Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Wednesday, February 2, 2011
Rais Berjaya Halang Sharpshooter
KUALA LUMPUR, 2 Feb — Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim bagi menghalang blogger Amizudin Ahmat daripada terus menerbitkan dakwaan bahawa menteri itu telah merogol seorang pembantu rumahnya dari Indonesia.
Hakim Zabariah Mohd Yusof hari ini membenarkan permohonan ex-parte untuk menghalang Amizudin daripada menerbitkan perkataan-perkataan berunsur fitnah terhadap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menerusi blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.
Hakim menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan semula kes dan afidavit difailkan oleh kedua-dua pihak sebelum kes itu didengar pada 22 Februari.
Dalam permohonannya, Rais berkata perkataan-perkataan yang digunakan dalam artikel blog itu menunjukkan beliau merogol pembantu rumah dan seolah-olah beliau boleh membunuhnya.
Awal bulan lalu, laporan portal berita detik.com menyebut pembantu rumah berkenaan menafikan dakwaan tersebut.
Dalam pernyataan bertulis yang ditandatanganinya, pembantu rumah itu menegaskan tidak pernah terjadi cubaan gangguan seksual oleh majikannya selama beliau bekerja di Malaysia.
“Saya bekerja selama lapan tahun di rumah Datuk (Rais). Selama itu baik-baik saja, tidak pernah ada permasalahan, apalagi terkait perlakuan kasar serta tidak senonoh terhadap saya,” katanya dalam kenyataan itu.
Beberapa hari sebelum itu, Rais menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di Internet dan parti pembangkang terhadapnya.
“Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mempertikaikan mengapa perkara tersebut ditimbulkan sekarang.
Penafian Rais muncul beberapa minggu selepas dakwaan itu dilaporkan dibawa oleh pendedahan WikiLeaks.
Bagaimanapun tiada dokumen berkaitan diperoleh di laman web WikiLeaks.
Rais memfailkan kes terhadap Amizudin pada 31 Januari lalu dengan mendakwa blogger itu menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel berunsur fitnah di bawah tajuk “Hei Pak Menteri . . . mana mau lari . . .” pada 28 Disember lalu.
Dalam kenyataan tuntutan, Rais berkata tulisan bersama gambarnya dipaparkan dengan ketara dan mempunyai perkataan-perkataan yang memfitnah beliau.
Malah tulisan blog itu juga menunjukkan beliau seorang individu yang berkuasa mengambil kesempatan ke atas pekerja-pekerja, seorang suami yang tidak setia dan pemimpin tidak bermoral.
Kata beliau, artikel fitnah itu disiarkan tanpa terlebih dahulu mengambil langkah untuk memeriksa fakta dengannya.
Label:
UMCO