Followers

Showing posts with label rumah. Show all posts
Showing posts with label rumah. Show all posts

Sunday, February 17, 2019

Rakyat Mesti Miliki Rumah Mampu Milik - Tun M


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Komuniti Negara sambil disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara yang diadakan di Padang Awam Taman Puchong Indah. - Foto Eizairi Shamsudin

Rakyat mesti berusaha memiliki rumah mampu milik kerana ia satu pelaburan baik dan amat bermanfaat untuk jangka masa panjang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu rakyat tinggal di kediaman yang lebih selesa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik dan harmoni.

“Apabila kita membeli rumah mampu milik kita sebenarnya melabur dalam harta yang akan meningkat nilainya pada satu hari nanti.

“Kemudian apabila pada masa yang panjang rumah mampu milik ini nilainya akan meningkat dan kita anggap harga yang ditawar sangatlah murah pada masa itu, walaupun ketika ini masih ada yang kata nilainya tidak begitu murah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara, berlangsung di Padang Awam Taman Puchong Indah di sini, pagi tadi.

Turut sama hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun sedikit sebanyak akan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri, dengan harga lebih murah.

“Rumah mampu milik bagi kita rumah yang selesa diduduki oleh rakyat walaupun harganya rendah, tetapi kemudahannya tidaklah terlalu kurang berbanding rumah yang lebih mewah.

“Inilah hasrat kita. Kerajaan mahu rakyat tinggal di tempat lebih selesa. Tidak ada makna duduk negara maju, tapi rakyat hidup menderita. Tidak hidup dalam keadaan keselesaan. Dapat lihat kemajuan negara tetapi tidak nikmati kemajuan itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bagi membekalkan satu juta rumah mampu milik ini, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta.

“Akan lihat ada tempat kerajaan bangunkan rumah, ada tempat yang swasta akan bangunkan. Saya yakin pihak swasta prihatin akan keperluan ini dan sedia melabur bangunkan rumah ini untuk rakyat jelata.

“Dengan hasrat untuk bangunkan banyak rumah juga, ia beri peluang pengusaha melabur dalam teknologi pembangunan rumah. Sekarang sudah ada kilang keluarkan (bahan bina) rumah mampu milik dan dipasang dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata, pemilikan rumah saja tidak memadai sebaliknya rakyat yang tinggal di kediaman itu mesti mengukuhkan hubungan komuniti setempat supaya mereka sentiasa hidup dalam kemasyarakatan.

“Ini bermakna kawasan kampung dan perumahan kita perlu ada sistem dan cara hidup yang memberi kepentingan kepada semua penduduk di kawasan itu.

“Kita harap pemilik rumah di kampung-kampung atau kawasan perumahan yang akan diadakan perlu jalin kerjasama antara mereka seperti mengadakan satu kelab untuk satu kawasan atau kampung,” katanya.

Dr Mahathir juga yakin komuniti di kawasan perumahan dan kampung mempunyai banyak kemahiran dan cekap dalam bidang tertentu.

“Kaum wanita contohnya boleh buat masakan yang sedap untuk perkhidmatan katering di waktu kenduri atau mengadakan perjumpaan seperti yang ada pada hari ini.

“Sekarang ini kita sudah masuk zaman perniagaan dalam talian, mereka yang ada di kampung mungkin dapat keluarkan kuih muih yang boleh dipasarkan bukan saja di kampung itu tetapi seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu menerima hakikat waktu ini bahawa kos hidup akan terus meningkat, namun kerajaan sentiasa memastikan serta mengawal kenaikan itu tidak terlalu tinggi sehingga membebankan mereka.

“Semasa saya masih kecil, saya pergi kedai di kampung dengan bawa satu sen untuk beli rempah ratus tetapi satu sen sekarang tidak boleh beli apa-apa sebab barang sudah meningkat cuma air saja tidak naik harga.

“Air yang kita jual ke Singapura masih tiga sen untuk seribu gelen kalau kita mahu beli. Kalau inilah nilainya, nasi lemak pun kita tidak boleh beli. Inilah contoh bila harga dan nilai (jual air ke Singapura) tidak ditingkatkan sedangkan harga (barang) semakin meningkat,” katanya.

oleh:  Mohd Nasaruddin Parzi

Saturday, December 13, 2014

Azmin Ali 'Buat Hal' Lagi di Selangor




Selangor bina rumah mampu milik, tanding rumah ‘mampu tengok’ PR1MA , kata Azmin

Selangor merancang membina rumah mampu milik ,Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berucap di perhimpunan pagi kakitangan awam daerah Hulu Langat di Bangi, hari ini.

Selangor merancang membina rumah mampu milik  berharga antara RM100,000 dan RM220,000 bagi memberi kelegaan kepada rakyat memandangkan projek kerajaan persekutuan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dianggap gagal.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, selain hakikat yang sehingga kini tiada satu pun unit rumah di bawah PR1MA yang dapat dilihat, harganya yang mencecah RM400,000 seunit disifatkan hanya sebagai rumah "mampu tengok".

"PR1MA mana dia? Sasaran 80,000 (unit rumah), tidak ada pun.

"Dia (kerajaan pusat) beli projek rumah yang dibina daripada sektor komersial. Kerana itu mereka tidak boleh jual rumah mampu milik dan itulah kebimbangan terbesar kita," katanya kepada media selepas merasmikan program bersama penjawat awam daerah Hulu Langat di Hulu Selangor hari ini.

Katanya, tidak seperti kerajaan pusat, kerajaan negeri berkelebihan mengusahakan projek rumah mampu milik dengan kos yang rendah kerana ia mempunyai tanah sendiri.

Timbalan presiden PKR itu juga memberi jaminan yang kerajaan negeri akan dapat mengekalkan harga rumah mampu milik pada kadar yang ditetapkan walaupun dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April depan.

Katanya, kerajaan negeri mensasarkan pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 2 atau 3 tahun dan akan memberi tumpuan kepada kawasan bandar dan lokasi berdekatan kemudahan pengangkutan awam.

"Perumahan kita akan ditempatkan di kawasan strategik seperti di bandar dan dekat dengan pengangkutan awam. Jika tidak, ia tersasar daripada matlamatnya," katanya.

Azmin berkata, beberapa pemaju sudah tampil menyatakan kesediaan terbabit dalam projek itu dan permohonan mereka mendapatkan kebenaran membina daripada kerajaan tempatan akan dipertimbangkan.

Azmin berkata kebenaran membina yang dikeluarkan akan membolehkan kerajaan negeri berada di landasan yang disasarkan bagi membolehkan semua rumah mampu milik dapat disiapkan menjelang 2018.

"Pemaju harus mula membina rumah pada 2015, atau mereka tidak akan dapat menerima insentif daripada kerajaan negeri," katanya.

Antara insentif yang ditawarkan kerajaan negeri kepada pemaju termasuk pengurangan bayaran premium tanah bagi kebenaran serta merta membina rumah.

sumber...TMI

Monday, October 3, 2011

Apo Nak Dikato: Harga Rumah Naik 20 Peratus



Peningkatan kos bahan mentah, isu kuota Bumiputera beban pemaju

PUTRAJAYA: Unjuran harga hartanah akan meningkat sehingga 20 peratus dalam separuh kedua 2011 bukan disebabkan permintaan pasaran yang tinggi, tetapi sebaliknya berpunca daripada kenaikan harga bahan binaan dan kos pembinaan.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri Michael K C Yam, berkata berdasarkan maklum balas diperoleh daripada sektor berkenaan, 65 peratus berpendapat harga hartanah akan meningkat sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini.
Sehubungan itu, katanya, 47 peratus pemaju berkata, mereka bercadang menaikkan harga jualan bagi projek masing-masing sehingga 15 peratus menjelang pelancaran jualannya akhir tahun ini.

“Pemaju kini dibebani kenaikan harga batu bata, besi, simen dan pasir, selain masalah kekurangan tenaga kerja, manakala sikap tidak telus dan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani isu perumahan bagi kuota Bumiputera turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi pemaju.

“Harga batu bata meningkat 27 peratus kepada 42 sen tahun ini berbanding 33 sen tahun lalu, harga besi kerangka meningkat 13 peratus kepada RM2,589 satu tan berbanding RM2,285 satu tan pada 2010. Sejak Julai lalu, harga simen, pasir, batu bata dan besi masing-masing naik lagi sehingga 46.2 peratus, 81.1 peratus, 47.2 peratus dan 69.5 peratus.

“Jadi, Panel Majlis Kebangsaan REHDA menggesa supaya peruntukan kuota Bumiputera disemak semula kerana ia antara punca utama pemaju menanggung kerugian, selain dibebani kenaikan harga bahan binaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengikut syarat sekarang, pemaju mesti memperuntukkan antara 30 hingga 70 peratus unit rumah untuk kuota Bumiputera dan unit yang tidak terjual hanya boleh dilepaskan jika mendapat kelulusan kerajaan negeri berkenaan.

Pemaju juga perlu membayar kadar diskaun tujuh peratus untuk kuota Bumiputera sebagai levi kepada kerajaan negeri berkenaan.

Michael berkata, unit rumah kuota Bumiputera kurang diminati pembeli Bumiputera sendiri kerana ia hanya boleh dijual kepada pembeli Bumiputera saja, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan pembeli pada masa depan.

Beliau berkata, fenomena itu menyebabkan pembeli Bumiputera lebih cenderung membeli unit rumah bukan kuota Bumiputera dan keuntungan pemaju pula terjejas kerana tidak ada pembeli untuk unit rumah kuota Bumiputera itu.

Katanya, syarat kuota Bumiputera itu harus dikaji semula kerana bimbang industri hartanah mungkin diperalatkan sebagai senjata politik pihak tertentu.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan pasaran hartanah negara masih kukuh kerana bergantung kepada pembeli tempatan yang menduduki sendiri hartanah dibeli, sekali gus terlindung daripada kemerosotan ekonomi yang memberi kesan ketara terhadap pasaran hartanah di negara maju.

Berdasarkan Laporan Kaji Selidik Industri Hartanah REHDA bagi separuh pertama tahun ini, hanya 52 peratus pemaju, berbanding 55 peratus pemaju pada separuh pertama 2010, melancarkan projek baru.

Walaupun jumlah projek baru berkurangan, purata saiznya bertambah kepada 150 unit setiap projek pada separuh pertama 2011 berbanding hanya 100 unit bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus membuktikan pemaju lebih cenderung memilih projek mempunyai permintaan pasaran tinggi.

sumber...B.Hairan