PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan, 38, (gambar) berhadapan dengan kontroversi baru apabila dikhabarkan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Zain Saidin, 27, apabila kedua-duanya ditemukan dalam drama bersiri Kiah Pekasam musim kedua yang menjalani penggambaran di Perlis.
Bagaimanapun, wanita itu enggan memberikan pengesahan sebaliknya meminta Zain menjelaskan tentang perkara tersebut.
“Saya malas nak jawab tentang cerita ini kerana nanti orang akan kata saya syok sendiri. Lebih baik tanyakan sahaja kepada Zain,” katanya kepada mStar Online.
Menurutnya, dia seakan-akan serik untuk memberikan komen tentang cinta selepas beberapa kali dikaitkan dengan pelbagai termasuklah artis.
Biarpun begitu, Rozita tidak mempertikaikan bahawa dia dan Zain masih berkawan baik seperti dulu dan tidak pernah bermusuh.
“Dia merupakan seorang yang baik dan pandai melayan anak-anak saya. Mereka juga sangat menyukai Zain,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Zain ketika dihubungi mStar Online hanya tergelak apabila disoal tentang status hubungannya dengan Rozita sebaliknya mengatakan hubungan mereka sekadar teman rapat.
Seperti Rozita, Zain turut mengiakan bahawa dia gemar melayan anak-anak wanita itu.
“Mereka memanggil saya ‘uncle’ dan saya memang suka melayan budak-budak. Mungkin cerita tentang hubungan cinta kami tersebar memandangkan kami sama-sama terlibat dalam drama Kiah Pekasam,” katanya.
Dalam perkembangan lain Rozita menafikan dakwaan mengatakan dia semakin ‘demand’ selepas pulang dari mengerjakan umrah pada bulan Ramadan baru-baru ini dengan meletakkan bayaran tinggi kepada mana-mana syarikat produksi yang mahu mengambilnya berlakon.