Terima kasih Tun M atas celoteh panjang di pagi Sabtu ini. Entah kenapa sejak kebelakangan ini Tun M begitu bersungguh memberikan gambaran bahawa Anwar adalah punca kenapa mandat rakyat tidak dapat diambil semula.
Saya fikir fakta dan interpretasi terhadap fakta adalah berbeza. Manakala fakta kekal, interpretasi boleh berbeza. Maka, saya berbeza pandangan dengan Tun M.
Kata Tun dalam Para 3-6 berkisar tentang peristiwa sebelum mesyuarat pada 21 Februari 2020 tentang bisikan Azmin dan Muhyiddin agar Tun M tidak tunduk kepada desakan peralihan kuasa. Umum sudah dapat mendengar kandungan mesyuarat pada malam itu yang tersebar kemudian.
Para 7-9 pula tentang peristiwa pada 23 Februari 2020 - mesyuarat tergempar MPT Bersatu. Pada petang itulah pemimpin UMNO, PAS, GPS, Bersatu, Warisan dan Azmin datang ke rumah Tun. Malam itu ada makan malam di Sheraton tapi Tun tak hadir.
Para 10-13 Tun cerita hal yang mendorong beliau letak jawatan.
Di sini kita perlu sedar, Tun dakwa Anwar nak ambil balik mandat tak libatkan dia. Dia tak sebut kerajaan yang dia ketuai jatuh sebab dia letak jawatan tak bincang dengan pimpinan parti komponen. Mungkin sebab beliau anggap itu kerajaan Mahathir, bukan kerajaan PH+.
PH pernah ajak Tun kembalikan mandat rakyat dan komited dgn manifesto. Tetapi Tun enggan. PH namakan Anwar kerana tidak bersetuju dgn idea Tun untuk jadi PM kerajaan perpaduan.
Saya setuju dengan Para 15. Dan Tun tulis jelas Anwar dapat 92 sokongan, beliau 66. Masa tu baru tahu ada blok yang cadangkan nama Muhyiddin. Ini tidak didedahkan tetapi masa awal itu Tuan Ibrahim Tuan Man telah tersebut kepada media. Lepas tu Takiyuddin betulkan dan beritahu media bahawa kenyataan rasmi PAS hanya akan datang daripada Presiden PAS dan beliau selaku SUA PAS.
Yang menariknya ialah Para 18, Tun kata:
“18. Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal.
19. Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri mengikut perancangan Pakatan Harapan.”
Tun tak tulis pula jika dia pengaruhi 65 lagi untuk sama-sama sokong Anwar yang pada masa itu dapat sokongan tertinggi, maka sokongan boleh juga jadi 158. Kot mana pun Anwar nak disalahkannya. Dia menang sentiasa.
Dalam Para 20-22 Tun cerita pasal PH nak sokong dia semula.
Di sini kita perlu tahu bahawa ketika Anwar ada 92, Tun ada 66; Tun tak hubungi Anwar. Tetapi Anwar yang pergi cadangkan kepada Tun supaya mandat rakyat boleh dikembalikan. Tun hanya fikir dia nak jadi PM, bukan nak bolehkan mandat rakyat dikembalikan.
Bayangkan Anwar tawar sokongan PH dan untuk redakan tuduhan Tun tahu tentang Langkah Sheraton dan ikhlas mahu serah kepada Anwar, maka lantik Anwar jadi TPM, tapi Tun enggan. Adakah kita tidak boleh mengagak sikap beliau dalam hal ganti jadi PM?
Saya pernah cerita Anwar kejut kami MP2 Keadilan pukul 2 pagi untuk sampaikan keputusan dan kesediaan beliau berkorban lagi. Dinihari itu juga Yusof Qaradhawi buat panggilan dan Anwar minta beliau doakan Malaysia - dibuka loud speaker untuk kami sama-sama aminkan doa tersebut.
Apa berlaku selepas itu? Ini penting disebut. Tun kata jika PH 92 campur dia 66, maka jadi 158. Tapi masa kumpul Kenyataan Bersumpah, PH intact 92 orang, Tun gagal yakinkan 66 yang disebutnya. Itu pun masih salah Anwar!
Dalam Para 23 Tun sebut Muhyiddin dapat persetujuan dilantik jadi PM. Saya bahas di Dewan Rakyat, berasaskan keyakinan saya, pada 1 Mac itu, jika mengambil kira undian 112-109 (Maximus Ongkili tidak hadir seingat saya kerana isu kesihatan) penolakan Speaker TS Ariff, paling banyak pun Muhyiddin hanya ada sokongan 111 undi kerana Serian dan Lubok Antu telah menandatangani Kenyataan Bersumpah sokong Tun. Mereka hanya sokong Muhyiddin beberapa minggu selepas pengumuman pelantikan PM.
Para 24-30 cerita pasal usaha dapatkan balik mandat. Semua orang tahu Tun tidak mahu cadang nama Anwar malah sanggup umum nama Shafie Apdal. Mungkin begitu cara beliau mengharapkan KEADILAN untuk terus mempercayainya.
Apa yang Tun tidak cerita ialah KEADILAN telah usulkan 107 intact (dengan mengambil kira PSB belum mewujudkan blok khusus yang komited sebagai pembangkang), dan mana-mana pemimpin yang boleh membawa sokongan untuk mendapat semula mandat maka mereka berhak diangkat menjadi PM. Tapi ini pun ditolak oleh blok Tun kerana mahu Tun sahaja dicalonkan sebagai PM.
Para 31-34 Tun bercakap tentang pengumuman Anwar tentang sokongan untuk menjadi PM. Tun mengeluh kerana Anwar tidak libatkan beliau dan kumpulannya. Tun sepatutnya bertanya bilakah selepas Langkah Sheraton Tun pernah memberi isyarat untuk menyokong Anwar? Adakah Tun hendak beritahu jika Anwar datang meminta sokongan beliau maka sokongan itu akan diberikan? Tidak. Dan Tun tidak perlukan sokongan ini diminta. Tun sebagai orang lama dalam politik boleh memberi isyarat terbuka untuk memberi sokongan.
Sama ada Anwar akan berjaya atau tidak, itu telah dijawab olehnya: Bertawakal kepada Allah s.w.t. selepas usaha telah dibuat.
Tapi yang jelas ramai semakin melihat Tun mahukan ia gagal. Dan ramai meyakini kesimpulan tersebut kerana alasan Tun tidak dapat menjadi PM semula dan sikap pendendam Tun kepada Anwar.
oleh: Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar.