Followers

Friday, February 4, 2011

Pakatan: Najib perlu respons isu ‘Tanah Melayu’ Mahathir

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa Datuk Seri Najib Razak agar respons kepada kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu negara ini.

Malah mereka juga mahu perdana menteri menyatakan pendiriannnya mengenai isu itu sama ada beliau turut menerima kenyataan Dr Mahathir atau berpandangan sebaliknya.

Wakil rakyat-wakil rakyat pembangkang yang dihubungi The Malaysian Insider berpendirian tegas kenyataan Dr Mahathir bercanggah dengan konsep 1 Malaysia sama sekali.

Pada satu wacana anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Selasa lalu, Dr Mahathir (gambar) berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.

Bekas perdana menteri berkata nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

Selain itu, Dr Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, masyarakat Cina dan India mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding soal kaum dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu Dr Mahathir menambah, jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigiran ke negara ini.

Oleh itu tegas Ahli Parlimen Pokok Sena dari PAS Datuk Mahfuz Omar, Najib tidak boleh berdiam diri dalam hal ini.

“Najib tidak boleh kekal berdiam diri dalam perkara, beliau perlu memberi respons kepada kenyataan Dr Mahathir.

“Penting untuk melihat apa pendirian yang hendak diambil oleh Najib, dan sama ada beliau bimbang dengan kesan sekiranya beliau tidak bersetuju dengan pendirian Dr Mahathir itu,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Naib presiden PAS itu menarik perhatian, pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan bekas perdana menteri itu berakhir dengan kerjaya politik singkat memandangkan Dr Mahathir tidak boleh menerima kritikan.

Merujuk kepada serangan Dr Mahathir terhadap penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mahfuz mendakwa ahli politik veteran itu secara konsisten memperlihatkan bahawa beliau menentang dasar-dasar dibawa Najib seperti konsep 1 Malaysia.

Najib menggantikan Abdullah pada April 2009.

“Kita dengan jelas boleh melihat bahawa Dr Mahathir tidak gembira dengan Najib. Najib di sebelah lain telah gagal untuk memahamkan rakyat tentang konsep 1 Malaysia.

“Jika Dr Mahathir sendiri tidak boleh menerima atau memahaminya, bagaimana rakyat jelata boleh memahami perkara itu?” kata Mahfuz.

Oleh itu kata beliau, PR tidak mengiktiraf atau menyokong sebarang pandangan yang tidak menghormati hak kaum-kaum lain dan yang tidak menyumbang kepada proses pembinaan negara.

Setiausaha publisiti DAP kebangsaan Tony Pua pula melabelkan Dr Mahathir sebagai ‘supremacist’ dengan berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyokong pandangan bekas presiden Umno itu.

“Kemungkinan Najib dan Mahathir harus menunjukkan kepada rakyat Malaysia di mana adanya konsep ‘supremacist’ dalam Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh nenek moyang kita.

“Najib perlu menjelaskan bagaimana konsep 1 Malaysia beliau secocok dengan pandangan dibawa Dr Mahathir,” kata ahli Parlimen ini.

Dalam pada itu, penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Dr Mahathir memperlihatkan “percanggahan” memandangkan beliau bukan sahaja bertindak bertentangan dengan konsep 1 Malaysia, tetapi juga gagasan “Bangsa Malaysia” yang diperkenalkan ketika era kepimpinannya.

“Apa yang beliau katakan itu penuh dengan percanggahan... ia bercanggah dengan gagasan Bangsa Malaysia (dibawa Dr Mahathir sendiri) dan juga 1 Malaysia,” kata ahli Parlimen veteran ini.

Kata beliau, Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan rakyat yang komited kepada negara, kesemua negara bekerja menerusi platform yang sama.

Malah pada wacana itu, Dr Mahathir berkata gagasan 1 Malaysia dan Wawasan 2020 berbeza kerana beliau mahu mewujudkan satu identiti nasional yang bersifat inklusif.

“Apabila kita cakap mengenai 1 Malaysia, orang ramai bercakap mengenai kesaksamaan bagi semua kaum. Bagi Melayu ia bermakna menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.

“Bagi orang Cina dan India pula, 1 Malaysia bermakna menghapuskan hak orang Melayu,” kata beliau.