumber...mKini