Followers

Showing posts with label mat indera. Show all posts
Showing posts with label mat indera. Show all posts

Wednesday, September 21, 2011

Mat Sabu VS British: Memang kelakar Sejarah diselesaikan di Mahakamah

Abang Mat Sabu sudah pecah world record...kah kah kah

ada ke patut soal atau perihal sejarah diselesaikan di mahkamah?..tok hakim jenuh ler nak bukak balik buku sejarah.
kena pula tok hakim silap silap masa exam dulu fail sejarah..
mampoih dibuatnyer...jenuh ler berdebat lagi prof kongkang disekelian Malaya...kah kah kah

Mat Sabu mengaku tak bersalah
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

azlanBeliau mengaku tidak bersalah, sebentar tadi.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan dakwaan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Pihak pendakwa meminta jaminan RM50,000 dikenakan ke atas Mohamad tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskan pemimpin PAS itu dengan RM15,000 sehingga hari perbicaraan.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Kelakar tetapi seronok

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin kemudiannya menetapkan sebutan kes paad 27 Oktober dan perbicaraan daripada 5 Disember hingga 9 Disember.

Ketika diminta mengulas, Mat Sabu berkata beliau telah menjangkakan tindakan mahkamah itu.

"Kes ini adalah mengenai interpretasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan debat, bukannya di mahkamah.

"Bagaimanapun, oleh kerana ia adalah kes mahkamah, kita akan berdepan dengannya,” katanya.

Menurut Mat Sabu, kerajaan mula kehilangan sokongan rakyat, khususnya golongan muda dan terpaksa menggunakan kekerasan dan undang-undang bagi mengurangkan pengaruhnya.

Beliau juga menyifatkan tindakan menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai sejarah di dalam mahkamah adalah sesuatu yang kelakar.

"Ini kes mengenai sejarah, tunggulah nanti. Kes ini akan jadi seronok dan menarik," katanya.

Kumpul wang

Beliau juga menyifatkan dakwaan ini sebagai usaha untuk menghentikan rakyat dari membincangkan fakta sejarah yang telah diselewengkan atas kepentingan Umno.

Sementara itu, ratusan penyokong pemimpin PAS berkumpul di luar pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi tadi bagi memberi sokongan.

Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS I negeri, Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

NONEMereka kemudiannya secara sukarela mengumpul wang dan menderma bagi mengikat jamin Mat Sabu.

Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu melaporkan pemimpin parti Islam itu dalam ceramahnya di Pulau Pinang sebagai berkata, Mat Indera wira sebenar dalam tragedi itu dan bukannya "polis British".

Ucapan itu mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak, terutamanya pemimpin BN dan meleret kepada polemik kemerdekaan negara dan sama ada negara ini pernah dijajah.

sumber...malaysiaKini

Friday, September 9, 2011

Adik Mat Indera Hilang?

Sejak isu Mat Indera menggemparkan negara

KUALA LUMPUR: Adik Mat Indera, Johan Shah Indera gagal dihubungi sejak isu Mat Indera dimainkan media arus perdana.

Bahkan,Yang Dipertua Pas kawasan Ayer Hitam, Husin Sujak memaklumkan rumah Johan di Yong Peng tidak berpenghuni sejak beberapa hari lalu.

“Kita tak tahulah ke mana beliau pergi. Mungkin kerana mahu elak dari liputan media,” kata Husin kepada Keadilandaily.com

Difahamkan polis datang ke rumah Johan sejurus selepas kunjungan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ketua Pemuda Pas negeri, Suhaizan Kaiat seperti dilaporkan media petang Isnin lalu.

Terdahulu, aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) diketuai Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard bertemu Johan dalam program ‘Menjejak Mat Indera’ diiringi Husin Sujak, 3 September lalu.

Johan adalah ahli keluarga Mat Indera yang pertama muncul di media dengan liputan pertemuan dimuatkan di blog dan portal politik dan mendapat reaksi hangat.

Namun, laporan media arus perdana pada minggu berikutnya menyelar peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Malah, Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman melabelkan Mat Indera sebagai pengganas.

Sehingga petang ini, usaha untuk menghubungi Johan Shah Indera, 68, yang merupakan bekas kakitangan Majlis Daerah Yong Peng gagal.

Johan Shah Indera adalah anak bongsu dari 6 orang adik beradik, seibu sebapa dengan abangnya Muhammad Indera. Beliau pernah dibuang daerah ke Singapura bersama bapa, ibu tiri dan neneknya ke Singapura pada 1950 hingga 1954.

Dalam pada, itu abang tirinya, Bahrom Shah Indera ketika dihubungi Keadilandaily memberitahu, adiknya kini mungkin sedang ‘bersembunyi’.

Bahrom Shah adalah anak ketiga dari isteri kedua Indera dari empat orang adik beradik.

“Mungkin dia nak elak dari gangguan, kita tak tahu. Tapi saya yakin dia selamat dan akan pulang ke rumah,” kata Bahrom.

Bahrom sebelum ini tampil pada sidang media di ibu pejabat Pas pusat menuntut kerajaan membersihkan nama abangnya.

Beliau turut menyeru sejarawan untuk mengkaji semula sejarah dan peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20139

Thursday, September 8, 2011

Mat Indera selamatkan mangsa tragedi Bukit Kepong

Fakta mengenai tragedi Bukit Kepong

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Sejarah sebenar mengenai Jamilah Abu Bakar, anak kepada seorang anggota polis marin dalam tragedi di Bukit Kepong yang diselamatkan oleh Mat Indera tidak boleh dinafikan lagi oleh sebarang pihak, walaupun kini sedang diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kenyataan beliau sejak awal isu membabitkan Mat Indera tercetus sekarang menyebut Jamilah yang diselamatkan oleh Mat Indera, bukan keluarganya.

Menurut beliau, namun sesetengah pihak kini sedang berusaha menyelewengkan kenyataannya dengan mengatakan beliau berkata Jamilah dan keluarganya yang telah diselamatkan oleh Mat Indera.

Katanya, kenyataan itu ternyata tidak tepat dan menyeleweng dari fakta sebenar yang disebut oleh beliau sehingga menyebabkan timbulnya kekeliruan berhubung perkara itu.

"Saya mendapati terdapat sedikit kesilapan dalam laporan media perdana hari ini," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Akibat kesilapan laporan itu, menurut beliau, dibimbangi akan diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama Umno untuk mempertikaikan kenyataan beliau dan dari pihak PAS.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kenyataan beliau itu tidak diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu kerana ia berpijak atas fakta sejarah khususnya berhubung perjuangan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tanah air.

"Jasa dan pengorbanan Mat Indera terhadap tanah air amat besar sesuai dengan kedudukannya sebagai pejuang kemerdekaan. Amat tidak patut sejarah mengenainya diselewengkan sehingga dituduh terlibat dengan perjuangan komunis, sedangkan Mat Indera itu sendiri adalah seorang yang kuat berpegang kepada agama, malah guru agama.

"Mat Indera sendiri telah menegaskan perjuangannya adalah untuk membebaskan negara dari penjajahan dan beliau langsung tidak terlibat dengan perjuangan komunis.

"Malah, dalam tragedi di Bukit Kepong itu sendiri, beliau telah menyelamatkan Jamilah. Turut diselamatkan juga termasuklah seorang anggota polis bernama Yusof Rono dari mati dibunuh dalam peristimwa itu dan ramai lagi mangsa-mangsa yang lain," tegasnya.

Dengan jasa-jasa besar yang telah dinyatakan itu sahaja sudah cukup membuktikan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan, bukannya pengkhianat seperti yang dituduh oleh British dan seluruh rakyat negara ini tidak sepatutnya dibiarkan terus terpengaruh dengan penyelewengan fakta mengenainya.

"Kepada ahli sejarah yang menafikan kajian ahli sejarah lain yang mengatakan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan, saya harap janganlah menolak kajian orang lain jika kita sendiri tidak membuat kajian semula mengenainya," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat, Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap agar ahli-ahli sejarah di tanah air mengambil inisiatif mengkaji semula sejarah mengenai perjuangan Mat Indera khususnya.

"Dengan itu barulah mereka boleh mendedahkan kajian masing-masing mengenainya tanpa menafikan kajian yang telah dibuat terlebih dahulu oleh ahli-ahli sejarah lain, sehingga sanggup mengatakan Mat Indera bukan pejuang kemerdekaan dan bukan orang tempatan, tetapi dikatakan berasal dari seberang.

"Sedangkan ahli keluarga Mat Indera sendiri dan mereka yang mengenali beliau dan keluarganya juga mengakui Mat Indera sememangnya penduduk tempatan atau anak jati negeri Johor dan beliau sememangnya pejuang kemerdekaan," ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, adik kepada Mat Indera, Baharom Shah Indera yang juga merupakan seorang bekas tentera, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Johor, Mahadzir Mat Zili dan Exco Dewan Pemuda PAS Johor, Syazli Munir.

Oleh...Aziz Muda Harakahdaily

Wednesday, September 7, 2011

Mat Indera seorang pejuang bukan pengganas

Baharom Shah Indera (tengah) bersama Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (kanan) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Keluarga tuntut kerajaan isytihar Mat Indera pejuang, bukan pengkhianat

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat pada sidang media hari ini.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PAS di sini, katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”

Sidang media turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Isu Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong menjadi kontroversi selepas disentuh oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada satu ceramah bulan lalu. Beliau mengatakan bahawa peranannya dilupakan dan dilabel sebagai pengkhianat negara.

Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.

Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”

“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.

Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang diselamatkan itulah yang diselamatkan... ramai.”

Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.

“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.

Baharom menambah, abangnya sangat komited dengan agama dan mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan semasa terlibat dalam gerakan kemerdekaan negara.

“Beliau sering mengadakan perjumpaan dalam keluarga dan mendidik keluarga untuk komited dengan ajaran agama Islam.

“Beliau selalu menafikan, beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan British,” katanya lagi.

Kata Baharom, “sekarang negara sudah merdeka, kalau bukan kita yang membersihkan nama Mat Indera, siapa lagi yang boleh membersihkan nama beliau.”

“Saya berharap pihak kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan akan mengambil usaha segera... lakukan sekarang, isytihar beliau bukan pengkhianat,” katanya ketika ditanya siapa yang wajar dan dalam berapa lama isu ini perlu diselesaikan.

“Kita sudah merdeka lebih 50 tahun, saya berharap kerajaan akan melakukan dengan segera,” kata beliau yang turut berpegang pada buku terbitan kerajaan negeri Johor yang berjudul “Pengukir Nama Johor”.

Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negaera, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua.

Baharom berkata, beliau pernah menulis dua tiga artikel mengenai keperluan membersihkan nama abangnya di Utusan Malaysia pada 1978 atau 1979.

“Jadi ini harapan keluarga saya sekarang,” katanya dan menegaskan, pihaknya berpegang pada pendirian itu kerana “pegangan agamanya (Mat Indera) kuat dan seorang yang tegas dan tegar melawan British.”

“Saya serah kepada siapa yang hendak buat kajian, bersihkan nama dia,” tambah beliau.

Suhaizan juga berkata Mat Indera bukan seorang yang berideologikan komunis.

“Kalau dia seorang berideologikan komunis, sudah pasti dia tidak beragama,” katanya sambil menambah, “kemungkinan Mat Indera mempergunakan PKM untuk kemerdekaan negara.”

“Tetapi pada pandangan kami, dia tidak berideologikan komunis, dia hanya ahli PKMM dan API (Angkatan Pemuda Insaf,” katanya.

Mengenai laporan media bahawa Jamilah menafikan keluarganya diselamatkan oleh Mat Indera, Suhaizan berkata, “apa yang saya kata (dipetik Sinar Harian) adalah Mat Indera menyelamatkan Jamilah, bukannya menyelamatkan keluarga Jamilah.”

Jamilah dipetik berkata jika Mat Indera menghalang pihak komunis membunuh keluarganya ketika itu pasti ibu dan adik lelakinya tidak akan terkorban dalam serangan tersebut.

Kata Suhaizan, Naib Yang Dipertua PAS Pulai Zaba Ibrahim telah bertemu dengan Jamilah pada Ahad lalu, dan turut mengakui bahawa Mat Indera yang menyelamatkannya.

Ibu Jamilah dan adik lelakinya merupakan antara yang turut terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950.

Suhaizan juga berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah sekretariat untuk mengkumpulkan maklumat dan bahan yang berkaitan.

“Dengan sekretariat itu, mana-mana keluarga yang hendak menuntut ganti rugi daripada British atas kecuaiannya sehingga ramai kakitangan polis dan anggota keluarga mereka terbunuh, akan dibantu dan diuruskan,” katanya.

sumber...TMI