Followers

Tuesday, September 27, 2011

Isu nilai pasaran sebenar rumah Khir Toyo jadi pertikaian

SHAH ALAM: Isu nilai pasaran sebenar dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam yang dibeli bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo terus menjadi topik pertikaian pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad ketika menyoal balas Dr Mohamad Khir, yang menjadi saksi pertama pihak pembelaan yang memberi keterangan dari kandang saksi, menuduh beliau berpakat dengan penilai profesional Rahim & Co yang dilantik pihak bank dalam menentukan harga rumah berkenaan.
Menyambung keterangannya hari ini, Dr Mohamad khir sebaliknya menegaskan hartanah yang dibelinya dinilai sebanyak RM3.5 juta mengikut harga pasaran oleh penilai profesional Rahim & Co yang dilantik oleh Bank HSBC pada 14 Mei 2007 dan harga itu dipersetujui Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni.
Ditanya Abdul Wahab sama ada beliau pernah berpakat dengan Choy Yue Kwong (pegawai penilai dari Rahim & Co dalam menentukan harga rumah), Dr Mohamad Khir manjawab: "Tidak pernah".

Dr Mohamad Khir turut menafikan dakwaan Abdul Wahab yang menyatakan Shamsuddin bersetuju menjual rumahnya kepada beliau kerana beliau adalah Menteri Besar ketika itu.

Dr Mohamad Khir berkata demikian ketika membela diri atas pertuduhan mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember, 2004, pada harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.

Dr Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei, 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki disambung petang ini.

sumber...BERNAMA