KHAMIS Khamis minggu lalu, cubaan untuk menghubungi Marsha mengenai status dan keadaan terkininya berjaya apabila bintang kelahiran Akademi Fantasia itu menjawab panggilan B*POP. Itupun selepas beberapa kali berdepan jalan buntu kerana telefon bimbitnya bertutup sejak dia dimasukkan ke hospital akibat pengsan.
Melalui khidmat Blackberry Messenger yang dihantar kepadanya, penyanyi berusia 26 tahun itu memberi maklum balas positif keadaannya sudah kembali stabil. Cuma dia dinasihatkan berehat sebelum kembali bekerja bermula esok. Difahamkan sidang media seperti dikatakan sebelum ini untuk merungkaikan keadaan sebenar akan diadakan pada 21 September ini. Bagaimanapun lokasinya masih belum ditetapkan.
Berbalik kepada cerita awak masuk hospital itu, benarkah kisah telan pil tu?
MARSHA: Cerita itu memang tidak berasas. Saya memang sebenarnya di bawah seliaan perubatan kerana mengidap penyakit sinus sejak 2009 di samping tekanan darah rendah. Itu hanya salah sangka orang kerana pada malam kejadian saya memang sudah berasa pening hingga terlanggar pembahagi jalan ketika memandu kereta selepas ke kedai berdekatan rumah. Pada mulanya saya nak makan burger tetapi gerai burger pula tutup. Jadi saya hanya mendapatkan makanan di 7 Eleven. Saya berjaya memandu kereta pulang ke rumah. Ketika berjalan ke tangga di parkir kereta berdekatan kolam renang, saya terjatuh dan pengsan. Sedar-sedar saya sudah berada di hospital.
Bagaimana cerita kononnya awak cuba membunuh diri?
Tak terlintas langsung saya untuk buat perkara begitu. Keadaan saya pening dan tidak stabil itu bukan saja berpunca daripada saya yang berada di bawah seliaan perubatan tetapi saya ini jenis manusia yang selalu ambil lewa bab makan ubat.
Ada yang kata semua ini terjadi sebab awak kecewa bercinta dengan lelaki dikenali sebagai Mr Z?
Saya juga mahu memperbetulkan cerita bahawa apa terjadi ini tiada kaitan langsung dengan dia. Dia sendiri pun terkejut apabila tahu keadaan saya.
Keadaan awak sekarang bagaimana?
Mata, lutut dan kaki saya masih lebam. Semuanya di sebelah kiri. Kening saya ada kesan terkoyak juga. Saya rasa mungkin ia berpunca dengan keadaan saya terhantuk bucu besi tangga di parkir sebelum terjatuh di simen tangga. Menurut apa diberitahu pihak pengurusan kediaman, saya ditemui tukang cuci sebelum dia memanggil pihak sekuriti. Saya dapat tahu juga jiran sebelah rumah saya iaitu pelakon, Angeline Tan turut mengerumuni saya ketika saya terjatuh.
Awak masih bercinta dengan Mr Z?
Saya tak selesa untuk cakap mengenai hal ini. Biarlah saya simpan dulu.
Kenapa pula tidak akan lagi guna khidmat pengurus Syad?
Tiada masalah pun antara kami. Kami sudah bekerjasama hampir tiga tahun. Cuma selepas kedua-dua berbincang secara baik dan demi kebaikan Syad, saya memutuskan untuk bertukar angin berada di bawah pengurusan LOL Entertainment. Saya faham situasi Syad dan dia pun banyak komitmen lain. Dia kena menguruskan perniagaan keluarganya lagi dan pada masa sama, dia kini pun sudah sambung belajar.